KUALA LUMPUR - Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 kembali meningkat kepada 0.98 semalam.
Terdahulu, rekod Rt pada kelmarin dan Jumaat adalah 0.97, sedikit meningkat berbanding 0.95 yang direkodkan beberapa hari lepas, meningkat sedikit sejak tahap 0.95 direkodkan beberapa hari lepas.
Rt menghampiri 1 semula. Dua minggu lepas bila melepasi 1, kita semua telah mainkan peranan untuk menurunkan balik angka Rt. Yakin kita boleh. Pelitup, jarak, elak sesak, dos penggalak, jaga ibu bapa dan #TRIIS. pic.twitter.com/uEdyA36fQw
— Khairy Jamaluddin ??? (@Khairykj) December 6, 2021
Data terbaharu itu dikongsi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi satu ciapannya di Twitter, hari ini.
“Rt menghampiri 1 semula. Dua minggu lepas bila melepasi 1, kita semua telah mainkan peranan untuk menurunkan balik angka Rt.
“Yakin kita boleh. Pelitup, jarak, elak sesak, dos penggalak, jaga ibu bapa dan #TRIIS,” katanya.
Nilai Rt tertinggi pada tahap 1.12 direkodkan di Perlis, diikuti Melaka pada 1.04.
Sementara itu, Rt di Perak ialah 1.01, Kedah (1.0), Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Labuan (0.99), Pahang (0.98), Johor (0.97), Terengganu (0.96), Kelantan (0.95), Sabah, Putrajaya dan Negeri Sembilan (0.93) dan Sarawak (0.72).
Rt negara meningkat sejak 7 November dan melepasi tahap 1.0 pada 12 November tetapi menurun kepada 0.95 pada 29 November.
Namun, nilai Rt meningkat semula sejak 2 Disember lalu.
Dalam pada itu 40 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 direkodkan setakat malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,614, daripada 2.65 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW, 10 daripada 40 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 61,999 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 51,260 individu atau 82.7 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 5,899 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 4,369 kes dirawat di hospital dan 471 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 207 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 264 lagi memerlukan mesin ventilator. - Getaran, 6 Disember 2021

