Berita Terkini

4 jam yang lalu: Anwar puji sikap Hun Sen yang hormati kaum Muslim 4 jam yang lalu: Anwar bakal umum pelaburan penting baharu semasa lawatan ke China 4 jam yang lalu: Bazar Ramadan Rahmah di 38 lokasi seluruh negara 4 jam yang lalu: Karate sasaran lubuk emas negara di Sukan SEA - CDM 4 jam yang lalu: Malaysia-Turkiye boleh terokai kerjasama baharu industri aeroangkasa - Ahmad Zahid

IKUTI KAMI


Parti Mana Tawar KJ Jawatan Menteri Besar Selangor? ‘Saya Rasa… - Penganalisis

Politik Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 09 Feb 2023 7:32AM

Khairy Jamaluddin - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Sejak dipecat daripada parti Melayu terbesar negara, UMNO, masa depan mantan Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin dalam persada politik negara masih belum jelas.

Biarpun PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) secara terbuka mempelawa mantan Ahli Parlimen Rembau itu bersama mereka, namun beliau dilihat ‘tidak sudi’.

Namun, menerusi kenyataannya kepada media baru-baru ini, Khairy memberi bayangan beliau mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.

Lebih menarik perhatian apabila mantan Menteri Kesihatan itu mendedahkan, terdapat perbincangan antaranya dengan beberapa pihak berhubung tawaran untuk beliau menjadi calon Menteri Besar Selangor.

Pendedahan itu sekali gus mencetuskan persoalan dan perdebatan hangat parti manakah yang menawarkan Khairy jawatan Menteri Besar di negeri berkenaan.

Mengikut pandangan penganalisis kepada Getaran, UMNO dan Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin melakukan tawaran itu. 

Katanya, ia kerana UMNO tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar untuk ditawarkan kepada Khairy kerana mereka hanya menguasai sebilangan kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, tambahan beliau sudah dipecat daripada parti itu. 

Manakala, bagi PH, ujarnya, gabungan politik itu sudah mempunyai beberapa pilihan calon Menteri Besar tersendiri dari PKR, termasuk penyandangnya, Datuk Seri Amirudin Shari. 

Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai BERSATU dan PAS pula, katanya, turut didakwa mempunyai calon mereka, iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana sebagai mantan Menteri Besar Selangor, sudah tentu beliau mempunyai misi ‘membalas dendam’ untuk merampas kembali kerusi itu, akibat kekalahannya di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November tahun lalu. 

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpandangan, satu kemungkinan yang wujud adalah tawaran itu diterima daripada PAS. 

“Sebab pertama, PAS ini adalah parti yang agak dominan juga di Selangor dan dibanding BERSATU, PAS dari segi sejarah ia agak lama bertapak di Selangor kerana pernah menang 15 kerusi sewaktu dalam Pakatan Rakyat dahulu. 

“Jadi ada kemungkinan PAS juga boleh membuat tuntutan jawatan Menteri Besar bagi negeri ini kalau mereka dapat tawan dan diberikan kepada Khairy.

“Saya nampak satu-satunya tawaran itu dari PAS. Lain-lain parti adalah tidak jelas dan tidak pasti adakah beliau dapat tawaran itu dari mereka,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Mazlan berkata, Khairy adalah pemimpin agak luar biasa dari segi prestasi dan popularitinya. 

Jelasnya, prestasi Khairy ketika bertanding di Parlimen Sungai Buloh pada PRU-15 adalah baik dengan beliau hampir mendahului undi. 

Menurutnya, calon PH, Datuk R Ramanan yang memenangi kawasan itu juga meraih kemenangan dengan majoriti tipis, berbanding PRU-14 lalu.

“Jadi jika Khairy mengetuai jentera kempen PAS di Selangor, ini boleh membantu parti itu dari segi melonjakkan sokongannya. 

“Dan dengan Khairy sebagai ‘poster boy’, ini mungkin mampu cetus satu fenomena di Selangor,” katanya. 

Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, beliau menjangkakan Khairy mungkin ditawarkan memegang jawatan pemimpin politik nombor satu Selangor itu daripada PN.

Tegasnya, menerusi pengamatan beliau, mantan Menteri Belia dan Sukan itu sukar diterima memasuki PH kerana jika ia berlaku, perkara berkenaan dikhuatiri menjejaskan hubungan antara parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dengan UMNO yang kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Amirudin pula, jelasnya, tidak akan sanggup membuka jalan untuk Khairy, apatah lagi Anwar diketahui umum mempunyai hubungan akrab dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, umpama isi dan kuku.

“Khairy sesuai bertanding di kawasan Melayu dan di pinggir kawasan bandar. ‘Magnet’ Khairy boleh membawa kepada kemenangan gabungan disertainya jika menyertai PN.

“Tanpa PN, Khairy akan lebih cepat hilang daripada radar politik,” katanya.

Pada 28 Januari lalu, UMNO memecat keahlian Khairy dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Tan Sri Noh Omar.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dua pemimpin itu dikenakan tindakan kerana melanggar disiplin parti sewaktu PRU-15 lalu.

Ia susulan Khairy yang tewas di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU-15 dengan majoriti tipis 2,693 apabila memperoleh 48,250 undi, berbanding Ramanan dengan 50,943 undi, menggesa Ahmad Zahid meletak jawatan selepas UMNO mengalami prestasi pilihan raya paling teruk dalam sejarah penubuhannya.

Ketika berkempen pada PRU-15, Khairy turut berkata, UMNO di bawah pimpinan Ahmad Zahid sudah hilang arah dan memerlukan ‘pembersihan’.

Selain itu, Khairy antara mereka yang menentang keputusan parti menetapkan dua jawatan tertingginya tidak bertanding pada pemilihan, malah mendakwa terdapat ‘perwakilan hantu’ dibawa masuk ke PAU baru-baru ini untuk mengundi usul tidak bertanding. - Getaran, 9 Februari 2023

Sorotan

1

Benar Kata PM, KWSP Hanya Patut Dikeluarkan Selepas Bersara – MTUC

2

Sudah Tiba Masa Perkasa Pengurusan Air

3

Dakwa Difitnah, Guan Eng Saman Muhyiddin

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Janji Palsu Scammer Terbongkar, 3 Termasuk Wanita Asing Dicekup

oleh Sophia Ahmad

Sukan 18 jam yang lalu

Skuad Harimau Muda Julang Piala Merlion 2023

Semasa 1 hari yang lalu

Bangunkan Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama - Raja Muda Perlis

Sukan 1 hari yang lalu

Arif Aiman Tidak Jalani Latihan Bersama Harimau Malaya