web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Orang Melayu Rebut Kuasa, Drama Lapuk Politik Negara - Hanif Omar

Politik Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Aug 2021 2:04PM

Tun Mohammed Hanif Omar

oleh

Zaidi Azmi

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Ketika ditanya tentang drama perebutan kuasa politik negara yang kelihatan seperti tidak berkesudahan, Tun Mohammed Hanif Omar mengeluh kecil.

Apabila menjawab soalan itu, nada tegas mantan Ketua Polis Negara keempat tersebut kedengaran sedikit hiba, khususnya semasa menyentuh perihal perpecahan kuasa politik orang Melayu yang menurut beliau, sudah lama berpuak-puak.

“Kita mesti cuba kekalkan perpaduan Orang Melayu. Apa-apa kerajaan sekali pun mesti berlandaskan bangsa Melayu,” tegas Hanif, 82, dalam satu temu bual dengan Getaran di kediamannya di Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kepentingan, keperluan serta kebajikan kaum lain tidak boleh sama sekali diketepikan dalam usaha untuk memelihara perpaduan orang Melayu.

Apa yang akan berlaku jika sesebuah kerajaan dibentuk tanpa dokongan dan sokongan yang kukuh dari orang Melayu?

Hanif yang juga Penasihat kepada Majlis Perundingan Melayu (MPN) itu tidak mengulas dengan lebih mendalam, sebaliknya memetik satu contoh dalam sesi temu ramah tersebut. 

“Kami berpegang teguh kepada pendapat ini berdasarkan pada apa yang berlaku pada zaman pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Parti Pribumi Bersatu) didokong oleh DAP,” jelas Hanif.

PH berjaya membentuk kerajaan setelah menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, yang menyaksikan gabungan itu memenangi 113 kerusi Parlimen berbanding 79 kerusi oleh BN.

Ketika itu, PH dianggotai oleh empat parti iaitu; DAP (42 kerusi Parlimen), PKR (47 kerusi Parlimen), Bersatu (13 kerusi Parlimen) dan Amanah (11 kerusi Parlimen).

Sepanjang 22 bulan pemerintahan PH, banyak insiden yang dikatakan mengguris perasaan orang Melayu berlaku.

Antaranya adalah cubaan kerajaan itu untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) secara senyap-senyap.

“Sebab itu kita ada Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Kalau kita faham dan baca perkara itu, ia menunjukkan bahawa Orang Melayu tidak boleh ketinggalan di negeri dia sendiri sebab itu perlu adanya program-program bantuan kepada mereka.

“Tapi ini tak bermakna bangsa-bangsa lain tidak boleh dibantu,” jelas Hanif.

Rentetan daripada kejatuhan PH dan juga pembentukan Perikatan Nasional (PN), kuasa politik orang Melayu berpecah sekali lagi dengan penubuhan Parti Pejuang Tanah Air oleh Dr Mahathir yang tidak bersetuju dengan pendirian PN.

Bagaimanapun PN gagal mentadbir Malaysia dengan aman, gara-gara percubaan merebut kuasa oleh seteru politiknya meskipun negara sedang dibelenggu pandemik COVID-19 yang kian parah menular.

Malah, kesengitan serangan politik itu turut memaksa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat pada 12 Januari hingga 1 Ogos, bagi membolehkan kerajaan memberi fokus kepada usaha membendung pandemik COVID-19.

Dalam hal ini Hanif berpendapat, perlu dilaksanakan darurat khusus untuk menyelesaikan kemelut politik negara.

“Kena buat MAGERAN (Majlis Gerakan Negara). Lantik PM interim. Kena cari orang yang sesuai,” tegasnya.

Menurut, Hanif, beliau menerusi kapasitinya dalam MPN, telah beberapa kali menghantar memorandum kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara untuk menyuarakan pendapatnya tentang penubuhan MAGERAN.

“Tapi buat masa ini masih belum ada apa sambutan dan maklum balas daripada Istana Negara,” dedahnya.

Kali terakhir MAGERAN ditubuhkan adalah pada tahun 1969 iaitu sejurus selepas Malaysia dibadai rusuhan perkauman 13 Mei yang telah memporak-perandakan keharmonian negara.

Namun, Hanif berpendapat, kemelut politik yang melanda negara sekarang ini tidaklah mengejutkan.

“Ada yang sudah tak sabar-sabar nak jadi PM. Ada pula yang tak kisah dan sanggup menyokong sesiapa sahaja yang boleh bantu menggugurkan pertuduhan mahkamahnya.

“Yang takut masuk penjara itu saya tak hairan sangat, siapa yang nak masuk penjara,” seloroh Hanif. – Getaran, 10 Ogos 2021.

Sorotan

1

Hanya Belajar Di Media Sosial, Anak Kampung Kini Hasilkan 6,000 Ikan Angelfish

2

Bekas Timbalan Speaker DUN Kedah Ditemukan Lemas Di Sungai

3

Sesat 14 Hari, Jaslinda Kongsi Pengalaman Getir Bertahan Untuk Hidup

4

MPL MY: Team Vamos Mara Ke Grand Final, Tempah Tiket Ke MSC

5

‘PRN Johor Bukan Keutamaan Saya, Pemulihan Ekonomi Masih Fokus Kerajaan Persekutuan’ – Anwar

6

Nahas 2 Kenderaan, Kanak-Kanak 9 Tahun Maut Kereta Dipandu Ibu Bertembung 

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 1 jam yang lalu

Gempa Bumi 8.2 Landa Mindanao, Pihak Berkuasa Keluarkan Amaran Tsunami

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 jam yang lalu

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

Semasa 1 hari yang lalu

Nahas 2 Kenderaan, Kanak-Kanak 9 Tahun Maut Kereta Dipandu Ibu Bertembung 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 17 jam yang lalu

Tersalah Tekan Pedal Minyak, Wanita 61 Tahun Pandu Posche Rempuh Lobi Hotel

oleh Sophia Ahmad