Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Segalanya Yang Anda Perlu Tahu Tentang Rawatan IVF

Bukan hanya kaum hawa, golongan lelaki juga perlu ambil tahu tentang persenyawaan in-vitro.

Refleksi Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 24 Jul 2022 9:55AM

IVF adalah antara inisiatif perubatan moden yang dapat merawat isu ketidaksuburan di kalangan suami isteri. - Gambar ihsan Pusat Perubatan Sunway Velocity

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Terdapat beberapa faktor yang membawa kepada kelewatan rakyat Malaysia untuk mempunyai anak seperti perkahwinan lewat atau status ekonomi merudum akibat pandemik COVID-19.

Walaupun pengaruh usia juga mampu memberi kesan kepada kadar kesuburan, namun dengan kemajuan perubatan moden ketika ini, ia mampu memberi sinar kepada mereka yang inginkan zuriat.

Antara inisiatif perubatan moden yang dapat merawat isu kesuburan ini ialah persenyawaan in-vitro (In Vitro Fertilisation) atau lebih dikenali sebagai rawatan IVF.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan, Dr Ashley Chung berkata, IVF adalah satu anugerah perubatan moden bagi menangani masalah kesuburan.

“IVF ialah pilihan terbaik jika anda mengalami masalah tiub fallopio tersumbat, kerosakan tiub, endometriosis, masalah ovulasi, sperma yang terjejas, pensterilan lelaki atau masalah genetik.

“Ujian genetik praimplantasi aneuploidies (PGT-A) atau ujian untuk mengesan sebarang ketaknormalan pada embrio ialah satu lagi ujian perubatan dalam merawat masalah kesuburan. 

“PGT-A yang dilakukan bersama IVF dapat menentukan bahawa embrio itu sihat ataupun tidak.

“PGT-A juga mampu meningkatkan kadar kehamilan, mengurangkan risiko keguguran, risiko ketaknormalan kromosom.

“Ia membolehkan embrio yang mempunyai kromosom normal ‘dipindahkan’ ke dalam rahim atau dibekukan untuk kegunaan masa hadapan,” jelas Dr Ashley.

 IVF adalah satu anugerah perubatan moden bagi menangani masalah ketidaksuburan.
IVF adalah satu anugerah perubatan moden bagi menangani masalah ketidaksuburan.

Tambah Dr Ashley, satu lagi teknik makmal terkini ialah suntikan ‘sperma terpilih morfologi intracytoplasmic’ (IMSI).

IMSI ialah proses yang dilakukan untuk mengenal pasti kecacatan di kepala sperma yang tidak dapat dilihat melalui prosedur biasa.

Seterusnya, doktor akan menyuntik sperma terbaik dan berkeadaan normal ke dalam sel oosit (telur) untuk meningkatkan lagi peratusan kejayaan persenyawaan.

Dr Ashley turut mengingatkan bahawa rawatan IVF adalah berbeza bagi setiap wanita. Ia membuatkan setiap wanita mengalami tindak balas yang berbeza terhadap ubat-ubatan yang berlainan.

Oleh itu, sebelum memulakan IVF, pesakit dinasihati menjalani pemeriksaan klinikal secara menyeluruh terlebih dahulu. 

Pesakit juga disarankan untuk melakukan ujian darah bagi mengetahui punca utama masalah kesuburan mereka.

“Sesetengah wanita mungkin berjaya selepas satu kitaran IVF, sementara yang lain mungkin perlu mencuba lagi beberapa kitaran. 

“Cabaran lain seperti harus menerima suntikan IVF secara harian bagi merangsang ovari yang menghasilkan telur matang untuk proses persenyawaan dengan sperma,” jelas Ashley.

Mengenal pasti masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki dan cara merawatnya

Membina satu keluarga bahagia merupakan sebuah perjalanan yang ingin dilalui oleh setiap pasangan yang berkahwin.

Oleh itu, kesedaran tentang masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki juga harus diberikan perhatian kerana terdapat peningkatan kes di peringkat tempatan dan global.

Dr Farah Leong
Dr Farah Leong

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan, Dr Farah Leong berkata:

“Sama seperti wanita, tahap kesuburan lelaki boleh menurun seiring dengan peningkatan usia.

“Ia biasanya bermula apabila mereka mula memasuki fasa usia 40-an kerana ia mampu menjejaskan kualiti sperma yang dihasilkan,” jelah Dr Farah.

Dr Farah turut menjelaskan masalah kesuburan lelaki ini tidak selalu dibincangkan kerana masih terdapat stigma dan budaya masyarakat Asia yang memandang tinggi maruah seorang lelaki.

“Tidak dinafikan lebih banyak kesedaran perlu dibangkitkan tentang isu ini. Beberapa faktor gaya hidup serta persekitaran memainkan peranan yang amat besar.

“Menghisap rokok atau ganja, pengambilan minuman keras secara berlebihan, obesiti dan rawatan hormon boleh membawa kepada parameter sperma yang tidak optimum.

“Punca yang boleh membawa kepada masalah ketidaksuburan lelaki ini seperti faktor kongenital atau faktor keturunan. Ia bermakna ia telah wujud sejak lahir lagi.

“Namun, terdapat juga faktor-faktor lain seperti pembedahan, trauma, jangkitan, masalah testis atau masalah ubat-ubat tertentu yang menjadi punca kepada permasalahan ini.

“Oleh itu, setiap rawatan yang dicadangkan akan bergantung kepada punca masalah ketidaksuburan itu sendiri,” tambah Dr Farah.

Untuk memeriksa sama ada seseorang itu mempunyai sperma yang optimum ataupun tidak, satu ujian sperma boleh dijalankan untuk mengumpul maklumat jumlah, kelajuan dan bentuk sperma.

Pemeriksaan lanjut seperti ujian hormon darah akan dilakukan jika perlu. Ia bergantung pada parameter sperma tersebut.

Rawatan IVF turut menjadi pilihan kepada golongan lelaki dengan masalah jumlah kiraan sperma sedikit atau sperma yang tidak boleh berenang.
Rawatan IVF turut menjadi pilihan kepada golongan lelaki dengan masalah jumlah kiraan sperma sedikit atau sperma yang tidak boleh berenang.

Menurut Dr Farah, lelaki memerlukan rawatan sekiranya mempunyai masalah untuk mencapai ereksi atau ejakulasi serta memiliki sejarah pembedahan pada kemaluan atau menjalani rawatan kemoterapi.

Walau bagaimanapun, mereka dinasihatkan untuk berjumpa pakar rawatan kesuburan terlebih dahulu, sekiranya telah mencuba atau berusaha untuk mendapatkan zuriat selama lebih dari setahun.

Rawatan IVF turut boleh menjadi pilihan untuk lelaki dengan masalah jumlah kiraan sperma sedikit atau sperma yang tidak boleh berenang.

“Sebagai contoh, bagi sperma yang tidak mampu berenang, kami boleh mencari sperma terbaik melalui mikroskop dan menyuntiknya terus ke dalam telur untuk proses persenyawaan.

“Kaedah ini boleh meningkatkan peluang kehamilan yang berjaya,” terang Farah.

Kemajuan dalam teknologi perubatan moden ini bukan sekadar dapat merawat simptom awal, bahkan mampu memberi penyelesaian kepada masalah kesuburan ini.

Akhir kata, rawatan IVF boleh dipertimbangkan oleh pasangan yang ingin memastikan kehamilan dengan bayi yang dalam keadaan sihat dan selamat. - Getaran, 24 Julai 2022

Isu Pada

Awie - Kemudi Empayar Wings

23 Jul 2022

Sorotan

1

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini