IPOH - Pembukaan semula kawasan Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) atau lebih dikenali dengan nama Bulatan Amanjaya Meru dimanfaatkan sepenuhnya warga Perak dengan membawa keluarga beriadah sempena cuti hujung minggu.
Bulatan berkenaan yang juga antara lokasi riadah popular di bandaraya itu ditutup sebelum ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir enam bulan.
Tinjauan Getaran hari ini mendapati orang ramai memenuhi kawasan bulatan berkenaan selepas ia dibuka secara rasmi semalam.
Kesemua pengunjung turut dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan mengimbas kod MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, dan memakai pelitup muka selepas selesai beriadah.
Antara aktiviti riadah yang dijalankan di bulatan berkenaan adalah berjoging, berjalan, bermain badminton dan ada juga pengunjung membawa anak-anak untuk bermain di taman permainan disediakan.

Seorang pengunjung, Ahmad Zaki Mansour, 37, berkata, dia mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk berjogging di kawasan berkenaan yang sebelum ini memang menjadi lokasi kegemarannya untuk beriadah.
“Kawasan ini dekat dengan rumah saya, tidak sampai satu kilometer (km), memang saya selalu datang ke sini namun selepas ditutup, saya hanya membuat senaman di rumah kerana bimbang penularan COVID-19.
“Pembukaan semula memberikan ruang kepada orang ramai untuk kembali mengamalkan gaya hidup sihat dengan beriadah bersama keluarga, apa pun yang penting kita jaga SOP,” katanya ketika ditemui di bulatan berkenaan.
Bagi Husna Aziz,29, dia membawa dua anaknya berusia 12 dan 10 tahun untuk beriadah di bulatan itu selepas mengetahui ia sudah dibuka kepada orang ramai dengan SOP ketat ditetapkan.
“Kawasan ini luas, sebab itu saya berani bawa anak -anak saya kerana sudah pasti masing-masing dapat mengamalkan penjarakan fizikal.
“InsyaAllah dengan mematuhi SOP ditetapkan sudah pasti kita dapat kembali merasai suasana seperti sebelum era pandemik sekaligus memutuskan rantaian COVID-19,” katanya. - Getaran, 2 Oktober 2021