KUALA LUMPUR -- Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengesahkan tiada sebarang hantaran pesanan ringkas kepada pengundi oleh pihak Majlis Belia Malaysia (MBM) seperti yang tular di Twitter hari ini.
Menurut beliau, semakan melalui kementeriannya, Fahmi mengesahkan bahawa pihak kerajaan mahupun mana-mana agensi berkait tidak pernah mengeluarkan arahan berbentuk sedemikian.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membuat semakan dengan telco dan mengesahkan tiada kementerian atau Agensi Kerajaan yang telah mengeluarkan arahan sebaran sistem pesanan ringkas (SMS) seperti didakwa.
"Majlis Belia Malaysia juga telah mengeluarkan penafian dan mengesahkan hantaran tersebut bukan bersumberkan pihak MBM," kata Fahmi di laman Twitter beliau.
MCMC telah membuat semakan dengan semua telco dan mengesahkan tiada Kementerian atau Agensi Kerajaan yang telah mengeluarkan arahan sebaran SMS seperti didakwa.
— Fahmi Fadzil ?? (@fahmi_fadzil) August 5, 2023
Majlis Belia Malaysia juga telah mengeluarkan penafian dan mengesahkan hantaran tersebut bukan bersumberkan pihak MBM. https://t.co/i1mAqza0eh
Sebelum itu, Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid juga menafikan bahawa hantaran SMS itu datang dari pihaknya.
"SMS bersifat provokatif dan menghasut itu bukan daripada pihak MBM atau mana-mana pertubuhan belia yang bergabung di bawah MBM.
"MBM akan mengambil tindakan lanjut dan satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang salah guna nama yang mengaitkan pihak MBM dengan keadaan yang tidak bertanggungjawab, " katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Satu sebaran SMS berkisarkan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) dikatakan berlegar dalam kalangan pengundi.
Kandungan SMS berkenaan antaranya adalah mengajak pengundi untuk turun ke ceramah Jelajah Madani yang bertempat di Alor Setar. – Getaran. 5 Ogos 2023
