Berita Terkini

9 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Hari Sarawak, Semangat Tetap Membara, Pantang Berundur

Rencana Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Jul 2021 9:47AM

Bendera negeri Sarawak menghiasi pintu gerbang berhampiran replika kucing di Jalan Padungan sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUCHING - Sungguhpun tiada sambutan besar-besaran kerana pandemik COVID-19, semua rakyat Sarawak akan memperingati sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai dengan semangat dan ketahanan yang kuat.

Mereka pasti akan meneladani semangat dan ketahanan yang tidak mudah luntur yang ditunjukkan oleh nenek moyang mereka ketika memutuskan untuk mentadbir tanah air sendiri dalam perjalanan kemerdekaan 58 tahun yang lalu.

Ia adalah perjalanan yang penuh dengan dugaan dan penderitaan, tetapi yang pasti ia memberikan banyak kejayaan kepada Sarawak sejak tarikh keramat itu pada tahun 1963 ketika gabenor kolonial British yang terakhir Sir Alexander Waddell, mengundurkan diri dan menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada rakyatnya sendiri.

Mengimbau kembali kronologi sejarah Sarawak, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan menjadi rakyat Sarawak pertama mengetuai pentadbiran, sekali gus membawa kepada penamatan selama 122 tahun pemerintahan di bawah Rajah Putih, Jepun, Tentera Australia dan akhirnya, British.

Pengambilalihan pentadbiran turut mendedahkan rakyat Sarawak kepada cabaran baharu apabila terpaksa berdepan dengan pemberontakan Komunis serta tentangan dari negara jiran Indonesia kepada cadangan pembentukan Malaysia yang berlaku pada tahun-tahun awal pemerintahan sendiri.

Walau bagaimanapun, warga Sarawak tetap cekal. Mereka menerima pelawaan daripada Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk negara baharu dinamakan Malaysia, bersama Singapura dan Sabah, yang diisyiharkan secara rasmi pada 16 Sept 1963. (Singapura meninggalkan Persekutuan pada tahun 1965).

Menjelang Ogos 1966, konfrontasi yang dimulakan Indonesia di bawah presiden mereka ketika itu, Sukarno secara rasmi berakhir, membolehkan Sarawak mengatasi satu daripada rintangan mereka yang dihadapi selepas kemerdekaan.

Namun, ia mengambil masa 24 tahun lagi bagi Sarawak, selepas berakhirnya konfrontasi, untuk menghapuskan pemberontakan komunis pada 1990, dengan dunia menyaksikan selepas itu kejatuhan banyak negara yang diterajui komunis termasuk Kesatuan Soviet.

Dua abjad ‘C’ - Confrontation (Konfrontasi) dan Communism (Komunisme) -- menandakan  hari-hari gelap yang ditempuh rakyat Sarawak pada awal tahun kemerdekaan mereka dan ironinya, satu lagi ‘C’ muncul sebagai satu lagi cabaran pada tahun 2020 apabila Sarawak menginjak usia 57 tahun kemerdekaannya. 

Menjelang Mac 2020, Sarawak merekodkan kes pertama coronavirus yang kemudian dinamakan sebagai COVID-19. Sarawak mengawal dengan baik pandemik itu tahun lepas, yang mencatatkan 1,117 kes dengan 22 kematian. 

Kerajaan Sarawak menyedari kesan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi apabila menawarkan bantuan khas ‘Bantuan Khas Sarawakku Sayang’ atau BKSS, untuk meringankan beban kewangan rakyat. 

Bantuan itu yang berjumlah lebih RM3.2 bilion, diagihkan dalam enam pakej antara April tahun lepas dan Mei tahun ini meliputi wang tunai, diskaun utiliti, bayaran khas dan pinjaman mudah untuk perusahaan kecil dan sederhana.

Selain penyediaan bantuan segera ini, kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah merangka visi jangka panjangnya untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Ini (aspirasi untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi) bukan keyakinan kosong kerana asas ekonomi kita kukuh, dasar kita tersusun dan diselaraskan semula selepas COVID-19, manakala kestabilan politik kita dicemburui pihak lain,” katanya ketika menyentuh visi itu. 

Kenyataan Abang Johari mencerminkan keyakinan semua rakyat Sarawak sejak mereka mengambil keputusan untuk mentadbir sendiri Sarawak, yang tercinta.

Tidak dapat dinafikan, semangat ini akan terus membara setiap kali 22 Julai diraikan setiap tahun. Selamat Hari Sarawak! - Bernama

Sorotan

1

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

2

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

3

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

4

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

5

Tragedi Helikopter: Kerajaan Perak Akan Bincang Bentuk Bantuan Kepada Waris

6

Prestasi Malaysia Dalam Laporan Amnesty International Buruk

7

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan