web statsweb stats

Berita Terkini

3 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Pedas Terangkat! Cuba Hidangan Ayam Ala ‘Southern’ Ciptaan Anak Tempatan

Fowlboys: Dari dapur pangsapuri ke dapur komersial, bagaimana dua usahawan muda tanpa pengalaman kulinari ini berjaya memulakan perniagaan makanan ketika pandemik.

Selera Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Mar 2021 8:50AM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Rasa cinta pada ayam goreng telah mencetuskan idea kepada dua rakan baik, Shafiq Saiful Aznir (31) dan Johann Razali (27) untuk memulakan projek kecil dengan memperkenalkan hidangan ayam ala Southern ke pasaran tempatan.

Shafiq dan Johann menyedari kebanyakan hidangan ayam goreng yang dijual di pasaran Malaysia didominasi sama ada oleh rangkaian restoran makanan segera barat atau restoran hidangan ayam goreng Korea. 

Kesedaran ini mencetuskan idea kepada mereka untuk menubuhkan Fowlboys – perniagaan makanan yang mengetengahkan hidangan ayam goreng ala Southern dengan resepi yang berasaskan buttermilk

Fowlboys mula beroperasi pada Mac 2020. Walaupun ketika itu negara kita sedang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak mematahkan semangat Syafiq dan Johann untuk mengorak langkah berani ini.

Johann & Syafiq
Johann & Syafiq

Pada awalnya, mereka menganggap projek ini sebagai satu hobi sahaja, yang mungkin tidak akan membawa sebarang keuntungan kerana mereka hanya bermula dengan modal sebanyak RM1,000, dari proses R&D sehinggalah ke hari pelancaran. 

“Kami mengambil masa selama tiga bulan untuk menghasilkan resepi ayam goreng buttermilk sehingga benar-benar puas hati. Johann yang lebih mahir dalam bidang masakan sangat membantu sehingga terhasilnya resepi istimewa ini.”

“Modal juga terhad. Ia salah satu faktor mengapa kami memilih untuk memulakan perniagaan dengan menjual sandwic dan burger terlebih dahulu pada peringkat awal, sebelum ayam goreng. Ketika itu, kami berdua hanya menjalankan operasi di dapur kecil pangsapuri kami.”

“Bayangkan dengan ruang yang sempit, menyediakan burger lebih murah dan senang berbanding hidangan ayam goreng. Kami kira set burger ayam adalah satu juadah yang lengkap dan menjadi pilihan yang lebih mengenyangkan buat pelanggan-pelanggan kami.”

“Oleh kerana kami tidak mempunyai apa-apa pengalaman di dalam bidang kulinari, kami banyak belajar dari kesilapan, terutamanya pada bulan-bulan terawal perniagaan,” ujar Shafiq yang bertanggungjawab menyelia dan mengurus penjenamaan dan pemasaran bagi Fowlboys. 

Bermula dengan Motherclucker dan Batter Up! (ayam goreng & wafel ciptaan mereka), Syafiq dan Johann memperbaiki resepi Motherclucker mereka dan seterusnya melancarkan dua resepi baharu yang dikenali sebagai The O.G dan Motherclucker 2.0 yang sehingga kini menjadi hidangan paling popular di dalam menu mereka. 

Bukan sekadar itu, Shafiq dan Johann terus mengembangkan menu mereka dengan menawarkan pelbagai hidangan sampingan dan snek untuk sajian bersama. 

Johann sebagai pencipta utama menu berkata, “Selain perapan buttermilk kami yang unik, Fowl Jam kami juga merupakan sesuatu yang tidak boleh diperolehi di tempat lain. Fowl Jam terhasil secara kebetulan ketika kami bereksperimen dengan pelbagai ramuan.”

“Dengan gabungan cili tempatan dan import, kami hasilkan jem yang mempunyai rasa manis dan pedas. Rakan-rakan yang mencuba memberitahu kami supaya menjualnya. Lantas, kami menambahkannya ke dalam menu dan ternyata ia sangat diminati pelanggan,” jelas Johann. 

Mac 2021 adalah ulang tahun pertama Fowlboys. Kedua-dua rakan kongsi ini tidak berhenti berinovasi untuk mengejar impian. Mereka bertungkus-lumus memperbaiki produk mereka. Misalnya, dengan menukar roti beku kepada roti yang dibakar segar setiap hari demi menjaga kualiti.

Dari segi operasi pula, mereka telah pun berpindah dari pangsapuri mereka ke dapur komersial di Plaza Mont Kiara. Mereka juga merancang untuk membuka restoran di Subang Jaya. Buat masa ini, Fowlboys boleh didapati di sekitar Lembah Klang menerusi GrabFood dan Beep. 

Berkat sokongan kuat keluarga dan rakan-rakan, Fowlboys menerima momentum pantas di media sosial dan hasil jualan mereka terus meningkat sejajar dengan jumlah pengikut mereka di Instagram @fowlboyskl

Shafiq mengimbas kembali beberapa komentar di media sosial mereka yang membandingkan burger mereka dengan burger-burger antarabangsa yang terkenal, “Maklum balas sebegini menyemarakkan lagi semangat dan keyakinan untuk kami terus bekerja dengan lebih keras.”

“Dalam perancangan jangka panjang, kami berharap dapat mengembangkan Fowlboys ke negeri-negeri lain. Saya amat gembira dengan perkembangan dan kejayaan yang telah kami capai dan mudah-mudahan ia akan kekal sampai bila-bila,” ucap Shafiq sambil tersenyum. 

Fowlboys adalah bukti gabungan kerja keras dan idea kreatif boleh membuahkan hasil yang lumayan, walaupun ketika wabak melanda.

“Perniagaan makanan atau f&b amat sengit kerana ramai yang mula menceburi bidang ini sebagai sumber pendapat mereka setelah pandemik ini bermula. Malangnya, ini bermaksud pasaran makanan semakin tepu dan saingan semakin hebat.”

“Kami di Fowlboys percaya dan berpegang kuat dengan prinsip ini. Dengan produk yang baik, diperkukuhkan lagi dengan pemasaran yang mantap, usaha ini akan berkesan. Industri makanan memerlukan kecekalan yang kuat.”

“Kamu harus bersedia memberi jiwa dan perasaan kamu sepenuhnya. Banyak idea yang mungkin hanya kekal idea. Namun melalui kajian yang bernas dan ‘naluri’ yang kuat, idea kamu itu tadi mungkin mampu dijadikan sebagai pencetus perniagaan. Saya sarankan jadikan impian dan mimpi kamu itu satu kenyataan,” akhirinya. 

Layari Fowlboys untuk maklumat lanjut. – Getaran, 22 Mac 2021
 

Semua gambar: FOWLBOYS

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 minggu yang lalu

Malaysia Kekalkan Prinsip, Selesaikan Semua Konflik Dengan Diplomasi - PM

2

Semasa 2 bulan yang lalu

Anwar Ucap Tahniah Kepada Anutin, Sasar Perkukuh Hubungan Malaysia-Thailand

3

Luar Negara 3 bulan yang lalu

Suspek Kes Pornografi Kanak-Kanak Diekstradisi Ke AS

4

Rencana 5 bulan yang lalu

Detik Malaysia Mendunia Telah Tiba, Kita Mampu Lakukan!

Sorotan

1

Pemandu Lori Nahas Maut Karak Miliki 15 Rekod Saman

2

Kerugian Jenayah Siber Cecah RM3 Bilion, Penipuan Dalam Talian Meningkat 87 Peratus

3

Tragedi Zaid Ibrahim; Ahli Politik Yang Berhutang Penjelasan

4

Video Belasah Pembantu Rumah Tular, 2 Pasangan Suami Isteri Ditahan

5

Asid Tumpah Dari Lori: Tiada Pencemaran Asid Di Sungai Cherating - JAS

6

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori

Disyorkan untuk anda

Gaya 1 hari yang lalu

Skin Turnover Protocol, Pendekatan Baharu Untuk Kulit Sihat Dan Menawan

oleh Rahayu MN