Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kopi Sawah Pikat Pengunjung ‘Mengopi’ Di Tengah Bendang

Selera Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 18 Dec 2023 4:47PM

Kopi Sawah menyediakan pengalaman menikmati kopi di tepi bendang.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Sawah dan Sekinchan berpisah tiada, dan sebagai pelengkap, secawan kopi sebelum ke bendang.

Rutin pesawah di kawasan jelapang padi Selangor ini menjadi inspirasi tiga sahabat - Muhammad Izzat Zakwan Samudin, Muhammad Redzuani Ismail dan Mohammad Faqhrul Nisyam Ismail - untuk membuka kedai kopi di tengah-tengah bendang tatkala ramai usahawan muda lain memilih kafe berkonsep hipster.

Berpadanan dengan nama kedai, iaitu “Kopi Sawah”, anak muda yang masing-masing berusia 25 tahun dan bersahabat sejak sekolah rendah ini mengetengahkan slogan “ngopi dulu baru ke sawah”, strategi yang nyata berjaya apabila kedai kopi itu menjadi tumpuan penduduk setempat dan pengunjung luar.

Mula beroperasi pada penghujung 2021, kedai kopi yang terletak di Jalan Parit 8, Kampung Sungai Leman, Sekinchan, iaitu kira-kira 100 kilometer dari ibu negara, memberikan pengalaman menarik kepada pelanggan yang ingin bersantai dalam suasana damai sawah padi.

Pengalaman itu dilalui sendiri oleh penulis yang berkesempatan berkunjung ke Kopi Sawah baru-baru ini. Bukan itu sahaja, hidangan kopi yang ditawarkan juga menepati cita rasa penulis - pahit, manis dan berlemak - satu keseimbangan di dalam cawan.

Kehijauan sawah padi seluas mata memandang dan kesegaran udara kampung sambil menghirup kopi sejuk di bawah payung besar, membuatkan lelah penulis memandu dari ibu kota hilang begitu sahaja.

“Sebagai anak jati Sekinchan, kami berasa bangga dapat mengangkat tempat kelahiran kami ke tahap lebih tinggi di mata pelawat. Sememangnya daerah ini sudah dikenali sebagai kawasan sawah padi negara dan perniagaan kami adalah simbolik cara hidup pesawah di sini yang menjadi kebanggaan kami.  

“Amalan ‘ngopi dulu baru ke sawah’ adalah tradisi orang lama di sini yang akan menikmati secawan kopi terlebih dahulu sebelum turun ke bendang,” jelas Muhammad Izzat Zakwan kepada Bernama.

Bercerita lanjut, anak pesawah itu berkata beliau mengembangkan idea perniagaan tersebut bersama-sama sahabatnya Muhammad Redzuani ketika masing-masing bekerja sambilan sebagai pembantu kedai makan dan penghantar makanan.

“Kami baru tamat pengajian, saya daripada Universiti Sultan Zainal Abidin dan Redzuani daripada Universiti Pertahanan Nasional. Langsung tidak ada pengalaman berniaga, modal pun tidak ada.

“Namun begitu, berbekalkan keazaman yang tinggi, kami memberanikan diri untuk membuka perniagaan secara kecil-kecilan dengan menyewa tanah di sini dan seterusnya tertubuhlah Kopi Sawah,” imbas beliau.

Menurutnya, hanya bermodal RM8,000, mereka berdua membangunkan perniagaan itu dengan beliau menjual kopi sementara Redzuani menawarkan ayam goreng Korea.

“Kami kemudian mengajak Faqhrul Nisyam yang ketika itu tidak mempunyai pekerjaan tetap, untuk turut serta,” tambahnya.

Sambung anak ketiga daripada enam beradik itu lagi, memahami kekangan modal mereka, ahli keluarga serta penduduk kampung turut membantu membina kedai mereka, yang secara langsung mencerminkan keakraban hubungan komuniti setempat.

Anak muda yang mengusahakan Kopi Sawah.
Anak muda yang mengusahakan Kopi Sawah.

Barista Yang Tidak Gemar Kopi

Ironinya, Izzat Zakwan bukan penggemar kopi, namun disebabkan oleh trend semasa yang menyaksikan percambahan premis menjual kopi - dari kafe hipster hingga ke gerai tepi jalan - anak muda itu nekad untuk menghasilkan minuman kopi dengan rasa tersendiri.

“Nak bancuh kopi adalah sukar bagi individu seperti saya yang tidak suka minum kopi dan susu. Tetapi sebab sukakan cabaran, saya belajar secara tidak rasmi melalui Facebook selain turut menyertai kumpulan komuniti barista di laman sosial itu.

“Secara kebetulan, saya berkenalan dengan seorang pembekal serbuk kopi. Beliau kemudian memberikan saya idea untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan minuman ini menggunakan serbuk kopi keluarannya,” kongsi Izzat Zakwan, menambah beliau berjaya menghasilkan kopi dengan rasa yang diingini dalam tempoh dua minggu, dan tanpa menggunakan mesin kopi.

Tentang menu di kedai itu, beliau berkata selain minuman kopi “signature” Kopi Sawah yang dihidangkan sama ada sejuk atau panas, mereka juga menawarkan minuman lain termasuk kopi kampung atau kopi O, minuman coklat sejuk dan soda dengan harga RM3 hingga RM5 secawan.

“Kami turut menawarkan pelbagai makanan seperti laksa utara, bihun sup, mi kari, ayam goreng Korea, keropok lekor dan pelbagai kuih-muih Melayu. Kebanyakan makanan berkenaan adalah air tangan penduduk kampung Sungai Leman yang pastinya menepati cita rasa pelanggan.

“Sebelum ini kami hanya menjual kopi dan ayam goreng Korea sahaja. Tetapi apabila ada orang kampung yang berhasrat menghantar makanan ke kedai, kami fikir itu idea yang baik untuk mempelbagaikan menu, dan pada masa sama berkongsi rezeki dengan penduduk kampung.

“Walaupun berkonsep vendor, kami tetap menjaga kualiti makanan yang dihantar ke kedai kami dengan saya sendiri akan pastikan kualiti makanan itu dari segi pembungkusan dan kebersihan, selain makanan yang dijual juga bukan jenis cepat basi,” katanya.

Sokongan Penduduk Setempat

Menzahirkan rasa syukur kerana perniagaan yang diusahakan mendapat sokongan penuh daripada  penduduk setempat, beliau berkata mereka turut membantu mempromosi Kopi Sawah melalui hebahan “mulut ke mulut” serta laman sosial masing-masing.

Katanya, pada tahun pertama pembukaan Kopi Sawah, penduduk kampung antara pelanggan tetap yang kemudian mengajak kenalan dari daerah berjiran untuk datang menikmati kopi di situ.

“Berkat sokongan penduduk kampung, Kopi Sawah mula dikenali apabila mereka yang minum kopi di sini memuat naik gambar di laman sosial dan menjadi tular.

“Kerjasama daripada ‘page’ dan ‘group’ Facebook Sekinchan yang turut mempromosikan Kopi Sawah menyebabkan kami tidak menang tangan dan tidak putus-putus menerima pelanggan - bukan sahaja dari Selangor tetapi juga Kuala Lumpur dan negeri lain,” ujarnya.

Bagi membantu perniagaan mereka, Izzat Zakwan berkata mereka menggaji pelajar sekolah sebagai pekerja sambilan, terutama pada hari minggu dan cuti sekolah.

“Kopi Sawah ada tiga pekerja tetap dan lapan pekerja sambilan, iaitu pelajar sekolah yang dibayar gaji hari. Mereka ini bekerja secara sambilan cari duit poket bagi menampung perbelanjaan sekolah masing-masing,” katanya, menambah hari minggu dan cuti sekolah merupakan tempoh paling sibuk di Kopi Sawah yang beroperasi dari 12 tengah hari hingga 7 malam setiap hari.

Untuk meningkatkan lagi daya tarikan Kopi Sawah, mereka membina jurus pandang (view point) bertingkat yang membolehkan pelanggan menikmati pemandangan Sekinchan selain menjadi lokasi pengunjung merakam gambar atau bahasa slanga anak muda “port untuk ber-OOTD” (tempat merakam gambar dengan pakaian yang dikenakan pada hari itu)

“Ramai pelanggan yang menggelarkan kedai kami sebagai ‘the hidden gem’ Sekinchan,” katanya, menamatkan temu bual. - BERNAMA

Krefit foto: BERNAMA dan Instagram Kopi Sawah

Sorotan

1

Semakan Gaji Penjawat Awam Adalah Wajar Untuk Hadapi Inflasi – Ahli Ekonomi

2

Tiada Daya Juang Tinggi, Rexy Kesal Dengan Pemain Perseorangan Wanita Negara

3

Sultan Nazrin Dilantik Pengerusi MKI Bagi Tempoh 2 Tahun 

4

Agong, Raja Permaisuri Zahir Penghargaan Kepada Warga Pekerja

5

AstraZeneca Akui Vaksin COVID-19, Covishield Mampu Timbulkan Masalah Darah Beku

6

Saya Perlu Dapatkan Semula Keyakinan Diri - Zii Jia