Berita Terkini

47 minit yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Bermanis Mulut, Bersulam Sayang - Seni Perhubungan Yang Semakin Malap

Ramai melihat hubungan perkahwinan dari sudut kesamarataan. Namun, itu sedikit demi sedikit boleh menghilangkan kemanisan berumah tangga kerana masing-masing aktif mencari kekurangan pihak yang lagi satu.

Refleksi Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 30 Jul 2021 2:30PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Ah, kau nak makan, masaklah sendiri,” cerita rakan sekerja tentang episod dia ‘mengajar’ suaminya malam tadi.

“Kenapa pula kita aja kena masak untuk dia, ingat kita hambakah?” tambah beliau lagi. “Aku pun macam tu, dia kalau tak suka, pergilah cari perempuan kampung yang dia boleh buli,” sambung seorang lagi.

“Dahlah kena basuh baju kemas rumah bagai, demandlah pula nak aku masak hari-hari!” bentak yang pertama tadi, bengang.

Apa yang sebenarnya berlaku tidaklah pula dapat dipastikan, tetapi daripada perbualan hari-hari, majoriti di antara kita melihat perhubungan perkahwinan itu dari sudut kesamarataan, keadilan. Mana acinya kalau begini! Ada sahaja yang tidak puas hati dengan pasangan.

Bukan sahaja wanita, malah lelaki juga begitu. Kalau tidak dapat masakan isteri di rumah, dia membentak tidak adil kerana ini tidak termasuk dalam tujuan dia berkahwin. Setelah berkahwin dia layak untuk dilayan dengan ‘homecook meals’ hari-hari.

Baju perlu dibasuh, disidai, dilipat, digosok, sedia untuk dipakai bila-bila masa sahaja. Itu tanggungjawab seorang isteri, katanya. Jika kedua-dua pihak memburu ‘keadilan’ sebegini, sedikit demi sedikit kemanisan berumah tangga itu akan hilang kerana masing-masing aktif mencari kekurangan pasangan.

Hentikan! Perkahwinan bukan tentang keeping score, perkahwinan itu tentang memburu sakinat, kedamaian dalam perhubungan.

Lantas, pasangan perlu meraikan kekuatan masing-masing dan bergerak sebagai satu pasukan yang sentiasa memberi kata-kata semangat di antara satu sama lain. 

Kritikan yang membina akan menjadikan kita bertambah sayang. Kritikan kuat tentang perkara-perkara remeh hanya kerana kita rasa kita betul begitu menjengkelkan dan menjadikan pasangan ‘jauh’ dengan kita. 

Segalanya bermula di hati. Ungkapan sayang, I love you, hanya sekadar bait-bait yang dizahirkan seandainya hati kita berat untuk melakukan sesuatu untuk insan yang kita sayangi.

Yang lelaki tidak perlu rasa entitled, atau ‘aku layak’, sebaliknya perlu peka dengan mood isteri tersayang, begitu juga sebaliknya. Hati yang menyayangi tidak akan berat untuk menyediakan masakan atau apa sahaja untuk yang dicintai, malahan ingin menghidangkan yang terbaik pernah kita hasilkan.

Dan di pihak satu lagi, jika tidak dapat seperti yang diharap, bertanya dengan kasih sayang itu lebih baik daripada perli, bengang dan memarahi. Sekali-sekala tawarkan ‘khidmat’ atau ‘pertolongan’ untuk membuktikan yang kita peduli dan menyayangi.

Tentu ramai yang terpusing mata dan merasakan ini semua pemikiran ideal dan kehidupan kita seharian sarat dengan pelbagai cabaran. Lantas, tiada masa untuk memikirkan kesan perbuatan kita terhadap insan tersayang. 

Fikirlah apa sahaja, tetapi andai hal ini tidak diuruskan, jangan salahkan orang lain atau unsur luar seandainya perhubungan bertambah tawar.

Bukankah kehidupan yang kita impikan ialah kebahagiaan dengan pasangan yang kita pilih sehingga kematian memisahkan?

Perkahwinan bukan perjanjian selama 10 atau 15 tahun dan kemudian kontraknya dinilai semula. Jadi, bagaimana menjadikan bahtera perkahwinan ini semanis mungkin sehingga ke akhirnya?

Rahsianya ialah bermanis mulut, bersulam sayang. Bukan isteri sahaja, malah suami juga perlu berlumba-lumba menyayangi. Love you more. No! I love you more, begitulah. 

Semasa bercinta beriya-iya. Malangnya, bila dah bersama, masing-masing tidak ambil pusing apa perasaan pasangan. Bukankah ini tragis?

Seharusnya masing-masing ingin buat yang terbaik untuk pasangan, teruja untuk berikan yang terbaik. Minta cara baik, tanya dengan baik, jawab dengan baik, ditabur sedikit dengan lemah-lembut, senyuman dan kasih sayang. 

Kalau pasangan tiba-tiba berangin, menuduh melulu, menghentak dan memerli, bagaimana reaksi yang seorang lagi? Rasa hormat yang diperkotak-katikkan akan menjadikan pasangan jauh hati dan bibit-bibit cinta mula meninggalkan kotak hati.

Perhubungan yang sihat memerlukan kerja kuat untuk meletakkannya di tempat yang kita ingini. Semuanya bermula dengan niat. Tanpa niat yang betul, kita akan menelusuri rumah tangga dengan kaedah redah dan strategi ini berisiko untuk menjadikan bahtera perkahwinan kita sesat di lautan.

Jika pasangan kita mula senyum, berlemah-lembut, jangan pula disambut dengan, “You dah kenapa? Buang tabiat ke?” Mungkin boleh digalakkan lagi dengan ungkapan yang manis dan lembut, ditambah dengan sentuhan penuh kasih sayang.

Pelukan, ciuman dan belaian mesra itu umpama permata dalam perkahwinan. Amalkan bermanis mulut, tundukkan hati yang degil dan kepala yang sarat tidak puas hati itu serta fokus kepada cinta hati kita.

Husnuzon itu lebih baik. Ingat kembali mengapa kita menyayangi dia pada mulanya dan kenapa kita ingin berkongsi hidup dengan dia hingga ke akhirnya.

Alah bisa, tegal biasa kata pepatah lama. Perkara menjadi mudah jika kita sering melakukannya. Berusahalah untuk mengukuhkan cinta dengan pasangan dan rumah tangga kita. Tiada siapa yang akan rugi apabila kita saling sayang-menyayangi. - Getaran, 30 Julai 2021

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Jelajah 19 jam yang lalu

Lebih 10,000 Kad Raya Menghiasi Pusat Beli-Belah The Curve, Hidupkan Nostalgia Hari Raya

oleh Wartawan Gaya Hidup Getaran

Jelajah 15 jam yang lalu

Wau LED Hiasi Langit Malam Kampung Panchor 

oleh Rafisqi Radhi

Refleksi 1 hari yang lalu

Wanita Hari Ini, Mydin Bergabung Salur Bantuan Kepada Anggota Barisan Hadapan

Selain acara rewang di PPR Lembah Subang 2, Mydin juga mengagihkan 150 set bantuan Kotak MYDIN Prihatin yang bernilai sehingga RM60

oleh Rahayu MN

Selera 1 hari yang lalu

Ketupat Mohd Zaim, Tak Perlu Tunggu Hari Raya