Hari ini adalah Hari Wanita Sedunia, namun bagi Mebpung Akup, seorang wanita dari pedalaman Sarawak – tarikh 8 Mac yang dikhaskan untuk kaum wanita, tiada beza baginya dari semalam.
Mebpung bangun pagi hari ini, sebagai 'individu tanpa kerakyatan' sama seperti tahun-tahun sebelum ini sebagai 'bukan warganegara' di tanah kelahirannya, Sarawak.
Orang Ulu yang berusia 61 tahun itu sedar bahawa Sarawak adalah tanah yang melimpah ruah, namun dia merasa sukar untuk mempercayai bahawa di tanah ini, dia mempunyai sedikit nilai dan harga diri sebagai 'persona non grata' di negara sendiri.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menganggap Mebpung sebagai 'orang asing' atau hanya sebagai 'setinggan tanpa izin' yang terpinggir.
Bagaimanapun, Mebpung berdoa agar mendapat pengakhiran yang lebih cerah kepada enam dekad kewujudan 'tanpa kerakyatan' di Long Lutok, Lawas – yang sememangnya merupakan tempat kelahirannya.
Aktivis sosial Agnes Padan, yang bertahun-tahun berjuang untuk pemerkasaan wanita luar bandar dan kempen penjagaan kesihatan yang lebih baik, terutamanya penjagaan kesihatan ibu di kawasan pedalaman Sarawak, membantu Mebpung berjuang berdepan birokrasi berdekad lalu dan ketidakadilan.
''Mebpung hanya mahukan haknya, dia mahu tempat yang sah, diiktiraf sebagai subjek berdaulat dan diberikan dokumen rasmi yang akan mengesahkannya sebagai warganegara Malaysia,'' kata Padan kepada The Vibes.
“Mebpung bukan hanya tidak bernegara, malah dia juga pesakit kanser,'' kata Padan, yang turut berkhidmat dengan komuniti lain yang serba kekurangan di luar bandar Lawas.
''Pada November tahun lepas, ketika saya berbincang dengan Mebpung untuk menghasilkan video bagi mengetengahkan masalahnya, dia memegang tangan saya dan meletakkan di payu dara kanannya sambil berkata:
''Ia menyakitkan hinggakan ke tahap saya tidak boleh tidur malam dan rasa seperti mahu mati sahaja.
''Mebpung memberitahu saya dia merasai ketulan pada payu dara kanannya pada 2017 tetapi tidak mendapatkan rawatan disebabkan masalah tanpa kerakyatan. Walaupun benjolan itu semakin besar, dia menafikannya dan mengabaikannya.
Mebpung takut kerana tanpa kerakyatan, dia tidak akan diberikan rawatan dan kos juga akan berganda-ganda. Selepas beberapa kali cubaan mendapatkan kewarganegaraan dinafikan, ia menyebabkan Mebpung hilang harapan.
Tanpa harapan, ibu kepada lima anak itu menderita dalam diam hingga ketahap kanser 'memakan' diri.
''Saya membawanya ke hospital Lawas dengan segera dan menerangkan keadaan Mebpung tanpa kerakyatan kepada doktor, dan mereka memberikan bantuan.
''Doktor di hospital dan pengarah sendiri melihat keadaan Mebpung, malah memberinya temu janji untuk bertemu pakar onkologi yang dijadualkan melawat hospital pada hari berikutnya.
"Saya bersama pakar ketika beliau memeriksa Mebpung dan menjelaskan keadaan Mebpung yang tidak bernegara tetapi pakar onkologi itu menegaskan pesakit mesti dirawat sebagai rakyat Malaysia.''
Akhirnya, Mebpung dipindahkan ke hospital Limbang dengan ambulans untuk imbasan CT, dan biopsi.
''Pada 4 Januari tahun ini, dia menjalani pembedahan membuang payu dara kanan di hospital Miri.
''Bayangkan, ketulan yang mencurigakan di payu daranya tidak mendapat rawatan perubatan selama tiga tahun, semuanya kerana kedudukannya yang tidak bernegara. Dengan segala alat dan rawatan moden yang ada untuk melawan kanser, persoalannya adakah Mebpung perlu melalui ujian sebegini?
''Saya ingin menegaskan kepada JPN bahawa kes Mebpung adalah kes yang klasik dan berpotensi berlaku kepada wanita lain yang dinafikan hak kerakyatan mereka. Ketidakadikan dan ketidaksaksamaan ini perlu dihentikan.
Mangsa Keadaan
Mebpung dilahirkan pada 7 Oktober 1961, di Long Lutok. Kelahirannya disambut oleh bidan yang kini telah meninggal dunia. Dia adalah anak keempat daripada tujuh beradik dan merupakan satu-satunya tidak mepunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Tempoh antara 1961 dan 1965 merupakan tahun bergolak bagi negara, terutamanya dengan tempoh Konfrontasi dengan Indonesia yang berlangsung dari 1963 hingga 1966.
''Sudah tentu mustahil untuk ibu Mebpung berjalan kaki berhari-hari ke Lawas untuk mendaftarkan kelahirannya manakala bapanya, seorang peninjau sempadan sedang bertugas di kawasan terpencil di Sarawak.
''Pada 1973, apabila bapa Mebpung pergi ke JPN di Lawas untuk mengemukakan permohonan kad pengenalan memandangkan Mebpung telah mencecah usia 12 tahun, pegawai yang memproses permohonan itu memaklumkan supaya datang semula untuk mengambil kad pengenalan dalam masa enam bulan.
''Apabila mereka kembali untuk mengambil dokumen pengenalan diri selepas enam bulan, pegawai yang pada mulanya memproses permohonan itu telah berpindah dan butiran permohonannya tidak dapat dikesan. Krisis identiti selama berdekad-dekad Mebpung bermula dari sini."
Selepas Mebpung berkahwin, percubaan selanjutnya untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraannya menerima jawapan standard daripada JPN:
"Tiada bukti kelahirannya di Long Lutok, dan hubungannya dengan ibu bapanya tidak dapat disahkan."
Menurut Padan, Mebpung tidak bersendirian dalam usahanya untuk mendapatkan kerakyatan.
Padan mempunyai buku kes yang mengandungi butiran 30 kanak-kanak dan remaja yang tidak jemu mengetuk pintu JPN, memohon kerakyatan Malaysia.
Padan juga mempunyai satu lagi dokumen 54 wanita lain selain Mebpung yang menghadapi situasi tanpa kerakyatan yang sama.
''Isu kewarganegaraan di Sarawak memberi impak yang besar kepada wanita dan keluarga di luar bandar Sarawak.''
Menurut Padan, beberapa wanita telah berkahwin pada usia 15 tahun dan masih bergelut untuk mendapatkan kewarganegaraan pada usia mereka kini antara 70-an ke 80-an.
''Pihak yang berkuasa meluluskan dan tidak meluluskan permohonan kewarganegaraan nampaknya berat sebelah terhadap kaum ibu dan wanita,'' tambah Padan.
''Masalah wanita tanpa kerakyatan ini amat menyedihkan. Selama beberapa dekad mereka telah diuji dan dihukum oleh sistem institusi yang tidak berperasaan.''
Menurut Padan, wanita ini bukan sahaja menjadi mangsa keadaan, tetapi juga pentadbiran yang gagal memahami kesusahan mereka dan tidak menghiraukan keperluan paling asas mereka – tempat di mana mereka boleh menetap dengan bebas dan digelar sebagai rumah, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
''Wanita-wanita luar bandar ini menjaga dan memastikan agar api dapur tetap menyala dan dapat menghidangkan makanan di atas meja, di tengah-tengah kesusahan yang mereka alami.
''Sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini, wanita inilah yang saya sanjungi. Mereka mungkin tidak bernegara, tetapi mereka juga adalah wanita 'sutera' dan wanita 'besi,'' tambah Padan. – Getaran, 8 Mac 2022