KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun kompaun saman terpilih sehingga 80 peratus bermula esok sehingga Ahad ini sempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, pengurangan kompaun tersebut ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara berbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar.
Selain itu, ia turut merangkumi kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun (NC), kesalahan berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.
“Semua pembayaran kompaun boleh dibuat di kaunter PDRM KLCC, kaunter bayaran saman trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Kontinjen (IPK)serta portal dan aplikasi MyBayar Saman sepanjang tempoh empat hari tersebut,” katanya hari ini.
Pengurangan saman tersebut mensyaratkan had minima diskaun sebanyak RM30.
Mat Kasim berkata, orang ramai atau syarikat dan entiti perniagaan boleh mendaftar melalui portal rasmi PDRM atau pautan https://[email protected].
“Orang ramai juga boleh muat turun aplikasi di platform Google Playstore, Apple App Store dan Huawei App Gallery untuk membuat pembayaran melalui aplikasi tersebut.
“PDRM menyeru orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan COVID-19 semasa berurusan di kaunter bayaran fizikal, dan menggalakkan pembayaran kompaun secara dalam talian bagi membantu individu yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya. - Getaran, 8 Disember 2021

