web statsweb stats

Berita Terkini

2 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 2 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Kos Mohon Sijil Halal Cecah RM20,000? Ini Penjelasan JAKIM

Semasa Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Dec 2021 8:28AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Sudah menjadi lumrah sebagai orang Islam untuk menyemak terlebih dahulu status ‘halal’ sesebuah restoran atau kafe sebelum membuat keputusan untuk menjamu selera.

Begitupun hari ini, dapat dilihat lambakan kafe atau kedai makan hipster di seluruh negara, yang hanya sebilangan kecil daripadanya mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Disebabkan tiada sijil halal, ada yang menggunakan papan tanda ‘pork free’ atau ‘no pork’ untuk meyakinkan orang Islam bahawa premis mereka tidak menjual makanan berasaskan daging khinzir.

Ia seolah-olah  menjadi trend sebilangan premis makanan hari ini.

Hakikatnya status halal premis tersebut perlu diragui.

Bukhari Md Akhir
Bukhari Md Akhir

Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir, premis tersebut tidak boleh dianggap menjual makanan halal.

“Penggunaan istilah ‘no pork‘ atau ‘pork free‘ bukanlah suatu istilah yang menunjukkan bahawa premis berkenaan adalah halal.

“Ia juga tidak bermaksud premis tersebut menepati takrif halal mengikut peraturan dan undang-undang berkuatkuasa,” katanya kepada Getaran, hari ini.

Justeru beliau berkata, sijil pengesahan halal amat mustahak untuk menambah keyakinan pengguna, meningkatkan produktiviti dan pemasaran selain memudahkan pemantauan pihak berkuasa.

“Di negara ini, pensijilan halal Malaysia merupakan satu bentuk jaminan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa setelah membuat semakan dan pengesahan terhadap produk serta premis yang dipohon.

“Namun masih terdapat segelintir individu yang beranggapan permohonan sijil halal merumitkan walaupun hakikatnya proses tersebut adalah mudah,” katanya.

Baru-baru ini ada netizen mendakwa, kos pensijilan halal yang terlalu mahal dan boleh mencecah RM20,000 adalah punca ramai pengusaha kafe serta restoran tidak memohon sijil halal.

Bukhari bagaimanapun menafikan dakwaan tidak berasas itu.

“Dakwaan bahawa fi pensijilan halal ini mahal sehingga mencecah RM20,000 adalah tidak benar sama sekali.

“Malah proses permohonan sijil halal tidak rumit dan boleh dilakukan secara atas talian,” katanya.

Beliau berkata, yuran pensijilan halal adalah berpatutan iaitu RM100 setahun untuk perniagaan mikro seperti restoran atau kafe, kantin, kedai bakeri, premis makanan berangkai, premis bergerak, kafetaria di medan selera dan kiosk.

“Bagi hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah, kadar fi yang perlu dibayar adalah sebanyak RM200 setahun.

“Hotel empat bintang dan ke atas pula akan dikenakan fi tahunan sebanyak RM500,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar fi pensijilan premis makanan bagi catering, khidmat penyajian makanan dan dapur pusat konvensyen pula berbeza mengikut jenis industri.

“Bagi industri kecil, fi tahunan sebanyak RM100 akan dikenakan manakala industri sederhana pula perlu membayar RM400 setahun.

“Industri besar yang nilai perolehan tahunan melebihi RM5 juta pula perlu membayar fi tahunan sebanyak RM700,” katanya.

Katanya, semua industri dan usahawan di negara ini boleh membuat permohonan pensijilan Halal di bawah lapan Skim Pensijilan Halal yang telah berkuatkuasa.

“Ia meliputi skim produk makanan, skim premis makanan, skim rumah sembelih, skim farmaseutikal, skim kosmetik, skim logistik, skim barang gunaan dan skim pengilangan kontrak (OEM).

“Mereka yang ingin membuat pensijilan Halal Malaysia hendaklah memenuhi syarat dan kriteria bagi klausa lima Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 atau ringkasnya MPPHM 2020,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, 4,040 premis makanan di sekitar Lembah Klang telah memperoleh pensijilan halal dan masih aktif sehingga hari ini.

Ternyata angka tersebut terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah sebenar premis makanan sedia ada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Susulan itu, Bukhari menasihati orang Islam agar memilih premis makanan yang jelas dari segi status halalnya.

“Utamakan premis makanan yang mempunyai sijil halal atau logo halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

“Ia bukan sahaja dijamin halal, malahan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, prosedur, standard serta perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh menyemak status halal produk atau premis makanan dan logo-logo halal luar negara yang diiktiraf JAKIM secara atas talian.

“Semakan boleh dibuat dengan melayari Direktori Halal Malaysia di Portal Rasmi Halal Malaysia iaitu www.halal.gov.my.

“Laman ini menyenaraikan syarikat dan produk yang mempunyai sijil halal JAKIM,” katanya. - Getaran, 14 Disember 202

Sorotan

1

Klinik Kesihatan Bergerak KKM Bawa Perkhidmatan Percuma Terus Kepada Rakyat

2

Video Belasah Pembantu Rumah Tular, 2 Pasangan Suami Isteri Ditahan

3

Asid Tumpah Dari Lori: Tiada Pencemaran Asid Di Sungai Cherating - JAS

4

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori

5

PRN Johor Dijangka Sengit, 10 Kerusi Panas Jadi Tumpuan

6

Malaysia Destinasi Akhir Pendatang Tanpa Izin Kerana Jaringan Keluarga

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

8 Rumah Musnah, Kebakaran Awal Pagi Di Kuala Perlis 

oleh Sophia Ahmad

Politik 1 hari yang lalu

PRN Johor Dijangka Sengit, 10 Kerusi Panas Jadi Tumpuan

oleh Wartawan Getaran

Semasa 19 jam yang lalu

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori

oleh Sophia Ahmad

Semasa 12 jam yang lalu

El Nino: Hujan Dijangka Kuramg Dengan Drastik, Risiko Bencana Alam Sekitar Meningkat 

oleh Sophia Ahmad