web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Berilusi MN Masih Wujud Bukti PAS Mahu Tumpang Tuah UMNO

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Sep 2022 7:00AM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Tindakan pimpinan PAS yang terus berilusi bahawa Muafakat Nasional (MN) masih wujud, membuktikan parti itu hanya mahu menumpang ‘tuah’ UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam memikat hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, dakwaan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengatakan PAS terus dengan ilusi bahawa MN tetap ada, memberi bayangan bahawa parti itu sebenarnya hanya mengambil kesempatan dan bukan mahu bekerjasama dengan UMNO.

Dr Jamaie Hamil
Dr Jamaie Hamil

Katanya, UMNO juga mengesahkan bahawa gabungan tersebut sudah ‘terkubur’, walaupun PAS masih mendakwa mahu membina penyatuan ummah menerusi MN.

“PAS ini masih berkeinginan bukan untuk bekerjasama, namun mahu menumpang UMNO dan BN dalam PRU akan datang sebab itu mereka merasakan MN itu masih ada.

“UMNO pun jelas kata gabungan itu sudah tidak ada, cuma terdapat perjanjian lisan antara dua parti itu di peringkat negeri.

“Berbalik kepada kenyataan Salahuddin, saya nampak sebenarnya mereka (PAS) bukan tidak yakin dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, cuma mereka nampak peluang menang itu jauh lebih besar apabila ada kerjasama MN dengan UMNO,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Jamaie berpandangan, PAS mampu memperoleh persepsi positif dan lebih beruntung sekiranya memperkasakan kerjasama dengan UMNO, bukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pensyarah Kanan Program Sains Politik UKM itu berkata, ia disebabkan parti pimpinan Muhyiddin berkenaan tidak mempunyai kekuatan akar umbi dan sekadar menumpang populariti Pakatan Harapan (PH) ketika memenangi PRU-14.

Menurutnya, PAS juga tidak kukuh kerana hanya memiliki 25 peratus kekuatan parti itu di semua negeri, selain Kelantan.

“Sebenarnya BERSATU menumpang dan mengharapkan PAS yang mempunyai akar umbi, jadi bagaimana mereka (parti) nak bergantung.

“Maka, PAS memang berilusi seolah-olah mereka masih kuat seperti tiga tahun dahulu ketika mula dibentuk sebelum PH tumbang (disebabkan Langkah Sheraton).

“Kalau ketika itu, MN memang merupakan daya tarikan kepada pengundi Melayu bagi memberi sokongan kepada BN untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya.

Terdahulu, Salahuddin mendakwa bahawa kenyataan pimpinan PAS sejak kebelakangan ini yang berterusan dengan ilusi bahawa MN masih wujud adalah isyarat jelas ketidakyakinan mereka terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Beliau berpandangan, perkara itu berkemungkinan bertitik tolak daripada jangkaan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki berhubung potensi tinggi PH untuk menang pada PRU-15.

Menurutnya, ia ditambah dengan beberapa pandangan politik bahawa BERSATU akan berada di persimpangan cukup genting dan berisiko besar untuk kehilangan banyak kerusi, terutama milik Ahli Parlimen yang melompat dari UMNO dan PKR.

Sekiranya itu berlaku, jelas beliau, sudah tentu PAS dengan berbekalkan kemenangan 18 kerusi Parlimen, tidak akan mampu untuk mengulangi strategi sama sebagai ‘king maker’ dalam sesi tawar menawar bagi membentuk kerajaan.

Dalam pada itu, Penganalisis Politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, dakwaan diungkapkan Salahuddin ada asasnya disebabkan sehingga kini tiada kekuatan serta hala tuju jelas daripada MN.

Dr Hussain Yusri Zawawi
Dr Hussain Yusri Zawawi

“PAS ini lebih baik bersendirian dalam membina kekuatan sendiri. MN dari segi politik jangka panjang memang kita tidak nampak, sekarang ini mereka bergantung dengan Muhyiddin, namun apa akan jadi jika figura tersebut tidak ada dalam BERSATU atau PN.

“Kalau MN hanya ilusi, ia ada asasnya kerana gabungan itu ditubuhkan dengan tidak mempunyai keikhlasan kukuh, menyebabkan ia rapuh dan ini adalah indikator yang saya bimbang akan digunakan setakat pada PRU-15 sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Hussain berkata, tindakan PAS mahu menyatupadukan parti politik Melayu harus dipuji, namun sukar dilaksanakan berikutan ia lebih ke arah kepentingan peribadi.

“Kalau masing-masing bergabung mempunyai kepentingan, itu memang tidak sihat, namun (jika) ditubuhkan atas dasar keikhlasan bagi menjaga kebajikan orang Melayu dan negara yang itu tidak mengapa, di mana pemimpin melaksanakan tanggungjawab diberikan tanpa ada persengketaan.

“Sekarang ini sukar untuk kita lihat sebab tidak pegang kuasa lagi kerana setiap parti berbeza objektif dan hala tuju. Kita ini sudah terlalu banyak multiparti.

“Jadi, peratusan Melayu dah lari untuk membina kekuatan dan bila nak kekalkan status kuasa jawatan atau kekalkan kedudukan, kenalah bergabung.

“Apapun, PAS kena bijak dan berstrategi untuk berada dalam penyatuan, sama ada mereka sesuai bersama MN, iaitu dengan UMNO atau BERSATU kerana sebaiknya kena berada dalam gabungan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan partinya tidak pernah meminggirkan UMNO selepas memilih untuk bersama BERSATU dalam PN, walaupun berlaku ketidaktentuan MN.

Tegasnya, parti Islam berkenaan masih konsisten untuk memperkukuhkan permuafakatan ummah, termasuk MN meskipun kerap disindir ‘main dua kolam’.

“Kita PAS pilih kedua-duanya (UMNO dan BERSATU). Itu naratif kita, biar rakyat menilai walaupun orang mencerca dan perli sekali pun, kita tetap menyatakan soal perpaduan ini penting.

“Kalau berlaku perpecahan, keputusan dapat dilihat pada PRU-14 lepas. Kita tak nak mengulanginya. Jika asyik bercakap perebutan kuasa, jawatan dan kepentingan, apa akan jadi kepada generasi anak cucu kita,” soalnya. - Getaran, 6 September 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 4 jam yang lalu

PRN Negeri Sembilan: BN Bertanding Secara Solo - Ahmad Zahid

2

Politik 5 jam yang lalu

Wajah Baharu UMNO Negeri Sembilan, Apakah Masih Dibayangi Pemimpin Dilingkari Kontroversi?

3

Politik 11 jam yang lalu

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

4

Politik 13 jam yang lalu

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

Sorotan

1

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

2

Pemandu 4WD Positif Dadah Ditahan, Dikesan Pandu Secara Mengundur Di Lebuh Raya

3

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

4

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

5

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

6

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Warga SPRM Wajib Isytihar Harta Dalam Tempoh Sebulan - KP SPRM

Semasa 1 hari yang lalu

PM Puji Keberkesanan Kementerian Komunikasi Perjelas Pelaksanaan BUDI95

Semasa 1 hari yang lalu

Lakukan Serangan Seksual Terhadap 6 Pelajar, Guru Muzik Mengaku Tak Bersalah

oleh Sophia Ahmad

Politik 5 jam yang lalu

Wajah Baharu UMNO Negeri Sembilan, Apakah Masih Dibayangi Pemimpin Dilingkari Kontroversi?

oleh Sophia Ahmad