Benarlah orang kata, hidayah itu milik Allah SWT. Hidayah juga yang membuatkan pelakon Avaa Vanja perlahan-perlahan berubah dan berhijrah untuk lebih mendekati Yang Maha Esa.
Dan, akhirnya pada penghujung September lalu, dia membuat keputusan untuk berhijab dan terus mendalami ilmu agama secara serius.
Kata Avaa, sudah lama sebenarnya dia mendapat ‘panggilan’ untuk berhijrah.

“Tetapi, ketika itu saya masih tidak bersedia. Selepas saya diserang penyakit keresahan (anxiety) yang teruk, saya cuba memikirkan erti dan tujuan hidup.
“Saya cuba berjihad dan Allah SWT akhirnya memberikan tanda isyarat bahawa saya perlu kembali kepada jalanNYA semula,” katanya.
Jelas Avaa lagi, dia juga mengikuti beberapa ceramah dan kelas agama.
“Antara kelas agama yang benar-benar menarik minat saya adalah Yasmin Mogahed. Pendekatan dakwah yang digunakannya sangat menarik.
“Ia turut membuka prespektif saya tentang agama Allah yang indah ini serta menambahkan lagi minat saya untuk terus mendalami ilmu agama,” katanya.
Serius dengan penghijrahannya itu, Avaa turut mendaftar dan dan mengambil diploma dalam pengajian agama secara online dengan sebuah pusat pengajian di United Kingdom.
“Saya mengambil diploma ini kerana saya mahu melanjutkan pengajian di Al-Azhar. Saya benar-benar tertarik untuk terus mendalami Islam selepas melakukan banyak kajian.
“Lebih banyak saya melakukannya, ia lebih mendekatkan saya lagi dengan agama ini dan juga Allah SWT,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Avaa juga akui dia semakin banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir perfileman. – Getaran, 5 Oktober 2022