web statsweb stats

Berita Terkini

1 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Singapura Alami Kemelut Geopolitik, Ketidaktentuan Ekonomi - Hsien Loong

Luar Negara Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 Aug 2023 8:25AM

Lee Hsien Loong - gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

SINGAPURA - Singapura yang sebelum ini mengharungi pandemik COVID-19, sepertimana negara-negara lain, sekali lagi sedang diuji di tengah-tengah senario kemelut geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Dalam ucapannya bersempena Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2023 bertajuk ‘A Better Home, A Brighter Future’ pada Ahad, beliau berkata : “Kita (Singapura) turut merasakan tekanan yang semakin ketara di sekeliling kita.”

Beliau sebelum itu menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu dan seterusnya bahasa Mandarin.

Lee berkata, persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dan China jelas memberi kesan kepada semua negara dan rantau dunia dengan sikap kedua-dua negara itu yang saling berwaspada dan tidak percaya yang kian mendalam.

“(Berikutan itu) negara-negara lain perlu memilih jalan selamat untuk mengelak daripada turut terbabit sama,” katanya.

Menyuarakan kebimbangan mengenai konflik berterusan di Eropah, Lee menyifatkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sebagai satu tragedi kemanusiaan dan serangan terhadap norma serta nilai-nilai antarabangsa.

“Ini merupakan satu amaran kepada negara-negara lain untuk tidak sekali-kali memandang ringan keamanan dan mengingatkan kita mengenai kepentingan pasukan Angkatan Bersenjata Singapura yang kuat,” katanya.

Selain itu, Lee berkata orde atau aturan ekonomi dunia semakin susut manakala konsep globalisasi juga kian lemah.

“Rantaian bekalan kini berpecah. Kalangan negara-negara bertindak melaksanakan pelbagai langkah perlindungan. Ini menjejaskan semua negara, terutama negara perdagangan kecil dan terbuka seperti kita,” katanya.

Di sudut lain, beliau berkata dunia turut mengalami cuaca melampau akibat daripada pemanasan global.

“Dari China dan Jepun ke Eropah dan AS, tiada rantau yang terkecuali daripada bencana banjir, kemarau, gelombang haba serta kebakaran liar.

“Keadaan itu menjejaskan pengeluaran serta harga makanan di serata dunia. Walaupun ini belum lagi dirasakan sepenuhnya di Singapura, tetapi kita tidak boleh menolak kemungkin ini akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, Singapura juga sedang berusaha untuk bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi dan menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang lebih positif dan mengelak daripada kemelesetan.

“Inflasi akhirnya turun, namun ini berkemungkinan akan kekal tinggi daripada apa yang biasa kita alami. Kos sara hidup masih terus berlegar dalam fikiran semua.

“Kita akan bersama-sama mengharungi cabaran ini,” katanya.

Pada 11 Ogos lepas, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu menurunkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 kepada 0.5-1.5 peratus, susulan prospek permintaan luaran yang kekal lemah.

Angka itu lebih rendah daripada unjuran sebelum ini pada julat 0.5-2.5 peratus.

Sebelum itu pada 24 Julai lepas, MTI dan pihak Penguasa Kewangan Singapura menyatakan bagi keseluruhan 2023, inflasi utama dan teras diunjur masing-masing antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus serta 3.5 peratus dan 4.5 peratus.

Dalam ucapannya itu, Lee turut berkongsi mengenai perkembangan berkaitan pelan peralihan pucuk pimpinan Singapura dan mengakui dalam usaha bersedia menghadapi masa depan, tugas penting adalah berkaitan dengan aspek kepimpinan itu.

“Seperti yang anda semua maklum, rancangan asal saya adalah untuk menyerahkan (jawatan ini) dan berundur sebagai perdana menteri menjelang 2022, iaitu sebelum ulang tahun saya yang ke-70. Bagaimanapun, rancangan itu telah dijejaskan oleh pandemik.

“Namun kini, COVID-19 telah berakhir dan pelan peralihan itu kembali di landasan yang sewajarnya,” katanya yang turut memberi jaminan bahawa beberapa kontroversi yang menjadi perhatian rakyat Singapura baru-baru ini, tidak akan menangguhkan jadual perancangan tersebut. - BERNAMA

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

Disyorkan untuk anda

Semasa 17 jam yang lalu

Ribut Petir, Hujan Lebat Di KL, Labuan Dan 9 Negeri Malam Ini

Semasa 3 jam yang lalu

8 Rumah Musnah, Kebakaran Awal Pagi Di Kuala Perlis 

oleh Sophia Ahmad

Semasa 19 jam yang lalu

Dakwaan Peranan Bebas Rais Yatim Jadi Tanda Tanya, Surat Lantikan Sebagai Peguam Tersebar Luas

oleh Sophia Ahmad

Politik 1 hari yang lalu

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

oleh Sophia Ahmad