Berita Terkini

4 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Ke Arah Gaya Hidup Mengurangkan Sampah

Refleksi Dikemaskini 4 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 07 Dec 2023 4:48PM

Oh Sok Peng yang menjalankan perniagaan bahan pembersihan secara isi semula menggunakan bekar dikitar semula dengan menggunakan van dan bergerak di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang setiap hari. - gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kehadiran sebuah van biru kekelabuan di kawasan petempatan elit Sri Hartamas di sini, sukar untuk dilepas pandang. Masakan tidak, keadaan van itu agak daif dan berdebu - satu pemandangan janggal di kawasan perumahan mewah.

Diletakkan di tepi jalan, pintu sisi dan belakang van itu dalam keadaan terbuka. Sebuah kanopi dipasang di satu lagi sisi van, melindungi barangan yang terletak di atas meja daripada panahan matahari. Di tepi van tergantung papan tanda bertulis “Refiller Mobile”, lengkap dengan senarai barang serta harga.

Berbaju kemeja-T lusuh yang dipadankan dengan seluar jeans cut-off berwarna hitam, Oh Sok Peng -si empunya perniagaan - duduk di dalam van, dikelilingi pelbagai tangki mini mengandungi bermacam-macam cecair. 

Oh ketika mengisi cecair pencuci ke dalam bekas plastik yang diguna semula. - gambar BERNAMA
Oh ketika mengisi cecair pencuci ke dalam bekas plastik yang diguna semula. - gambar BERNAMA

Usai menyeka peluh di dahi, wanita bertubuh kecil itu kembali meneruskan kerja - mengepam cecair hijau ke dalam botol bekas sabun pakaian.

Beliau menyifatkan perniagaannya sebagai usaha mengurangkan plastik, walhal beliau sendiri mengisi pelbagai cecair daripada bekas plastik besar ke dalam pelbagai botol plastik lain.

“Perniagaan kami ini bukan bersifat antiplastik. Kami tidak kata yang plastik ini tidak elok dan perlu diharamkan sepenuhnya. Dalam kehidupan kita ini, kita masih perlukan bekas plastik untuk mengisi dan menyimpan cecair,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengelap botol yang sudah penuh diisi itu sebelum diketepikan, dan mengambil botol lain untuk diisi semula - kali ini dengan cecair pencuci pinggan mangkuk.

Walaupun Oh mengatakan beliau bukan antiplastik, apa yang beliau lakukan adalah sebahagian daripada pengurusan sisa plastik.

Ada dua objektif yang disasarkan oleh wanita ini, iaitu cuba menghalang plastik baharu daripada memasuki pasaran dan memastikan plastik yang baru digunakan sekali kekal dalam kitaran, bukan dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Bagi memastikan objektifnya tercapai, Oh sanggup memandu ke kawasan petempatan di sekitar Rawang, Selangor hingga Bangsar di sini, hampir setiap hari, dan mengulangi petempatan terbabit setiap dua bulan.

Yang dilakukan oleh wanita ini adalah sebahagian daripada gaya hidup sifar sampah atau kadar sisa rendah dengan menggunakan semula serta mengurangkan penggunaan plastik. Kempen ini semakin popular di seluruh dunia termasuk Malaysia, yang boleh dianggap sebagai tepat pada waktunya jika diambil kira kedudukan negara ini dari segi penghasilan sisa plastik.

Negara “Sampah”

Malaysia berdepan masalah berkaitan sampah plastik. Bergantung pada kajian yang dibaca atau dirujuk, negara ini berada di kedudukan sama ada kedua, kelima atau kelapan dari segi sumbangan sisa plastik terbesar dunia. Kajian menunjukkan mikroplastik hadir di dalam awan serta di bahagian terdalam lautan, selain di dalam tubuh haiwan dan manusia.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sebanyak 101,949 tan metrik plastik  atau 13 peratus daripada keseluruhan 772, 349 tan metrik sampah yang dijana oleh penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 2021 berakhir di tapak pelupusan. Hanya 152.87 tan metrik plastik dikitar semula. Kadar kitar semula plastik negara pada tahun berkenaan ialah 16 peratus.

Kadar itu meningkat pada 2022, namun jumlah sisa plastik dan sampah lain juga bertambah. Keseluruhannya, sejumlah 796,795 tan metrik sampah dengan 13 peratus atau 210,966 tan metrik adalah plastik, dihasilkan oleh penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun lepas.

Kadar kitar semula plastik pada tahun itu ialah 18 peratus, sementara kadar kitar semula untuk semua jenis sampah ialah 33.16 peratus berbanding sasaran 40 peratus menjelang 2025.

Pengurangan dan penggunaan semula plastik adalah sebahagian daripada pelan ekonomi kitaran negara dalam menguruskan sisa plastik bersertakan kitar semula. Namun disebabkan oleh kadar kitar semula rakyat Malaysia masih rendah, sebarang usaha bagi mengurangkan jumlah sisa plastik ke tapak pelupusan adalah sesuatu yang bagus.

Kempen mengurangkan kadar sisa berjaya menarik ramai pengikut yang mahu menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar, dan beberapa buah syarikat kecil bukan setakat menyediakan perkhidmatan isian semula barangan rumah dan makanan, tetapi turut menghasil dan menjual produk lestari atau bebas plastik.

Tan Pei Yen (kiri) ketika berurusan dengan pelanggan. - gambar BERNAMA
Tan Pei Yen (kiri) ketika berurusan dengan pelanggan. - gambar BERNAMA

Minimize, antara syarkat yang berbuat demikian. Kedai sifar sampah ini terletak di Subang Jaya, Selangor dan diusahakan oleh Jayne Lee serta rakan kongsinya Tan Pei Yen. Menurut usahawan itu, idea tersebut tercetus pada 2019 apabila timbul rasa ingin tahu beliau tentang sisa plastik selepas membaca artikel tentang plastik sekali guna seperti straw.

“Rupa-rupanya cara kita gunakan barang-barang dalam kehidupan seharian membawa impak. Justeru, saya tertanya-tanya bagaimana saya dapat kurangkan impak saya,” kongsinya kepada Bernama.

Jawapannya ialah kedai yang menjual barangan peribadi bebas plastik, dalam bekas bebas plastik atau pembungkus lestari, merangkumi berus gigi daripada buluh, ubat gigi yang boleh dikunyah, napkin guna semula serta “cawan haid” dan balm bibir.

Turut dijual ialah bekas makanan daripada besi serta penutup bekas makanan yang diperbuat daripada silikon.

Lee dan Tan juga menawarkan perkhidmatan isian semula barangan rumah dan snek tempatan seperti kuih kapit dan keropok.

Pengasas Jayne Lee serta rakan kongsinya Tan Pei Yen yang mengusahakan Minimize di Subang Jaya. - gambar BERNAMA
Pengasas Jayne Lee serta rakan kongsinya Tan Pei Yen yang mengusahakan Minimize di Subang Jaya. - gambar BERNAMA

Kedai mereka turut menerima barangan kitar semula seperti botol dan minyak masak, walaupun “kitar semula seharusnya menjadi langkah terakhir,” kata Tan.

Satu daripada produk yang dijual di kedai itu ialah balm bibir berjenama Lips Carpenter, dan yang membezakan balm ini daripada yang lain ialah tiub yang diperbuat daripada kertas dan bebas plastik.

Menurut pengasas Lips Carpenter Law Yifon, beliau memutuskan untuk menerima guna gaya hidup rendah sisa dan lestari selepas melihat begitu banyak sisa kosmetik yang dihasilkannya selepas setahun memulakan perniagaan pada 2018.

“Cuba fikir. Kita boleh habiskan balm bibir dalam masa tiga hingga enam bulan, atau maksimum setahun, jika kita guna hari-hari. Jadi, kenapa kita perlukan bekas plastik yang boleh bertahan selama 500 tahun untuk satu produk yang boleh dihabis guna dalam tempoh setahun?” soal beliau.

Syarikat beliau turut mengeluarkan gincu bibir. Sekalipun bukan dalam bekas bebas plastik, lipstik berkenaan adalah lestari kerana ada opsyen isi semula dan bekas itu juga boleh dikitar semula.

Antara produk sabun yang dijual di Minimize. - gambar BERNAMA
Antara produk sabun yang dijual di Minimize. - gambar BERNAMA

Opsyen sifar sisa ini sepatutnya dapat mengurangkan penghasilan sampah di Malaysia, namun hingga kini belum ada bukti akan kesan kempen itu. Pihak berkuasa yang mengendalikan sisa pepejal melaporkan jumlah sampah bertambah seiring pertumbuhan populasi.

Buang Kejahilan

Adakah ini bermakna gerakan sifar sisa tidak ada kesan ke atas penghasilan sampah? Atau, adakah tidak ramai yang menyertai gerakan mengurangkan sisa plastik ini?

Satu daripada kritikan terhadap kempen itu ialah meletakkan tanggungjawab ke atas orang awam, bukan  syarikat atau kerajaan. Carbon Majors Report 2017 mengenal pasti 100 syarikat yang bertanggungjawab terhadap 71 peratus daripada pelepasan iklim global, kebanyakannya adalah syarikat minyak dan gas. Akan tetapi, penggunaan dan pembuangan plastik orang awam yang berleluasa juga turut menyumbang.

Bernama menemu bual beberapa orang rakyat Malaysia tentang gaya hidup sifar sampah dan sama ada gerakan itu menarik minat mereka.

Kebanyakannya tidak tahu tahu tentang gerakan tersebut tetapi kesemua mereka menyatakan sokongan selepas mengetahuinya. Namun begitu, ramai yang berpendapat gaya hidup sedemikian sukar untuk diterima guna.

Bagi usahawan dan pakar dalam bidang itu pula, mereka berpandangan adalah penting bagi orang ramai untuk setidak-tidaknya cuba mengurangkan penghasilan sampah masing-masing.

Pensyarah dalam bidang kejuruteraan alam sekitar UCSI University Prof Datuk Dr Ahmad Ibrahim tidak terperanjat apabila dimaklumkan bahawa sesetengah ahli masyarakat berpendapat amat sukar untuk mengamalkan gaya hidup sifar sisa.

“(Gaya hidup sifar sisa) sukar dikekalkan kerana hal itu melibatkan perubahan sikap. Akan tetapi, kita boleh mulakan dengan memperkenalkan peraturan dan lain-lain,” katanya menerusi WhatsApp.

Tambah beliau, sebuah ekonomi kitaran yang merangkumi penggunaan semula barangan dan sampah, adalah penting bagi mencapai sasaran negara rendah karbon.

Pemilik WOWO Ecowork Chai Pei Chee, 42,  berkata walaupun semakin popular, tidak ramai yang tahu atau faham akan gerakan sifar sisa. Beliau sebelum ini menutup kedainya di Ampang, Selangor, di mana beliau menyediakan perkhidmatan mengisi semula dan menerima botol untuk diguna atau dikitar semula. Kini beliau menjalankan perniagaanya secara dalam talian dan mudah alih, menawarkan perkhidmatan di sekitar Ampang.

“Di kawasan saya ini tidak ada yang tahu pasal perniagaan saya. Mereka tanya, ‘apa yang kamu buat? Isi cecair pencuci pinggan ke dalam botol air mineral, apa tu?”

“Di luar sana, mereka fikir saya jual barang organik yang sangat mahal, jadi sesetengahnya tidak berani datang ke kedai saya. (Bagi mereka) organik itu maknanya mahal,” katanya, menambah produk terbabit sebenarnya lagi murah berbanding yang dijual di pasar raya.

Oh bersetuju. Sebahagian besar harga barangan di kedai runcit adalah kos pembungkusan yang selalunya merupakan plastik tahan lasak berkualiti tinggi. Menerusi pengisian dan penggunaan semula botol, pelanggan cuma membayar harga kandungan, bukan pembungkusan.

“Apabila mereka datang ke van, baru mereka tahu ‘Oh, harganya berpatutan’. ‘Oh, anda bantu saya gunakan semula botol plastik saya’. Mereka jadi lebih terbuka untuk menerima idea ini,” jelasnya.  

Perkhidmatan sifar sisa juga ada kekangan. Dalam konteks perkhidmatan isi semula mudah alih ini, ada jejak karbon yang ditinggalkan oleh Oh dan mereka yang lain. Selain itu, bagi Oh, beliau perlu pastikan ada sejumlah pelanggan di setiap venue agar perjalanannya berbaloi dengan kos.

Bagi kedai-kedai tradisional, mereka merupakan penyedia perkhidmatan setempat dengan kebanyakan pelanggan adalah dari kawasan sekitar. Kedai dalam talian pula, mahu tidak mahu terpaksa menggunakan pembungkus plastik seperti pembalut gelembung bagi melindungi produk semasa penghantaran.

Langkah Kecil

Minimize yang beroperasi di Subang Jaya. - gambar BERNAMA
Minimize yang beroperasi di Subang Jaya. - gambar BERNAMA

Bagaikan anjing menyalak bukit, usaha ini tidak akan mendatangkan hasil yang dihajati melainkan majoriti populasi dunia menyertai kempen itu. 

Namun begitu, Lee yang berpendapat menerima guna sifar sisa tidaklah sesukar seperti yang dibayangkan, berkata tabiat kitar semula sebenarnya lebih payah untuk dipupuk.

Lebih-lebih lagi tabiat mengguna semula barangan sudah lama diamalkan dalam kalangan rakyat Malaysia, misalnya menjadikan tin biskut sebagai bekas simpanan alatan menjahit atau bekas ais krim sebagai wadah makanan lain.

Seseorang itu cuma perlu mulakan langkah tersebut dan kesabaran.

“Kena banyak kali mencuba sebelum dapat mengamalkannya. Macam kami, sudah dua tahun kami di sini, dan sekarang kami baru nampak awal-awal lagi orang ramai sudah mula datang serta semakin terbiasa dengan gaya hidup ini,” kata Lee.  - BERNAMA

Sorotan

1

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

2

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

3

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

4

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

5

Kemenangan Ke Atas Hong Kong Lonjak Keyakinan Kem Perseorangan - Jun Hao

6

Misi Gaza Freedom Flotilla Ditangguhkan, Peserta Dinasihat Pulang - Ann Wright

7

Kerajaan Tidak Bercadang Gantung Sementara Perkhidmatan Helikopter Jenis Fennec, HOM

Disyorkan untuk anda

Jelajah 16 jam yang lalu

Nikmati 'Staycation', Percutian Idaman Di 5 Hotel, Resort Baharu

oleh Rahayu MN

Jelajah 23 jam yang lalu

Dapatkan Pas ASEAN Explorer  Pada Harga Promosi RM999

Belian harus dibuat sebelum 1 Mei dan ia sah untuk perjalanan selama setahun

oleh Rahayu MN

Gaya 44 minit yang lalu

Duit Raya Mahu Dibelanjakan Atau Simpan?

Kalau mahu didik anak menabung, boleh simpan. Kalau hendak belanja, perlu pertimbangkan sebabnya.

oleh Rahayu MN