Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Apa Silap Muhyiddin Sebagai Perdana Menteri?

Politik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 19 Aug 2021 11:01AM

Muhyiddin Yassin - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Mengimbau perjalanan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, permulaan dan pengakhiran beliau memegang jawatan itu penuh kontroversi.

Pelantikannya sebagai pemimpin nombor satu kerajaan Malaysia pada 1 Mac 2020 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, dilatari kisah dan dakwaan tidak sedap didengar, termasuk digelar ‘kerajaan tebuk atap dan pintu belakang’ kerana ditubuhkan tanpa melalui Pilihan Raya Umum (PRU) serta bukan menerusi mandat rakyat.

Kemudian pentadbiran Muhyiddin yang mula serius menceburi politik selepas dilantik Bendahari UMNO Pagoh, Muar pada tahun 1971 itu, perlahan-lahan semakin diterima rakyat kerana pendekatan kepimpinannya dilihat lebih memfokus kepada keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat dalam tempoh sukar akibat pandemik COVID-19 sejak awal 2020.

Ia dilihat semakin meyakinkan apabila Muhyiddin menawarkan pelbagai bentuk bantuan kewangan, inisiatif dan elaun, termasuk peruntukan Belanjawan 2021 paling tinggi dalam sejarah negara, yang merangkumi dana RM322.5 bilion dengan tema Teguh Kita, Menang Bersama, demi rakyat serta ekonomi.

Namun, selepas 535 hari atau kira-kira 17 bulan mentadbir, Muhyiddin dan Jemaah Menteri mengumumkan peletakan jawatan pada 16 Ogos lalu selepas kehilangan majoriti apabila 15 Ahli Parlimen UMNO nekad menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpinnya.

Tumbangnya kerajaan Muhyiddin sudah dijangka banyak pihak dan rakyat sendiri terutama selepas tawaran dikemukakan beliau kepada semua parti politik, termasuk pembangkang dan UMNO untuk menyokongnya dalam usul undi percaya di Parlimen ditolak.

Bagaimanapun, di sebalik peristiwa itu, tercetus persoalan apa dan bagaimana silap dilakukan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan sehingga pencapaian cemerlangnya pada peringkat awal secara tiba-tiba dilihat berubah dan ‘rebah’.

Penganalisis Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata alasan Muhyiddin mengambil keputusan meletakkan jawatan adalah berasaskan kepada amalan demokrasi, iaitu apabila seseorang Perdana Menteri harus berbuat demikian apabila kehilangan majoriti. See

Katanya, walaupun keputusan terbabit dianggap tidak sesuai dalam suasana pandemik sekarang, itulah perkara terbaik bagi memastikan krisis politik dapat ditenangkan buat sementara waktu.

“Tidak dinafikan di peringkat awal, Perdana Menteri dan Kabinetnya mendapat banyak kredit kerana berjaya mengawal penularan pandemik, tetapi saya dapati selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, keadaan berubah 360 darjah.

“Jangkitan COVID-19 meningkat gara-gara kempen PRN itu dan banyak pihak mengaitkannya dengan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan ahli politik yang berkempen. Kenaikan kes sejak itu, saya kira menjadi punca kenapa kerajaan mula dilihat gagal,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Mohd Izani berkata penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO, termasuk dua menteri parti itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad daripada Kabinet Muhyiddin menyaksikan beliau hilang majoriti, sekali gus menjadi punca kepada keretakan dan kejatuhan kerajaan PN.

Bercakap mengenai peletakan jawatan menteri UMNO jelasnya, seorang menteri tidak boleh mempunyai pandangan peribadi yang bercanggah dengan keputusan Kabinet, justeru jika berlaku pendapat berbeza, individu terbabit hendaklah meletakkan jawatan atau boleh dipecat.

Mengulas lanjut Mohd Izani berkata, pada masa sama menteri UMNO perlu akur dengan keputusan parti, jadi inilah dilema dihadapi mereka apabila UMNO bukan lagi parti komponen PN.

“Apapun, bagi saya selepas ini, kita perlu ada kerajaan yang stabil. Adakah kita mahu kerajaan bertukar setiap tahun? Ini memerlukan kebijaksanaan ahli politik juga.

“PM mesti mendapat sokongan majoriti dan ada karisma untuk menyatukan ahli politik. Pemilihan kabinet baharu boleh melibatkan pelantikan lebih ramai ahli profesional dan teknokrat bagi mengurangkan politiking,” katanya.

Penganalisis Politik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah pula berkata, ‘kesilapan’ Muhyiddin mungkin boleh dilihat daripada dua aspek, iaitu pentadbiran dan politik.

Daripada aspek pentadbiran, katanya, terdapat beberapa langkah dilihat kurang wajar, seperti bilangan anggota Kabinet yang besar, iaitu kira-kira 70 orang merangkumi Menteri dan Timbalan Menteri.

Jumlah Jemaah Menteri itu, jelasnya, difahami sebagai cara untuk Muhyiddin membalas sokongan diberikan kepada parti yang menyokongnya untuk beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kesilapan daripada aspek pentadbiran Muhyiddin turut berlaku apabila kerajaannya mengusulkan darurat pada Mac 2021 yang mencetuskan sentimen tidak puas hati pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, saya berpendapat jika dilihat terperinci, ketidakpuasan hati pelbagai pihak ini disebabkan persepsi dibuat pemimpin UMNO dalam PN, termasuk isu berkaitan kepimpinan dan kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya.

Tempias daripada konflik antara ahli UMNO ini jelas beliau, turut dirasai Muhyiddin sebagai Presiden PN dan Perdana Menteri, sehingga membolehkan pembangkang mengambil kesempatan dengan memfokuskan kepada isu kemelut itu yang menyaksikan parti di bawah kerajaan terus berdepan masalah.

Mohd Azmir berkata, keadaan itu membawa kepada kesilapan politik dalam pentadbiran Muhyiddin apabila beliau terpaksa berdepan pelbagai tekanan daripada ‘rakan kongsi’ dalam PN, parti pembangkang dan pihak luar, selain isu ditimbulkan beberapa Ahli Parlimen kerajaannya.

Ulasnya, dalam keadaan tekanan dihadapi Muhyiddin di sebalik desakan supaya tumpuan terus diberikan kepada usaha menangani COVID-19, beliau dilihat gagal menangani dan memuaskan hati semua pihak, justeru menyebabkan kepercayaan terhadap kepimpinannya semakin terhakis.

Kesukaran Muhyiddin mentadbir kerajaannya juga, katanya, berpunca daripada kegagalan segelintir anggota Kabinet dalam kalangan muka baharu yang mungkin kurang bijak menguruskan tanggungjawab, terutama daripada segi kenyataan media dan komunikasi dikeluarkan.

“Mungkin sudah tiba masanya, lebih ramai ahli profesional dan teknorat dilantik ke jawatan menteri tertentu atau sebagai penasihat selepas ini bagi mengurangkan politiking seperti sudah lama diharapkan banyak pihak.

“Kalau kita tengok beberapa negara maju, Kabinetnya tidak besar tetapi penasihat dalam kalangan pakar bidang yang diambil adalah ramai, jadi saya rasa perkara ini mungkin boleh diambil maklum kerajaan akan datang. Malah tidak semestinya menjadi sebuah kabinet besar bermaksud boleh mentadbir dengan lebih baik,” katanya. - Getaran, 19 Ogos 2021

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

oleh Wartawan Getaran

Semasa 9 minit yang lalu

Bekas Isteri Didakwa Bunuh Nurman

Semasa 1 hari yang lalu

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

Politik 16 jam yang lalu

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok