Masakan India sering dikaitkan dengan kari yang pekat, rempah yang kuat dan hidangan yang sudah begitu dekat dengan selera rakyat Malaysia.
Namun, JHOL Kuala Lumpur mahu memperkenalkan sisi yang mungkin belum begitu dikenali, kepelbagaian kulinari dari kawasan pesisir pantai India.

Genap setahun beroperasi di Kuala Lumpur, restoran India kontemporari itu kini memasuki fasa baharu dengan memperkenalkan menu istimewa yang diinspirasikan daripada citarasa dan warisan kulinari pesisir India.
Diterajui Chef Gaurav Gupta, JHOL Kuala Lumpur pada asalnya diasaskan dengan visi untuk mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari India melalui pendekatan yang lebih moden, sambil mengekalkan keaslian cita rasa serta kisah di sebalik setiap hidangan.

Dalam tempoh setahun, restoran itu bukan sahaja meneruskan legasi JHOL Bangkok yang menerima pengiktirafan Michelin, malah membentuk identiti tersendiri di Kuala Lumpur.
Sempena ulang tahun pertama, JHOL memperkenalkan menu citarasa istimewa, menu makan tengah hari serta pilihan à la carte yang diperbaharui.

Gabungan hidangan signature dan inspirasi baharu dari pesisir India itu disajikan secara family-style, satu pendekatan yang mencerminkan nilai kemesraan, kemurahan hati dan kebersamaan dalam budaya hospitaliti India.
“Pengalaman kulinari yang baik memberikan anda sebab untuk kembali, tetapi pengalaman yang benar-benar luar biasa akan membuatkan anda sentiasa ingin meneroka lebih banyak lagi.
“Itulah asas yang kami bina di JHOL Kuala Lumpur menerusi menu bermusim, sajian makan malam yang dikurasi, bertema serta pengalaman santapan peribadi yang eksklusif di bilik santapan peribadi kami, semuanya direka untuk membawa para tetamu menyelami satu lagi dimensi keunikan pesisir pantai India,” ulas Chef Gaurav Gupta.

JHOL Kuala Lumpur merupakan kesinambungan kepada JHOL Bangkok yang diasaskan oleh Chef Hari Nayak, namun restoran di ibu negara ini mempunyai identitinya tersendiri.
Pendekatan yang diketengahkan memberi tumpuan kepada kepelbagaian tradisi gastronomi di sepanjang persisiran pantai India, dengan resipi warisan digabungkan bersama teknik masakan yang lebih diperhalusi dan ekspresi kulinari kontemporari.

Menariknya, pengalaman JHOL tidak hanya tertumpu kepada makanan. Pengunjung melalui perjalanan yang bermula di CHOLA, ruang yang mengetengahkan minuman diinspirasikan daripada laluan perdagangan maritim dan warisan rempah-ratus India.
Dari situ, pengalaman diteruskan ke JHOL sebagai ruang utama santapan sebelum berakhir di Mintsha, sebuah ruang sosial yang lebih intim untuk berbual dan menikmati suasana selepas hidangan terakhir selesai. Pendekatan itu menjadikan JHOL lebih daripada sekadar tempat untuk makan malam.

Ia cuba menggabungkan makanan, budaya, minuman dan hospitaliti dalam satu pengalaman yang lebih menyeluruh, sesuatu yang semakin menjadi sebahagian daripada landskap restoran premium hari ini.
Memasuki tahun kedua, JHOL Kuala Lumpur juga tidak bercadang untuk berhenti di sini.
Restoran itu akan terus meneroka warisan kulinari pesisir India menerusi menu bermusim, kolaborasi serta pengalaman santapan yang berbeza, termasuk sajian makan malam bertema dan pengalaman eksklusif di bilik santapan peribadi.

Bagi Clifftop Group, kumpulan hospitaliti di sebalik JHOL, perkembangan restoran ini turut menjadi sebahagian daripada aspirasi lebih besar untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi santapan India bertaraf dunia.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Clifftop Group, Shyam Narayan Thakur, berkata ulang tahun pertama JHOL Kuala Lumpur bukan sekadar pencapaian sebuah restoran, tetapi mencerminkan visi kumpulan itu untuk membangunkan pengalaman hospitaliti yang menggabungkan kulinari, budaya dan penceritaan.
Menurutnya, aspirasi Clifftop Group adalah untuk mengangkat Malaysia sebagai destinasi santapan India bertaraf dunia, dengan pengalaman yang meninggalkan kesan jauh melangkaui meja makan.

Dengan memasuki tahun kedua, JHOL Kuala Lumpur kini mempunyai ruang untuk membawa eksplorasi itu lebih jauh.
Daripada warisan pesisir India yang mungkin masih asing bagi sebahagian pengunjung, kepada hidangan yang diberi sentuhan kontemporari, restoran ini mahu menunjukkan bahawa masakan India mempunyai jauh lebih banyak cerita untuk diceritakan.
Dan mungkin, itu sebenarnya perkara paling menarik tentang JHOL, ia tidak meminta anda sekadar datang untuk makan. Ia mahu anda datang untuk meneroka. - Getaran, 11 Ogos 2026
