Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bersedia memberi tempoh masa tiga bulan kepada pengurusan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) untuk menyelesaikan masalah royalti tertunggak sebanyak RM11 juta yang melibatkan Jabatan Insolvensi selain mengagihkan duit royalti dalam akaun bank sebanyak RM 26 juta kepada ahli-ahli.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, jika KARYAWAN tidak nampak apa-apa perkembangan daripada RPM terhadap isu ini, maka persatuan itu akan meneruskan usaha meminta satu Mesyuarat Agung Luar Biasa dianjurkan setelah resolusi untuk meminta ahli lembaga pengarah RPM meletak jawatan dengan serta merta diperolehi daripada ahli-ahli.
“Kami hanya perlukan beberapa tandatangan sahaja lagi daripada ahli-ahli untuk mencapai resolusi ini dalam Mesyuarat Agung Luar biasa tersebut.
“Namun, kami tetap akan berikan masa kepada ahli lembaga pengarah untuk selesaikan masalah royalti antara ahli RPM dan Prism Bhd, di mana sejumlah besar wang masih berada dalam kawalan Jabatan Insolvensi dan tidak dapat diagihkan kepada ahli kedua-dua badan itu.
“Pada masa sama, saya harap semua ahli Prism yang layak mendapat royalti akan diberi peluang mendaftar sebagai ahli RPM dan pengurusan RPM pula akan mengambil berat tentang soal ini,” katanya.
Menurut Freddie lagi, duit sebanyak RM11 juta yang ada dalam kawalan Jabatan Insolvensi itu tidak termasuk hampir RM 26 juta yang sepatutnya RPM agihkan kepada ahli-ahlinya hasil ahli daripada kutipan MRM dari 2017 hingga 2019.
“Kami ingin melihat apakah tindakan ahli lembaga pengarah untuk mengagihkan royalti itu dan sekiranya gagal membuat sesuatu kami akan bertindak.
“Masa untuk goyang kaki dan tunggu orang lain buat kerja sudah berakhir. Sekarang pengurusan RPM kena turun padang dan membuat kerja-kerja yang diperlukan. Langkah pertama yang harus dilakukan adalah menambah kakitangan untuk melakukan kerja-kerja kutipan dan pengagihan.
“Empat kakitangan yang sedia ada sudah pasti tidak mencukupi. Ia mencerminkan betapa jahilnya pengurusan RPM apabila mengharapkan empat kakitangan melakukan tugas seberat itu, sedangkan badan lain ada lebih 30 kakitangan untuk lakukan kerja-kerja yang sama” katanya.
Freddie membuat kenyataan ini susulan daripada Mesyuarat Agung Tahunan RPM yang telah pun berlangsung pada 27 September lalu, di mana pengurusan RPM diketuai Datuk Sheila Majid selaku pengerusi telah berjanji untuk mempertingkatkan usaha dan memperbaiki prestasi untuk lakukan kerja-kerja yang diperlukan bagi menjaga hal kutipan serta pengagihan kepada ahli-ahli berdaftar.
“Pihak kami akan melihat dan memantau prestasi mereka. Jika tiada sebarang perubahan dalam tiga bulan ini, kami akan bertindak,” tegas Freddie. - Getaran, 29 September 2021

