Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Anwar Perlekeh Cadangan Najib Supaya PETRONAS Selamatkan Sapura Energy

Politik Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 May 2022 12:14AM

Anwar mempersoalkan dakwaan bekas Perdana Menteri itu yang rakyat Malaysia tidak akan membayar satu sen pon jika PETRONAS mengambil alih Sapura Energy. - Gambar oleh Syeda Imran

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ‘memperlekehkan’ cadangan Datuk Seri Najib Razak untuk menyelamatkan krisis dialami Sapura Energy Bhd, menerusi pengambilalihan oleh syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS.

Semasa perbahasan kedua-dua pemimpin itu sempena Debat Perdana di televisyen malam ini, Najib yang juga mantan Perdana Menteri berkata, pengambilalihan Petronas tidak akan melibatkan ‘satu sen’ pun daripada tabung kerajaan, justeru ia tidak akan membebankan pembayar cukai.

Sebagai alternatif, beliau berkata, bank boleh memberi pinjaman kepada Sapura Energy yang bermasalah dan suntikan daripada institusi kewangan akan dijamin kerajaan.

Najib menggunakan contoh syarikat seperti AIG serta City Group yang kedua-duanya diselamatkan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan kemudian mencatatkan keuntungan.

Beliau berkata, penyelamatan Sapura Energy, sebuah syarikat tenaga milik kerajaan akan memberi manfaat kepada pelabur Petronas dan Malaysia, terutama mereka yang meletakkan simpanan dalam dana ASB Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Menjawab idea Najib, Anwar menegaskan, bahawa Petronas juga adalah entiti milik kerajaan dan syarikat itu adalah milik rakyat negara ini.

“Apa maksud anda (rakyat Malaysia) tidak akan membayar satu sen jika Petronas mengambil alih?

“Siapa yang anda fikir memiliki Petronas? Ini melibatkan berbilion-bilion,” kata Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR.

Perbahasan itu dianjurkan selepas beberapa minggu tercetus ‘perang mulut’ di media sosial dan pertikaian membabitkan Najib serta Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang tertumpu kepada perjuangan serta masalah kewangan Sapura Energy.

Ia kemudian mencetuskan cabaran daripada Rafizi untuk membahaskan topik itu secara terbuka yang dipersetujui Najib dengan syarat Anwar dijadikan sebahagian daripada perbahasan itu.

Semasa perbahasan, Anwar berkali-kali berkeras untuk menjalankan audit forensik ke atas Sapura Energy bagi mengesan sebarang penyelewengan dana atau salah tadbir urus.

Beliau berkata, Ketua Eksekutif Sapura Energy menerima pendapatan sebanyak RM83 juta pada 2016, pada tahun sama syarikat itu mencatatkan kerugian besar, manakala RM71.9 juta pada 2018 walaupun ia masih dalam keadaan ‘belum pulih’.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menggesa siasatan menyeluruh diadakan terhadap hal ehwal Sapura Energy sebelum sebarang ‘bail out’ atau ‘buy out’ ditawarkan, memandangkan ia akan membolehkan pihak terbabit yang bertanggungjawab terhadap masalah kewangan dialami.

Beliau berkata, keadaan itu sudah berlaku terhadap banyak syarikat berkaitan kerajaan seperti FELDA, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Perwaja dan Serba Dinamik.

Sapura Energy adalah syarikat tersenarai awam dengan sokongan kewangan besar daripada Perbadanan Nasional Bhd (PNB) yang memegang 40 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

Najib sebelum itu mencadangkan kerajaan supaya ‘bailout’ syarikat berkenaan, namun ditentang Rafizi yang menyifatkannya sebagai beban kepada pembayar cukai.

Malah, pada awal April lalu, Rafizi menyelar Najib berhubung dakwaan pembayaran RM983 juta kepada eksekutif tertinggi Sapura antara 2009 dan 2018, ketika Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu menjadi Perdana Menteri.

Kemelut kewangan Sapura Energy menarik perhatian ramai, terutama keperluan syarikat itu mendapatkan bantuan kewangan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada PNB, yang juga bertanggungjawab ke atas dana seperti ASB dan ASNB, perlu menambah dana.

Sapura Energy mencatatkan kerugian bersih RM8.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022, berbanding kerugian bersih RM160.87 tahun sebelumnya, lapor Bernama sebelum ini.

Syarikat gergasi minyak dan gas itu berada dalam keadaan bermasalah sejak harga minyak jatuh pada 2014, menyebabkan permodalan pasarannya menyusut kepada RM639 juta hari ini daripada RM28 bilion pada awal 2014.

Kira-kira 400 orang tiba di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini, bagi mengikuti debat antara Anwar dan Najib.

Tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan ketat, tetamu yang terdiri daripada ahli politik kerajaan dan pembangkang, ahli parti, ahli akademik, wartawan serta orang awam memenuhi lokasi debat seawal jam 7 malam.

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan, Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Tan Sri Noh Omar serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Wakil pembangkang pula dihadiri antaranya Pengarah Komunikasi PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah dan mantan aktivis mahasiswa, Adam Adli

Selain itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.

Menariknya, laungan reformasi kedengaran kuat di dalam dewan semasa ketibaan Najib dan Anwar.

Situasi tegang dapat dilihat apabila moderator terpaksa mengingatkan orang ramai bahawa perdebatan perlu berlangsung dengan senyap, tiada nyanyian, sorakan dan tepukan.

Perbahasan bermula beberapa minit selepas jam 9 malam, dengan topik pertama tertumpu kepada Sapura Energy. - Getaran, 13 Mei 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 jam yang lalu

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

2

Semasa 5 jam yang lalu

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

3

Semasa 5 hari yang lalu

Kes Najib: Keputusan Lembaga Pengampunan Adalah Muktamad - PM

4

Politik 5 hari yang lalu

MIC Janji Bantu Kempen PRK Kuala Kubu - PM

Sorotan

1

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

2

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

3

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

4

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

5

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

6

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

7

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

Disyorkan untuk anda

Sukan 5 jam yang lalu

Piala Thomas: Zii Jia Ketepikan 'Kegoyahan' Kem Perseorangan Lelaki Negara

Semasa 1 jam yang lalu

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

Semasa 1 hari yang lalu

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

Semasa 1 hari yang lalu

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

oleh Wartawan Getaran