Sebanyak 10 band muzik bakal beraksi dalam ‘SoundCircus Festival 2023’ yang khusus diadakan buat komuniti pemuzik dan band underground di di MAEPS, Serdang pada 29 Julai ini.
Ia merupakan susulan atau lanjutan daripada acara festival muzik ‘Soundcircus Weekender’ yang sebelum ini telah diadakan di REXXKL pada awal Mac lalu yang telah mendapat sambutan di luar dugaan apabila dihadiri lebih 2,000 penonton.
Bahkan penganjuran ‘SoundCircus Festival 2023’ ini juga diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-12 pertunjukan AOSM yang diadakan saban tahun dengan kerjasama pengeluar produk peranti elektronik, BRO Asia, selaku rakan penganjur.
Barisan pemuzik dan band yang bakal beraksi adalah seperti Superman Is Dead (Bali), No Good, Plague Of Happiness, MC16, Skudap Skudip, Dum Dum Tak, Krusty, Restraint, Naratu dan Armpunk Syndicate.

Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas, AOSM & SoundCircus, Asep Ahmad Iskandar berkata, disebabkan sambutan di luar dugaan yang diterima daripada SoundCircus Weekender tempoh hari, AOSM berpendapat bahawa acara tersebut wajar dilanjutkan pada bulan Julai ini di lokasi lebih besar sebagaimana yang pernah diadakan sebelum ini.
“Bagi memeriahkan lagi ‘SoundCircus Festival 2023’ pada kali ini, kami akan mengetengahkan lima band tempatan yang akan bertarung dalam sebuah segmen khas Harley-Davidson ‘Battle Of The Bands’ untuk memenangi hadiah berupa pakej ke luar negara bagi membuat persembahan di festival yang bakal di anjurkan oleh Harley Davidson pada hujung tahun ini.
“Istimewanya festival muzik ‘SoundCircus Festival 2023’ pada tahun ini adalah sistem visual audio yang lebih mantap dari sebelumnya dengan kemunculan khas band Superman Is Dead dari Bali, Indonesia yang akan mempersembahkan 16 lagu kesemuanya serta persembahan daripada band-band tempatan bagi memastikan kepuasan pengunjung pada tahap yang maksimal.
“Saya berharap agar pengunjung akan terhibur dengan persembahan serta suasana yang kami janjikan, teruskan menyokong industri muzik kita,” katanya.

‘SoundCircus Festival 2023’ merupakan festival muzik yang memberi tumpuan khusus pada genre rock punk dan ska yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan kualiti produksi setaraf festival muzik antarabangsa bagi memastkan peminat dapat berhibur dalam suasana yang selamat.
Selain itu, melalui penajaan langsung dari syarikat yang berpangkalan di luar negara, harga tiket dapat dikurangkan tanpa menjejaskan kualiti festival serta membuka peluang buat pemuzik tempatan untuk beraksi di luar negara.
Dan buat pertama kalinya, jenama motosikal antarabangsa Harley-Davidson turut terbabit dalam penganjuran ‘SoundCircus Festival 2023’, di mana mereka turut menganjur acara berkaitan muzik seperti Asia Harley Days di Thailand dan Harley-Davidson ‘Homecoming’ di Amerika Syarikat dengan teraju utama seperti Foo Fighters dan Green Day yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Tiket dijual pada harga RM120 (Festival Ticket), RM135 (All-Access), RM360/4 pax (Group Buy), RM35 (Exhibition Ticket) dan RM60 (Fastlane) di laman web www.artofspeedmy.com. – Getaran, 7 Julai 2023
