Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Kabinet Baru Tanpa Menteri Belia Dan Sukan?

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 19 Aug 2021 10:02AM

Datuk Azizulhasni Awang (kiri) memenangi pingat perak dalam acara keirin pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, baru-baru ini. - Gambar fail AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pelbagai spekulasi menjelma sebaik sahaja Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Isnin lalu.

Ada yang yakin muka-muka lama di Kabinet akan kembali memanaskan kerusi di Putrajaya. Ada pula yang berpendapat sebaliknya.

Ada juga teori di mana Kabinet kali ini merupakan suatu jawatankuasa yang akan diterajui oleh wakil dari semua parti politik di Malaysia.

Dan ia berkemungkinan suatu Kabinet kecil yang ditugaskan khas untuk mengawal pandemik COVID19, memulihkan ekonomi negara dan menyiapkan rakyat untuk pilihan raya.

Jika teori ini menjadi realiti, adakah Malaysia bersedia untuk Kabinet tanpa Menteri Belia Dan Sukan?

Mungkin ini masanya untuk menunjukkan pada rakyat bahawa sukan serta industri yang berkaitan mampu bergerak tanpa penglibatan menteri.

Ini kerana terdapat pelbagai jentera sedia ada yang dapat membantu atlet elit, persatuan sukan, pengusaha industri dan rakyat secara amnya. 

Majlis Olimpik Malaysia, sebagai contoh, boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu persatuan-persatuan sukan serta atlet-atlet mereka.

Persatuan-persatuan sukan juga akan mula berdikari dan tidak mengharapkan duit kerajaan untuk menampung kos bagi persiapan atlet ke kejohanan luar negara mahupun menganjur pertandingan tempatan.

Berjuta-juta ringgit duit kerajaan telah diguna pakai untuk program-program sukan sejak tiga dekad yang lalu namun prestasi sukan Malaysia di peringkat antarabangsa masih tidak memberangsangkan.

Di rantau ini, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina sudahpun memenangi pingat emas di Olimpik tetapi Malaysia masih tercari-cari kilauan emas tersebut.

Tanpa menteri, program-program sukan sedia ada tidak akan terganggu. Acap kali menteri baru mula bertugas di Wisma KBS, program baru akan terjelma dan program-program lama dianaktirikan.

Pihak persatuan boleh membuat percaturan sendiri dan jika mereka masih dahagakan duit, mereka harus mencari dana sendiri dalam era profesionalisme ini.

Agensi-agensi kerajaan yang memantau sukan boleh menumpukan perhatian kepada sukan di negeri. Mereka juga boleh berinteraksi secara terus dengan Kementerian Kewangan untuk memastikan terdapat cukup dana untuk menjalankan program akar umbi.

Kementerian-kementerian lain juga boleh membantu agensi-agensi kerajaan ini untuk memastikan anak-anak muda kita bersatu melalui sukan.

Pengusaha industri sukan tidak memerlukan penglibatan kementerian dalam urusan seharian mereka. Walaupun terdapat kementerian dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bertungkus lumus mempertahankan nasib pengusaha industri, mereka tetap tidak dibenarkan untuk beroperasi sehingga hari ini. 

Mungkin mereka dapat bekerjasama dengan Jabatan Belia Dan Sukan peringkat negeri untuk memastikan mereka mampu berniaga sebaik sahaja kes COVID-19 menurun dan bukannya tertakluk kepada keputusan di peringkat pusat.

Kerajaan negeri pula akan dapat menilai hasil pulangan dari sektor sukan - sama ada dalam wang ringgit ataupun dari segi kesihatan - dan ini akan menjanjikan populasi yang lebih aktif serta sihat.

Seperti Kabinet yang kecil, struktur sukan juga perlu kecil dan diterajui oleh mereka yang benar-benar memahami dunia sukan serta cara-cara untuk memasarkan sukan. 

Mungkin inilah norma baharu, walaupun buat seketika, sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

Daripada norma baharu ini, mungkin kita dapat pelajari bahawa sukan tetap mampu berjalan tanpa kelibat menteri. - Getaran, 19 Ogos 2021

Haresh Deol seorang wartawan yang mempunyai pengalaman dalam media sejak tahun 2000. Beliau adalah pemenang dua kali Anugerah Institut Akhbar Malaysia, merangkul tujuh anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia dan panelis antarabangsa The Guardian yang memilih 100 pemain bola sepak terbaik dunia bagi tahun 2016, 2019 dan 2020. Beliau boleh dihubungi di akaun Twitternya @HareshDeol.

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok