KUALA LUMPUR – Mekanisme dan infrastruktur bersesuaian harus disediakan kerajaan bagi melaksanakan pengundian wajib, untuk memastikan setiap rakyat mampu menunaikan tanggungjawab itu sebaik mungkin.
Penganalisis Politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, perancangan berhubung perkara itu perlu dimuktamadkan sebelum undang-undang baharu diperkenalkan.
Katanya, beberapa negara luar sebagai contoh, mengaplikasikan pengundian wajib, mengambil langkah awal memudahkan proses pemilihan terbabit, termasuk menerusi undi pos dan mengundi di kedutaan.
“Perancangan kena dibuat sebaik mungkin sebelum melaksanakan pengundian wajib di negara ini dan sekiranya belum mampu dibuat, lebih baik mengekalkan sistem pilihan raya sedia ada.
“Jika tidak, ramai rakyat akan dikenakan tindakan kerana apabila sesuatu peraturan dilaksanakan, mesti ada hukuman sekiranya tidak dipatuhi,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan dikemukakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya kerajaan mewajibkan proses mengundi kepada rakyat memandangkan peratusan pengundi pada pilihan raya sebelum ini adalah rendah.
Menerusi cadangan dikemukakannya itu ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat kelmarin, Ahmad meminta kerajaan mengenakan hukuman seperti denda RM100, RM200 atau tidak membenarkan mereka memperbaharui lesen memandu.
Ditanya kewajaran untuk cadangan itu dilaksanakan, Mohd Azizuddin berkata, perkara berkenaan sememangnya boleh dilakukan memandangkan kerajaan sudah meluluskan undi automatik kepada setiap rakyat berumur 18 tahun untuk menjalankan tanggungjawab terbabit.
“Mewajibkan undi memang boleh meningkatkan peratusan undi seperti dilaksanakan di Singapura dan Australia yang menyaksikan hampir 100 peratus rakyat di negara itu mengundi.
“Namun ada negara tidak melaksanakannya atas beberapa faktor, termasuk persediaan rapi harus dilakukan. Malaysia kena buat kajian terperinci sebelum menentukan pengundian wajib,” katanya.
Mohd Azizuddin berkata, rakyat harus memiliki kesedaran untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara bagi memilih pemimpin, untuk menggalakkan peratusan pengundi.
“Saya rasa paling penting adalah tanggungjawab rakyat untuk melaksanakan hak mengundi,” katanya.

Mengulas isu sama, Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain menganggap pengundian wajib tidak sepatutnya dilaksanakan sebelum proses kesedaran dan pendidikan politik diberikan kepada golongan yang layak mengundi.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, banyak perkara harus diberi perhatian, seperti kemudahan dan bantuan kepada pengundi.
Jelasnya, perkara itu termasuk logistik mereka untuk ke pusat pengundian dan kekangan akses internet dialami penduduk di sesetengah kawasan sekiranya proses pemilihan itu diadakan secara dalam talian.
Menurut Mohd Izani, cadangan itu juga tidak wajar dilaksanakan kerana walaupun sememangkan rakyat mempunyai hak mengundi secara automatik, kerajaan tidak boleh mewajibkannya.
Kerajaan, katanya, seharusnya mengambil berat pelbagai perkara berhubung aspek dan pengetahuan politik pengundi, terutama membabitkan konteks undi 18, seperti tahap literasi pengundi muda itu.
“Kita tidak boleh paksa dan mewajibkan begitu sahaja sebelum proses kesedaran serta pendidikan politik diberikan sebaiknya supaya mereka lebih faham, bersedia dan mampu membuat keputusan sesuai.
“Meskipun pengundi muda diberikan hak automatik mengundi, kerajaan tidak ‘memanjakan’ mereka dengan memudahkan proses mereka turun mengundi, tetapi menetapkan mereka mengikut proses terperinci, iaitu melakukan pendaftaran pemilih, membuat semakan nama pemilih dan barulah mengundi supaya mereka faham tanggungjawab itu,” katanya.
Mohd Izani berkata, ahli politik juga tidak boleh menuding jari menyalahkan rakyat sepenuhnya sekiranya peratusan pengundi rendah, sebaliknya meneliti pelbagai punca sebenar yang menyumbang kepada keadaan itu.
“Mungkin rakyat tidak mahu mengundi kerana tidak ada kepercayaan tinggi kepada ahli politik. Sikap ahli politik melompat parti mungkin mendorong penyokong tidak mengundi kerana enggan tertipu atau rasa dikhianati.
“Jika dilihat situasi pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, trend pengundi merosot itu disebabkan rakyat dah muak dengan tingkah laku ahli politik,” katanya.
Ahli politik, katanya, perlu menunjukkan teladan yang baik supaya mampu meraih kepercayaan dan keyakinan rakyat untuk mengundi mereka ketika pilihan raya. - Getaran, 2 Oktober 2021