Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (Bahagian II)

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Aug 2021 7:18PM

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dalam bahagian pertama rencana ini, aku bersetuju dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) mesti fokus kepada tiga bahagian utama iaitu; Penghasilan, Persembahan dan Pendidikan.

Aku hanya bersetuju dari sudut fokus yang patut diberikan itu. Tetapi bukan bermaksud aku telah bersetuju dengan penubuhan perbadanan tersebut.

Aku ada sebab untuk merasa khuatir akan Perbadanan itu nanti. Baik pahatku berbunyi sebelum rumah mula dibina.

"The way to defend art is to produce it." — Edward Cerny


Tingkatkan kuantiti penghasilan 

Sekiranya perbadanan itu ditubuhkan, pertingkatkan kuantiti pembikinan atau penghasilan muzik wajib diutamakan.

Usaha bersepadu lagi jitu hendaklah dijalankan yang melibatkan pelbagai pihak, kerajaan dan  swasta untuk menggalakan penghasilan rakaman single, album dan video serta  memperbanyakkan ruang untuk persembahan awam seperti pertunjukan pentas, siaran televisyen dan radio serta siaran di platform digital, media sosial dan penstriman.

Ruang persembahan adalah detikan nadi industri muzik. Tanpa ruang atau pentas persembahan, industri muzik akan lemah, lesu malah mati.

Lebih banyak lagu terhasil, lebih tinggi kebarangkalian untuk mendapatkan lagu-lagu yang hit.

Kita tidak perlu semua lagu menjadi hit. Kita hanya perlukan sekitar 10 lagu hit daripada ratusan atau ribuan lagu yang dihasilkan setahun.

Cuba perhatikan di peringkat antarabangsa, berapa banyakkah lagu mega hit yang boleh kita namakan dari setiap carta Top 40 atau Top 100 antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), malah dari Indonesia dan Korea pada 2019 dan 2020? Cuba hitung berapakah single yang disebut-sebut di dalam rancangan Grammy Awards atau Brits Awards?

Sebenarnya jumlahnya tidak banyak. Memang benar mungkin ada 100 lagu hit yang menduduki carta tetapi hanya beberapa sahaja yang akan diketahui oleh anak-anak kecil dan mereka yang berumur.

Pada 2020; Blinding Lights, Monkey Dance, Wap, People, I've Been Sad, Don't Start Now... 

Pada 2019; Bad Guy. Circles. Old Town Road. Break Up With Your Girlfriend, I'm Bored. Cruel Summer...

Hmmm... aku sukar menamakan 10 lagu lagu hit, mungkin sebab aku sudah otai dan tua. Maka 10 adalah nombor sakti yang menjadi sasaran tinggi.

Sistem sokongan untuk industri 

Disamping usaha-usaha penghasilan, usaha sokongan untuk industri juga diperlukan. 

Bantuan kewangan yang berbentuk pinjaman, geran serta sebarang kemudahan kepada para penggiat dan peniaga muzik mesti disediakan menerusi perbadanan itu nanti. Antara kemudahan itu adalah seperti membeli peralatan muzik, peralatan studio dan sebagainya. 

Di samping itu, satu dasar mestilah dirumus untuk mendorong (bukan memaksa melalui penggunaan Akta) lagu-lagu tempatan yang dihasilkan dimainkan stesen radio awam dan swasta. Terdapat terlalu banyak rungutan para penggiat muzik bahawa lagu-lagu mereka tidak dimainkan radio tempatan, terutamanya radio swasta. 

Senarai putar bagi radio tempatan mestilah didorong untuk memainkan 90% lagu-lagu tempatan di stesen radio berbahasa Malaysia. Manakala, 25% lagu-lagu tempatan pula dimainkan di radio bukan berbahasa Malaysia dan 50% lagu-lagu kita dimainkan di premis awam seperti kompleks beli-belah dan sebagainya. 

Dasar sebegini akan menjamin pengurangan pengaliran wang keluar akibat daripada pembayaran royalti ke luar negara seperti yang sedang berlaku selama ini.

MACP contohnya mengutip sebanyak RM50 juta setahun secara purata. Namun, lebih 50%  daripada kutipan itu mengalir ke luar negara. Syarikat penerbitan (publisher) antarabangsa  tidak perlu membawa masuk sebarang modal ke dalam negara. Jika ada pun modal permulaan yang mereka keluarkan bagi tujuan pentadbiran dan promosi di Malaysia; modal tersebut telah pun mengembalikan keuntungan berlipat kali ganda buat mereka, puluhan tahun lalu. 

Populariti lagu-lagu antarabangsa terutamanya dari negara barat (AS dan UK), Indonesia dan Korea dengan sendirinya dan secara percuma menjadi bahan promosi bagi produk syarikat rakaman dan publishers antarabangsa di Malaysia.

Duit kita keluar begitu sahaja tanpa pulangan balik yang seimbang atau setimpal kepada negara.

Sedangkan lagu-lagu tempatan yang baharu sahaja bernafas, bukan sahaja perlu bersaing dengan populariti lagu-lagu luar, malah terpaksa mengeluarkan modal yang besar bagi menjalankan kerja-kerja promosi di negara sendiri.

Negara mengalami kerugian yang amat besar. Kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.

“If you fail to plan, you are planning to fail.” — Benjamin Franklin

Mengenai royalti dan pengalaman dari Music Rights Malaysia Berhad 

Sebagai pencipta lagu, aku berhak menerima bayaran royalti. 

Royalti adalah bayaran imbuhan kepada pencipta apabila hasil ciptaannya digunakan dan menjana pendapatan. 

Sebagai contoh, apabila lagu ciptaan kita dirakam oleh syarikat rakaman dan mereka memperolehi pendapatan daripadanya menerusi penjualan kaset, piring hitam, CD malah di platform digital seperti iTunes dan sebagainya; seseorang pencipta berhak mendapat imbuhan melalui bayaran royalti daripada penjualan itu.

Bayaran itu dinamakan mechanical royalty.

Dan apabila lagu rakaman tersebut digunakan di stesen televisyen, radio malah di premis perniagaan seperti pusat beli-belah, kedai makan, hotel dan sebagainya, bahkan dinyanyikan secara langsung dalam konsert; para pencipta juga berhak mendapat imbuhan melalui pembayaran royalti.

Bayaran itu pula dinamakan public performance royalty.

Sepanjang 20 tahun pembabitan aku dalam industri muzik, punca pendapatan utama aku adalah daripada public perfomance royalty.

Sepanjang tempoh yang sama, pendapatan daripada mechanical royalty pula adalah terlalu sedikit dan memalukan untuk diperkatakan. 80% daripada lagu ciptaan aku tidak pernah langsung mendapat sebarang bayaran mechanical royalty.

Begitupun, trend ini sedang berubah akibat peningkatan penggunaan platform digital menerusi internet. Pembayaran daripada mechanical royalty dijangka akan melebihi pembayaran daripada public performance royalty tidak lama lagi. Perkara ini akan aku perkatakan di tulisan-tulisan akan datang.

Tanggungjawab mengutip dan mengagihkan public performance royalty adalah di bawah Badan Badan Pelesenan. Perkara ini termaktub di dalam Akta hak Cipta.

Music Authors' Copryright Protection Berhad (MACP) dan Music Rights Malaysia Berhad (MRM) adalah antara beberapa badan pelesenan yang ada di Malaysia.

Di antara 2011 hingga 2016, jumlah keseluruhan yang dikutip oleh kesemua badan pelesenan di Malaysia puratanya adalah RM100 juta setahun.

Music Rights Malaysia Berhad (MRM) adalah satu badan pelesenan yang mula beroperasi pada 1 Januari 2017, atas arahan mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin. 

Datuk Seri Hamzah Zainudin.   Foto: Bernama
Datuk Seri Hamzah Zainudin. Foto: Bernama

MRM menjadi badan tunggal untuk menjalankan kerja-kerja pelesenan atau mengutip bayaran bagi penggunaan muzik di premis awam bagi pihak pencipta lagu, pelaku muzik dan pemilik syarikat rakaman.

Teorinya, ia adalah idea yang sangat baik. Diunjurkan MRM dapat meningkatkan pendapatan para penggiat muzik dari setahun ke setahun. Aku adalah penyokong kuat penubuhannya. 

Pada masa sama, penubuhan MRM telah memberi pengiktirafan hak sama rata di antara para pelaku dengan para pemilik syarikat rakaman yang sebelum ini adalah tidak adil dan tidak mengakuri perjanjian World Intellectual Property Organization Performances And Phonograms Treaty (WPPT) yang turut ditandatangani oleh kerajaan Malaysia di Geneva pada 1996.

Setelah tiga tahun setengah penubuhannya yang menelan belanja berjuta  ringgit duit para penggiat muzik (tanpa satu sen pun duit daripada kerajaan), ia telah diumumkan bubar pada pertengahan 2020.

Pembubaran MRM dilakukan tanpa berbincang malah tanpa mendapat mandat daripada para pemegang taruh (stakeholders), terutamanya para pencipta dan pelaku.

Pembubaran MRM berpotensi membabitkan isu-isu yang boleh di bawa ke Tribunal Hak Cipta oleh para pemegang taruh. 

Tetapi yang pasti, pembubaran MRM sedang menimbulkan permasalah di antara badan badan perlesenan dengan pengguna muzik iaitu licensor, yang melibatkan kerugian pendapatan bernilai jutaan ringgit buat penggiat muzik.

Benjamin Franklin pernah berkata yang bermaksud; Kegagalan merancang adalah merancang kegagalan. 

Namun secara peribadinya aku berpendapat; Kegagalan MRM bukanlah kerana kegagalan merancang, sebaliknya bagai dirancang untuk menggagalkan.

Kronologi dan perbincangan yang boleh diperolehi daripada emel dan minit mesyuarat MRM dan lain-lain badan perlesenan menunjukan seolah-olah ada usaha-usaha bersepadu pelbagai pihak yang mahukan ia gagal lalu dibubarkan. Dengan itu, badan-badan perlesenan sedia ada sebelum kewujudan MRM dapat melakukan kembali perkara-perkara yang pernah mereka lakukan.

MRM adalah sebuah tragedi kepada para penggiat muzik.

Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman lalu, aku menjadi sangat berhati-hati terhadap idea penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia.

Tambah menakutkan lagi apabila aku mendapati ada kelompok yang dahulunya bersungguh-sungguh menggagalkan MRM adalah kelompok yang sama bersungguh-sungguh mahukan penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia.

WTF! (Worse than failure)

Pisang pisang sedang bergantungan dan beruk beruk lapar sedang melompat-lompat teruja serta menggericau.

Aku tak mahu digigit mereka. Once bitten, twice shy.

Bersambung. - Getaran, 18 Ogos 2021



 

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah