Berita Terkini

3 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 bulan yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 bulan yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Warna Warni Poster Boy Meriahkan PRU-15

Politik Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Oct 2022 7:06AM

Parti-parti politik akan menawarkan manifesto masing-masing namun terpulang kepada pengundi untuk membuat keputusan pada PRU-15 ini. - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang mungkin diadakan kurang sebulan dari sekarang, pastinya parti politik tanah air sudah bersedia dengan pelbagai strategi bagi memenangi hati rakyat, untuk membolehkan mereka mendominasi kerusi Parlimen.

Antara strategi yang biasanya dikemukakan adalah menawarkan manifesto atau aku janji terbaik untuk menarik minat rakyat, sekali gus memberikan undi kepada mereka.

Selain manifesto, pengenalan poster boy yang bakal mewakili gabungan politik untuk diangkat menjadi Perdana Menteri turut menjadi faktor penentu dalam memancing perhatian kira-kira 21 juta pengundi berdaftar di negara ketika ini.

Ismail Sabri Poster Boy UMNO - BN

Umum sedia maklum, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah menyatakan bahawa poster boy gabungan tersebut adalah Perdana Menteri iaitu  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tidak dapat dinafikan Ismail Sabri lebih sesuai menggalas peranan itu memandangkan beliau adalah Perdana Menteri ketika ini, selepas percaturan politik UMNO yang diketuai Ahmad Zahid bersama 10 Ahli Parlimen lain berjaya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, 16 Ogos tahun lalu.

Beliau yang kini berusia 62 tahun memulakan karier politik pada 1987, menerusi pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Temerloh sebelum diangkat sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh setahun kemudian.

Dalam pilihan raya umum 2008, Ismail Sabri dilantik sebagai Ahli Parlimen Bera selepas memenangi PRU-12 dengan mendapat 18,051 undi.

Kemenangan di Parlimen Bera itu menaikkan reputasinya sebagai ahli politik sehingga Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantiknya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Sejak dari itu, portfolio Ismail Sabri terus berkembang apabila dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (2009); Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013) serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2015).

Ketika era pentadbiran PN pada tahun 2020, bintang Ismail Sabri terus bergemerlapan apabila dilantik sebagai Menteri Kanan Pertahanan sebelum diangkat menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri setahun kemudian.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan dicapainya, Ismail Sabri tidak dilihat sebagai pemimpin nombor satu negara kerana perubahan senario politik tanah air, yang menyaksikan buat kali pertama Presiden UMNO tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Justeru, kedudukan Ismail Sabri yang ketika ini menduduki kerusi Naib Presiden memungkinkan berlakunya perubahan calon Perdana Menteri BN jika parti terbabit berjaya mendominasi PRU-15.

Keadaan tersebut bukan asing dalam senario politik negara jika dilihat pada keadaan yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, apabila poster boy BN, iaitu Datuk Ir Hasni Mohammad tidak dilantik kembali sebagai Menteri Besar sebaliknya digantikan oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Kemungkinan berlakunya perubahan seumpama itu tidak boleh disangkal, memandangkan Presiden UMNO mempunyai absolute power dalam mengurniakan watikah pelantikan sebagai calon BN pada PRU akan datang, yang boleh dijadikan tapak untuk meletakkan 'penyokong tegarnya' sebagai calon.

Ahmad Zahid Calon Perdana Menteri BN?

Melihat kepada kemungkinan tersebut, kedudukan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri BN tidak boleh dinafikan memandangkan beliau antara 'orang lama' yang masih berkecimpung dalam dunia politik tanah air.

Dilahirkan pada 4 Januari 1953, pencapaian tertinggi Ahmad Zahid dalam kerjaya politiknya adalah apabila menduduki kerusi Presiden UMNO selepas tsunami politik pada PRU-14, yang menyebabkan BN tumbang kepada Pakatan Harapan (PH).

Pada zaman pemerintahan Bossku atau Datuk Seri Najib Razak, Ahmad Zahid diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri selepas Muhyiddin dipecat susulan kelantangannya menghentam Najib dalam skandal terbesar negara, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada awal kerjaya politiknya, Ahmad Zahid merupakan seorang Senator dan Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) sebelum dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Selepas pilihan raya tahun 2004, Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan oleh Abdullah, sebelum diangkat sebagai Menteri penuh yang memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) pada 2008.

Setahun kemudian, Ahmad Zahid dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan kemudiannya bertukar portfolio dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri pada 2013 hingga 2018.

Dalam perkembangan karier politiknya, Ahmad Zahid tidak terkecuali dikaitkan dengan pelbagai kes, termasuk menjadi tahanan politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998 ketika masih berkhidmat sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Beliau ditahan bersama empat pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) kerana menyokong pergerakan reformasi yang dianjurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas kejatuhan BN di tangan PH, Ahmad Zahid ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan didakwa di mahkamah pada hari berikutnya atas 45 tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM114 juta, melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Pada 14 Disember 2018, beliau didakwa dengan kesalahan CBT kedua melibatkan nilai RM10 juta dan pada 20 Februari 2019, Ahmad Zahid sekali lagi didakwa atas kesalahan CBT berjumlah RM260,000.

Pada 26 Jun 2019, Ahmad Zahid menjadi tertuduh bagi tujuh pertuduhan rasuah membabitkan $4.2 juta (RM12.8 juta) yang didakwa diterima daripada pengendali sistem visa asing (VLN), dengan jumlah keseluruhan RM42.76 juta.

Sehari kemudian, beliau didakwa pula dengan 33 lagi pertuduhan tambahan berjumlah RM42.76 juta melibatkan sistem VLN, menjadikan beliau berdepan 87 dakwaan secara keseluruhan.

Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan tersebut.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN), pada 23 Ogos lalu.

Anwar Masih Pilihan PH

Persoalan siapa calon Perdana Menteri PH bukanlah suatu teka teki sebaliknya ia adalah open secret bahawa Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pilihan mereka.

Sepak terajang Anwar dalam kancah politik boleh diibaratkan seperti roller coaster kerana dalam masa singkat beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dengan sekelip mata, kehilangan segalanya apabila dua kali meringkuk di dalam penjara.

Karier politik Anwar bermula sejak menuntut di Universiti Malaya apabila beliau mengasaskan sebuah pertubuhan belia Islam yang dikenali sebagai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Anwar pernah ditangkap ketika melancarkan protes pelajar terhadap kemiskinan luar bandar dan kelaparan membabitkan sebuah kampung di Baling, Kedah namun difahamkan laporan dibawanya, kononnya ada keluarga mati kebuluran di kampung tersebut adalah palsu.

Susulan protes, beliau dipenjarakan di bawah ISA selama 20 bulan di Kem Tahanan Kamunting, Perak.

Kewibawaan Anwar memimpin mahasiswa universiti melawan kerajaan ketika itu menyebabkan beliau menjadi sasaran parti politik terutamanya PAS, yang melihatnya sebagai seorang pemimpin Islam.

Bagaimanapun, Anwar mengejutkan dunia apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya membawanya menyertai UMNO sekitar tahun 1982.

Dalam UMNO, karier politik Anwar berkembang pesat apabila beliau dinaikkan pangkat dengan cepat setelah dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983, sebelum diberi mandat menerajui Kementerian Pertanian (1984) dan Kementerian Pelajaran (1986).

Pada tahun 1991, Anwar dilantik sebagai Menteri Kewangan dan ketika itu, Malaysia menikmati kemakmuran yang belum pernah berlaku sebelumnya dengan pertumbuhan pesat ekonomi.

Ia mendorong beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun berikutnya selepas menumbangkan Allahyarham Tun Ghafar Baba dalam perseteruan jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Ketika itu, Anwar dinamakan sebagai Menteri Kewangan terbaik di Asia oleh Asiamoney dan di tengah-tengah krisis kewangan sekitar tahun Mac 1998, beliau dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa dari Mac hingga September 1998.

Menjelang penghujung 90-an, hubungan Anwar dengan Mahathir mula merosot sehingga dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO sebelum ditahan pada 20 September 1998 atas dakwaan rasuah, kerana dikatakan cuba mengganggu siasatan polis terhadap tuduhan salah laku seksual yang dihadapinya.

Pada April 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun dan dua bulan kemudian, beliau dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun selepas didapati bersalah terhadap kes liwat dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun selepas lima tahun menjalani hukuman itu, sabitan tersebut dibatalkan oleh Mahkamah Agung dan Anwar akhirnya dibebaskan pada 2 September 2004, sebelum kembali aktif dalam dunia politik dengan menerajui PKR.

Pada 29 Jun 2008, pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa dia telah diliwat oleh pemimpin PKR tersebut yang pada masa sama dilaporkan mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Bagaimanapun, Anwar didapati tidak bersalah pada 9 Januari 2012 oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mendapati bahawa bukti DNA dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak boleh dipercayai.

Dua tahun kemudian, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut selepas Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh sebulat suara memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi gagal untuk "menilai secara kritikal" bukti yang dikemukakan ahli kimia kerajaan, Dr Seah Lay Hong.

Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengesahkan hukuman penjara lima tahun, menyebabkan Anwar dihantar ke Penjara Sungai Buloh di Selangor.

Selepas kemenangan PH dalam PRU-14, Anwar dibebaskan sekitar Jun 2018 dan diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong, sekali gus membolehkan beliau kembali menjadi Ahli Parlimen dan bertanding di Parlimen Port Dickson.

Bagaimanapun, cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri terbantut selepas PH tumbang akibat Langkah Shareton yang didalangi oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ahli Parlimen BERSATU di bawah pimpinan Muhyiddin, dengan bantuan UMNO dan PAS.

Muhyiddin Mahu Buat Comeback

Dikenali sebagai 'Abah' ketika mentadbir negara sebagai Perdana Menteri Kelapan di tengah-tengah pandemik COVID-19, Muhyiddin juga mempunyai sejarah panjang dalam dunia politik negara.

Beliau memulakan karier politiknya seawal tahun 1971 dengan menyertai UMNO, sebelum dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Pagoh pada 1976 dan Ketua Pemuda Johor sehingga 1987.

Pada 13 Ogos 1986, Muhyiddin berjaya menawan kerusi DUN Bukit Serampang yang memacu karier politiknya apabila diangkat sebagai Menteri Besar Johor.

Tempoh beliau sebagai Menteri Besar bertahan sehingga 6 Mei 1995 dan selepas memenangi kerusi Parlimen Pagoh, Muhyiddin dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Karier politiknya terus berkembang apabila pernah menjawat portfolio Menteri Hal Ehwal Pengguna (1999-2004), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (2004-2008) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2008-2009).

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Malaysia oleh Najib pada tahun 2009 dan pada masa sama, memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Bagaimanapun, keberadaan Muhyiddin dalam Kabinet Najib tidak berkekalan apabila beliau dengan kritis dan lantang menyuarakan isu skandal 1MDB yang terpalit pada Perdana Menteri kelima tersebut, sebelum akhirnya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Tindakan Najib memecat Muhyiddin itu mengubah landskap politik terutamanya parti berasaskan orang Melayu itu apabila Muhyiddin bergabung dengan Dr Mahathir untuk menubuhkan BERSATU, dan seterusnya menumbangkan UMNO pada PRU-14.

Selepas tertubuhnya BERSATU, Muhyiddin diangkat sebagai Presiden parti manakala Dr Mahathir diamanahkan menjadi Pengerusi parti tersebut.

Kejatuhan UMNO pada PRU-14 juga memperlihatkan Muhyiddin kembali di dalam kerajaan apabila dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, namun peletakan jawatan secara tiba-tiba oleh Dr Mahathir akibat percaturan politik menerusi Langkah Sheraton mengangkat karier politiknya.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas Yang di-Pertuan Agong percaya bahawa beliau memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen dengan memperkenalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada awal pentadbirannya, Muhyiddin boleh dikatakan disayangi lapisan masyarakat namun akibat beberapa isu yang dikaitkan dengan layanan double standard dan 'kerajaan gagal', kepercayaan rakyat terhadapnya mula pudar di tengah-tengah penularan COVID-19 selaku krisis kesihatan terburuk dunia.

Keengganan beliau mencampuri urusan perundangan dalam skandal SRC International dan 1MDB membabitkan Najib membuatkan UMNO menerusi Presidennya, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan akan meneliti semula kerjasama dengan PN selepas bekas Perdana Menteri tersebut didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pergolakan politik membabitkan kerajaan pentadbiran Muhyiddin mula meruncing apabila Ahmad Zahid didakwa menghantar surat kepada Anwar dengan mengatakan Ahli Parlimen UMNO menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Tindakan tersebut mengakibatkan krisis Perlembagaan sehingga memaksa Muhyiddin menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat dengan menjadikan COVID-19 sebagai alasan utama, yang turut menyaksikan penggantungan sesi Parlimen.

Penyudahnya, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa UMNO tidak lagi menyokong kepimpinan Muhyiddin dengan 10 Ahli Parlimennya menarik semula sokongan diberikan kepada beliau sebelum ini.

Muhyiddin akhirnya terpaksa mengalah selepas segala usahanya untuk mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang  gagal dan pada tanggal 16 Ogos 2021, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Mahathir 3.0

Sosok Dr Mahathir bukanlah sesuatu yang perlu diperkenalkan lagi memandangkan beliau adalah individu paling lama berkecimpung dalam kancah politik tanah air ketika ini.

Perdana Menteri keempat dan ketujuh tersebut kini menerajui parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang dianggotai oleh serpihan pemimpin BERSATU yang masih setia termasuklah anaknya,  Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Walaupun sudah menjangkau usia 97 tahun, Dr Mahathir masih lagi mempamerkan ketajaman buah fikirannya dalam mencatur strategi politik, sekali gus menyebabkan beliau kekal relevan sehingga berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali keduanya apabila memimpin pembangkang untuk memenangi PRU-14 pada Mei 2018.

Beliau yang mula menyertai UMNO seawal tahun 1946 pernah mencetuskan kontroversi apabila mengedarkan surat terbuka kepada Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dan mengkritik pentadbiran ketika itu.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan Tunku yang kemudiannya bertindak memecat Dr Mahathir dari UMNO pada tahun 1969.

Bagaimanapun, beliau kembali ke pangkuan UMNO pada tahun 1972 selepas Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan dilantik sebagai senator pada tahun berikutnya.

Pada PRU 1974, Dr Mahathir dicalonkan di Parlimen Kubang Pasu dan memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding, sebelum dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Abdul Razak.

Pada 1976, Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan digantikan oleh Tun Hussein Onn yang kemudian melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio sama disandangnya sebelum itu.

Tidak lama selepas itu, Dr Mahathir dilantik pula sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian namun pada tahun 1981, Hussein mengumumkan persaraan daripada jawatan Perdana Menteri dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya.

Selepas 22 tahun memegang tampuk pentadbiran negara dan Presiden UMNO, Dr Mahathir membuat pengumuman mengejutkan di Persidangan UMNO apabila mezahirkan kehendaknya untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden parti.

Pada 31 Oktober 2003, Dr Mahathir akhirnya bersara dan menamakan timbalannya, Abdullah sebagai pengganti.

Karier politik Dr Mahathir sebaliknya tidak terhenti di situ, malah dilihat kerap kali mencampuri urusan pentadbiran Abdullah sebelum mengisytiharkan keluar daripada UMNO pada Mei 2008 selepas hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri Kelima tersebut.

Bagaimanapun, tindakan Dr Mahathir keluar parti itu dilihat sebagai desakan politik dan tekanan supaya Abdullah melepaskan jawatannya kepada Najib yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Ahli UMNO bernombor 0000001 itu kemudiannya kembali menyertai UMNO selepas Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keenam, susulan peletakan jawatan Abdullah pada 2009.

Walaupun pada mulanya Dr Mahathir dilihat senang dengan kerajaan pentadbiran Najib, namun ia tidak kekal lama apabila beliau mula mengkritik anak Abdul Razak itu selepas terbongkarnya skandal 1MDB membabitkan dana sebanyak RM2.6 bilion.

Beliau kritis terhadap Najib dan menggesa Perdana Menteri Keenam itu meletakkan jawatan, namun ada pula yang berpendapat bahawa tindakan Dr Mahathir itu adalah disebabkan anaknya Mukhriz gagal meraih sokongan Najib untuk menyandang jawatan Naib Presiden UMNO.

Dr Mahathir mula agresif apabila turut menghadiri Perhimpunan Bersih bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 2015 dan tidak berapa lama kemudian, beliau mengasaskan BERSATU yang kemudiannya menjadi sebahagian gabungan PH.

Pada Januari 2018, Dr Mahathir diumumkan sebagai calon Perdana Menteri PH PRU-14 sebagai strategi ampuh gabungan tersebut untuk menumbangkan Najib.

Beliau mencatatkan kemenangan besar apabila bertanding menentang Datuk Ir Nawawi Ahmad untuk kerusi Parlimen Langkawi, dan mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri tertua pada usia 92 tahun.

Pentadbiran Mahathir menyaksikan beberapa pemimpin kanan UMNO termasuk Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Zahid, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa lain diheret ke muka pengadilan atas pelbagai jenayah seperti penyelewengan, rasuah serta salah guna kuasa.

Pergolakan politik ketika pemerintahannya termasuk Langkah Sheraton yang digerakkan oleh orang dalam partinya sendiri termasuk Muhyiddin mengecewakan Dr Mahathir, dan pada tanggal 24 Februari 2020, beliau meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi BERSATU.

Perjalanan panjang karier politik Dr Mahathir terus mewarnai tanah air apabila beliau dengan beberapa sekutu rapatnya termasuk Mukhriz mengasaskan sebuah parti baharu dikenali sebagai PEJUANG.

Walaupun dipandang sinis oleh banyak pihak, PEJUANG kini berjaya menggabungkan beberapa parti Melayu antaranya Parti Putra Bumiputera Perkasa Melayu (PUTRA) pimpinan veteran politik Datuk Ibrahim Ali, Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) di bawah gabungan dikenali sebagai Gerakan Tanah Air (GTA).

Baru-baru ini, GTA mengumumkan bahawa Dr Mahathir sekali lagi dicalonkan sebagai Perdana Menteri mereka pada PRU-15 dan parti itu juga memutuskan untuk bertanding di 120 kerusi Parlimen di seluruh negara.

GTA pimpinan Dr Mahathir kini menjadi gabungan keempat dalam PRU-15 selepas BN, PN dan PH. – Getaran, 14 Oktober 2022

Sorotan

1

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Jenazah 2 Anggota Polis Dibawa Keluar Dari HSI

2

Gagal Jelaskan Hutang RM4.96 Juta, Jovian Apparel Disaman

3

Kelantan Gagal Sekat Sabah FC Bawa Pulang 3 Mata Dari Kota Bharu

4

Perbuatan 6 Bekas Penuntut UPNM Dera, Buli,  Melampau - Pendakwaan

5

Meta Diminta Beri Penjelasan Selepas Turunkan Posting 'Anwar-Hamas'

6

Bakal Jemaah Terkandas, Kerajaan Dan TH Cari Penyelesaian Terbaik

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

SPRM Tahan Bekas CEO Badan Berkanun Disyaki Seleweng RM1.2 Bilion

Luar Negara 1 hari yang lalu

Arab Saudi Lancar 15 Garis Panduan Haji Dalam 16 Bahasa Termasuk Bahasa Melayu

Politik 17 jam yang lalu

Dakwa Syarikat Pro Israel Beli Saham МАНВ Hanya Hasut Kebencian, Kata PM

Semasa 1 hari yang lalu

Inisiatif Utamakan Artis Veteran Dalam Penganjuran Majlis, Program Ringankan Beban Kewangan