Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kisah Anak Gen-X: Sarawak Di Hatiku

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Jul 2021 6:03PM

Penulis di Pantai Tanjung Lobang, Miri. - Gambar ihsan penulis

oleh

M.Zulkifli

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kali pertama aku menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang adalah pada tahun 1996. Aku baru terima surat tawaran untuk berkhidmat dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, dan berserta berita gembira tersebut terselit arahan untuk berpindah ke Kuching, Sarawak bagi memulakan tugasanku.

Kelam-kabut ketika itu membuat pelbagai persiapan yang perlu dalam masa yang singkat. Dan selepas kurang dari dua minggu, aku telah berada dalam pesawat yang membawa aku menyeberang Laut China Selatan.

Walaupun pertama kali di Sarawak, aku sebenarnya tidak begitu asing dengan budaya dan bahasanya. Sejak dari zaman Matrikulasi lagi, aku berkawan rapat dengan budak-budak dari negeri Sarawak. Maklumlah, kami sama-sama “sekular”.

Aku juga telah mengambil peluang untuk belajar Bahasa Melayu Sarawak sedikit sebanyak. Frasa pertama yang diajarkan kepadaku (selain daripada perkataan asas seperti “siya”, “sitok”, “kamek” dan “kitak”) adalah, “Jenaka kah? Mun jenaka, tetak lah!” (“Lawak ke? Kalau lawak, gelak lah”).

Mungkin ini yang diajarkan sebab ada perkataan yang bunyinya sangat janggal buat aku, seperti “manok” (ayam) dan “belon” (kapal terbang).

Tapi aku rasa teruja untuk belajar dan tak pernah pula menyangka pada satu hari nanti, kemahiran berbahasa Sarawak ini akan membantu dalam kehidupan seharianku.

Di Kuching, aku tinggal bersama rakan baik UIA aku Ben, dan keluarganya, di kawasan Batu Kawa. Pejabat aku pula di Kompleks Mahkamah Lama yang terletak di tengah-tengah bandar.

Aku terus diperkenalkan kepada tempat-tempat makan yang sinonim dengan bandaraya Kuching dan negeri Sarawak itu sendiri, termasuklah kedai makanan segera Sugar Bun, yang lebih mahsyur daripada McDonald’s di sini – percayalah!

Tapi dua tempat yang menjadi instant favourite aku adalah Hartz Chicken Buffet di Sarawak Plaza dan Top Spot Food Court dengan barisan gerai makanan laut yang membuat aku terkecur walaupun sekadar menaip namanya.

Antara hidangan mesti cuba di Top Spot, midin goreng belacan.
Antara hidangan mesti cuba di Top Spot, midin goreng belacan.

Namun, aku di Kuching hanya selama tiga minggu. Punggung belum pun panas, aku terima posting order ke Miri untuk menjalankan tugas sebagai seorang Majistret. (Tapi bab Majistret, Insya Allah akan aku ceritakan di ruangan akan datang.)

Bingung juga aku ketika itu. Di Kuching aku dah mula selesa dengan persekitaran dan ramai rakan-rakan universiti ada di sana. Tetapi Miri merupakan satu lagi peluang untuk mencipta pengalaman baharu. Aku diberitahu yang Miri, The Oil Town, adalah sebuah bandar dengan aura tersendiri dan pelbagai tarikan yang menarik.

Dan umpama Cinta Pandang Pertama, hatiku terus terpaut kepada tempat ini dari dalam “belon” lagi bila aku menjengah ke bawah dan terkesima dengan keindahan semulajadinya.

Tiba saja di lapangan terbang, aku dihantar ke bangunan mahkamah Miri di Jalan Kingsway ketika itu, untuk melaporkan diri. Selepas itu, aku dibawa pula ke penginapan sementara yang merupakan kuarters hakim dengan pemandangan laut, yang terletak di Tanjung Lobang.

Aku dan Miri cepat mesra dan selesa. Perjalanan ke tempat kerja memakan masa kurang dari 10 minit dan penduduknya yang pelbagai kaum termasuk Iban, Orang Ulu, Kelabit dan juga Melayu serta Cina, begitu baik dan peramah.

Kalau pasal makan, Laksa Sarawak dan Mee Kolok terus menjadi kegemaran aku. Tak keterlaluan kalau aku katakan yang Mee Kolok menjadi hidangan sarapan pagi aku hampir setiap hari kerja untuk lebih kurang setahun setengah. Dan seperti di Kuching, Sugar Bun juga menjadi pilihan majoriti di sini.

Ada beberapa pusat membeli belah di sekeliling kawasan bandar termasuklah Pelita Tunku yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Mahkamah. Tidak terlalu besar, tetapi lengkap dengan barangan keperluan.

Cuma aku berasa sedkit pelik apabila diberitahu yang akhbar nasional seperti New Straits Times hanya tiba di Miri pada waktu petang atau keesokan harinya.

Memandu sekeliling Miri juga begitu mendamaikan dengan banyak pemandangan secantik gambar poskad. Ingat lagi bagaimana aku terjumpa Pantai Lutong dengan secara tidak sengaja. Walaupun airnya tidaklah begitu biru seperti di Gold Coast, Australia, lontaran ombak dan desiran angin nyaman membuatkan ia antara pantai kegemaran all-time aku.

Pantai Lutong, Miri.
Pantai Lutong, Miri.

Berhampiran Pantai Lutong itu juga adalah kawasan kuarters staf syarikat minyak yang agak epik pemandangannya dengan pokok-pokok pine tinggi melangit, membuatkan terasa seakan berada di luar negara.

Ketika di Miri juga, aku turut mengambil peluang untuk mengembara ke kawasan pedalaman. Untuk kawasan yang tidak dihubungkan dengan jalan raya, aku akan menaiki kapal terbang jenis twin-otter, pesawat kecil yang biasanya boleh memuatkan 16 orang penumpang serta haiwan ternakan. Untuk mengimbangi pesawat, bukan sahaja barangan yang perlu ditimbang ketika check-in, tetapi juga penumpang itu sendiri!

Antara tempat yang pernah aku sampai adalah bandar Marudi yang terletak di tepian Sungai Baram. Di sana, aku dibawa melawat rumah panjang dan melihat sendiri cara kehidupan masyarakat tempatan.

Di sebuah rumah panjang, di Marudi pada tahun 1996.
Di sebuah rumah panjang, di Marudi pada tahun 1996.

Selepas hampir dua tahun berkhidmat di Miri, aku mendapat arahan pertukaran dan pulang ke Kuala Lumpur. Kalau tambang untuk pulang ke “Malaya” ketika itu tidak terlalu mahal (AirAsia pun belum wujud), mungkin aku memilih untuk terus tinggal di Sarawak sedikit lama lagi. Apapun, pengalaman yang ditimba sinun, sik dapat kamek lupakan!

Beberapa tahun kebelakangan ini (sebelum COVID-19 melanda), aku ada “pulang” ke Kuching dan Miri untuk bercuti bersama keluarga.

Kuching tetap tenang dah indah, tetapi tidak ketandusan tarikan baharu seperti Jambatan Darul Hana yang merentangi Sungai Sarawak dengan pemandangan yang sangat Insta-friendly. Aku juga berkesempatan untuk menyertai acara Kuching International Marathon untuk dua tahun berturut-turut.

Di Jambatan Darul Hana, Kuching.
Di Jambatan Darul Hana, Kuching.

Miri pula kekal dengan magis semulajadinya. Lebih menarik, aku sangat teruja dengan pembangunan Marina Bay di kawasan pantai berhampiran pusat bandaraya yang lengkap dengan taman rekreasi, kafe dan restoran serta tempat berisitirehat seisi keluarga, Coco Cabana, kini terkenal dengan mercu rumah api berbentuk kuda lautnya.  

Entah bila dapat kembali ke sana lagi, namun Sarawak Bumi Kenyalang tetap di hati.

Selamat Hari Sarawak! - Getaran, 22 Julai 2021

M.Zulkifli merupakan teraju utama getaran.my. Untuk ketahui di mana lokasi Mee Kolok dan Laksa Sarawak yang paling enak di sekitar Lembah Klang, hubungi beliau melalui email di [email protected] 

Sorotan

1

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

2

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

3

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

4

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

5

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

6

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

7

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

Disyorkan untuk anda

Kolum 1 hari yang lalu

Tun M, Bertenanglah, Tak Perlu Takut Dengan Siasatan