Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Aidiladha - Mohon Maaf Jika Ada Salah Dan Silap

Sempena Aidiladha yang bakal menjelma, Wirda Adnan berkongsi peringatan buat saudara seiman tentang keunggulan ibadat haji, kepentingan taubat dan bermaaf-maafan di dalam Islam.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 17 Jul 2021 2:41PM

Gambar: AFP/HO Saudi Ministry of Media

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu sejahtera dalam agama dan sihat pada jasad, tambah ilmu pengetahuan dan berkat pada rezeki, taubat sebelum mati, rahmat ketika mati dan keampunan selepas mati dan lepaskan aku daripada api neraka dan keampunan ketika perhitungan.”

Usia semakin mencemburui diri ini dan anda juga. Pernah satu ketika saya sangat takut memasuki angka empat tetapi sebentar cuma rasanya, angka itu bertambah menjadi lima, menjadi enam kini, kalau panjang umur akan jadi tujuh, akan lapan dan seterusnya.

Maka itu, tidak ada cara lain untuk membuat suatu keadaan menjadi lebih baik, kita juga harus berubah lebih baik. Hari ini akan tetap seperti kelmarin kalau tidak melakukan usaha apa-apa.

Lalu apa?

Ya Allah, berikan aku kesempatan untuk menebus segala kesalahanku dan dosa-dosaku. Hadirkan damai sebelum di hujung nafasku.

Sudah berbulan-bulan saya berasa sayu. Nampaknya keadaan sekitar masih di dalam bahaya, ya saya yang senang berjoging di padang berdekatan, namun tidak berani keluar, takut ancaman virus yang tidak mengenal kamu siapa. 

Jadi terbaik duduk sahaja di rumah kerana seorang yang dijangkiti virus ini boleh merebakkan kepada lebih 800 orang. Dua kali vaksin belum tentu selamat. Ini amat menakutkan. 

Telah ramai pun teman-teman yang pergi. Tanggal 6 Julai, Tengku Normah (teman sepengajian kelas agama) pergi meninggalkan kami, suaminya terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi, ya cuma dua minggu sebelum arwah.

Bulan lalu, bos saya sewaktu di Majalah Wanita, Puan Rosminah Ahmad pergi meninggalkan kita semua. Dan saudara-mara yang sebelum ini sihat walafiat esoknya, pergi buat selama-lamanya. Juga setiap hari kita didedahkan dengan berita kematian demi kematian, innalillahiwainnailaihirajiun. 

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Selasa ini, 20 Julai 2021, Aidiladha. Pasti membawa ingatan saya ke tempat sesucinya di sisi Allah. Bersyukur sangat kerana saya dipilih-Nya mengerjakan rukun Islam kelima sebelum pulang ke pangkuan-Nya. 

Berada di sini air mata ini agaknya berkarung ditumpahkan mengenangkan betapa banyaknya dosa yang telah dilakukan selama hidup. Tempat yang memberikan kesembuhan batin sesudah lama ia dibiarkan beku di dalam tubuh kita. 

Betapa banyak solat yang telah ditinggalkan, mampukah aku membayarnya kembali?

Berapa ramai manusia yang barangkali terusik hati kerana diri ini, dalam sedar mahu pun tidak, daripada kata-kata, daripada perbuatan dan tingkah laku, daripada tulisan-tulisan yang mungkin tidak menyenangkan biarpun saya sedaya upaya di dalam setiap tulisan cuba memberikan yang terbaik sahaja.

Tidak mengeji dan melayangkan tipu dan fitnah. 

Pernah saya diminta untuk mengelolakan satu ruangan gosip (gosip artis) sebab ruangan begini, amat disenangi, menaikkan data pembaca dan ini yang dikehendaki pengiklan khasnya.

Saya menolak saat dicadangkan. Nama pun gosip, kebenaran dan ketulusannya diragui, ia mungkin menyeronokkan satu pihak tetapi menyakitkan pihak yang lain, ia mungkin boleh ‘hit’ di pasaran dan ratusan kertas-kertas lagi dicetak, lantas jutaan lagi manusia mengetahuinya dan menambahkan lagi sakit hati insan-insan ini. 

Syarikat untung dan saya mungkin dinaikkan gaji namun apa kah wang itu berkat untuk diberi makan anak dan suami, mak dan ayah?

Di padang Arafah yang mulia itu tanggal Zulhijah 1439-1440 (2018), Allah menerima kedatangan kami, (saya dan adik. Suami tidak ikut serta memandang ibu dan ayahnya tidak sihat, sebagai anak tunggal seorang mesti berada di tanah air). 

Gambar hiasan. Tangkapan layar Instagram @haramain_info
Gambar hiasan. Tangkapan layar Instagram @haramain_info

Ya Rahman, telah Kau menerima kedatangan kami, Ya Rahim, ya Ghafur, kami datang penuh kekotoran, kami datang dengan berlumuran dosa yang banyak dengan kesalahan yang bertimbun. 

Kau ampun dosa-dosa besar kami, engkau bukakan pintu taubat-Mu, kau bebaskan hamba-Mu dari neraka. Kami dengan penuh hina, dengan penuh rasa rendah diri menadahkan tangan di hadapan-Mu, mengharapkan anugerah-anugerah-Mu.

Allah Humma Ya Allah bersihkan hati kami, sesungguhnya kau sahaja yang dapat membersihkannya, daripada ujub dan sum'ah, sombong dan takbur, bersihkan hati aku ini daripada sikap bakhil dan kedekut, bersihkan daripada hasad dan dengki dan buruk sangka terhadap saudara Islam. 

Allah Humma, bersihkan dan hiaskan hati ini dengan tawaduk, Ya Rahman. (Tiga Perkara Yang Mesti Dijauhi Setiap Mukmin, Malik bin Dinar RA berkata, maksudnya, “Cegahlah tiga sikap dengan tiga cara: sikap sombong dengan tawaduk, sikap tamak dengan qanaah dan sikap buruk dengan nasihat.”)

Saat saya di hadapan komputer riba ini (15 Julai), saya mendapat kiriman video daripada saudara yang sudah lama menjadi warga negara di sana. Air mata mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Allahuakbar, Baitullah lapang dan lengang, boleh dikira dengan jari mereka yang bertawaf. 

Sesuatu yang tidak pernah kita bayangkan kerana mengerjakan umrah sahaja keadaan di Masjidil Haram sesak, tidak kiranya bulan berapa, terutama di bulan Ramadan, Syawal dan masuk Zulkaedah kemudian Zulhijah, usah cerita betapa ramainya umat Muhammad (SAW) di perut bumi Makkah dan Madinah khasnya. 

Pernah saya terfikir, kalau aku di sana bolehkah aku bergerak, kerana macam lautan semut yang mengelilingi Kaabah. Masakan air mata tidak tumpah mengenangkan keterujaan saat bersama jutaan manusia, masing-masing menyerahkan diri kepada Allah. 

Alhamdulillah, Allah memudahkan diri ini saat saya dipanggil-Nya di mana urusan ke Tanah Suci kurang tiga minggu sahaja. Dan 29 hari di Tanah Haram mengerjakan ibadat, selesa dan kesihatan yang terbaik, zero complain

Saya tahu ramai juga hampa, walau sudah berada di lapangan terbang tetapi terpaksa pulang ke rumah masing-masing kerana saat terakhir syarikat mereka gagal mendapatkan visa.

Seorang teman sewaktu di khemah bercerita, dia tertinggal kapal terbang kerana beberapa kejadian berlaku di dalam perjalanan dari Terengganu ke KLIA. Sebaik sampai, kapal terbang sudah berlepas, tetapi katanya kumpulannya tadi mendarat di Manila untuk mengambil penumpang. 

Benarlah segalanya hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Dia memilih siapa yang dikehendaki-Nya. Kumpulan tadi terkandas di Manila kerana banjir besar. Tiga hari menunggu dan sebaik isyarat berlepas dibenarkan, dikhabarkan lapangan terbang di Jeddah sudah pun ditutup untuk kemasukan jemaah.

Sementara wanita yang terkandas tadi diterbangkan (penerbangan langsung) terus ke Jeddah. Masa bercerita air matanya mengalir tanpa henti atas rahmat-Nya, waktu sama terlalu sedih kerana kawan-kawannya tidak dapat mengerjakan Haji tahun itu.

Ramai sekali di luar sana yang lebih daripada mampu, ratusan ribu wang di Tabung Haji dan setiap tahun pergi berkhusus Haji, tetapi belum mendapat panggilan-Nya.

Ada juga yang kaya-raya, mengelilingi dunia hampir setiap tahun tetapi belum dibuka hatinya untuk mengecap nikmat yang Allah sediakan yakni antara jalan menuju ke jannah. Maka bersyukurlah kita yang dipilih-Nya. Dengan wabak yang mengganas kini, apakah ada peluang lagi umat Islam di Malaysia khasnya, ke sana?

Hari ini aku bimbangi jika, hari ini hari terakhir hidupku. Adakah lagi subuh esok untukku bernafas, dan bersujud kepada-Mu? Ya Allah, Berikan aku kesempatan untuk menebus segala kesalahanku dan dosa-dosaku. Hadirkan damai sebelum di hujung.

Marilah kita saling bermaafan kerana bila kamu tidak memaafkan seseorang itu, di akhirat nanti kamu akan mencari dia.

Mencari dan terus mencari. Dan sehingga kamu menemuinya serta memohon kemaafan daripadanya dan setelah dia memaafkan barulah selepas itu kamu dapat berjalan lurus ke syurga sekiranya timbangan baiknya lebih ke situ. 

Maknanya kalau besar pun pahala yang diperoleh selama hidup tetapi kerana hanya satu sahaja sifat tidak memaafkan, diri akan terus disoal dan menunggu ribuan tahun untuk mendapat syurga.

Saidina Abu Bakar Al Siddiq menyebut, “Waspadalah terhadap kesombongan. Sebab pada akhirnya kamu kelak akan kembali ke tanah dan tubuhmu akan dimakan oleh cacing.”

Saya teringat seorang teman mengingatkan saya, “You dah berbaik dengan dia? Baiknya you? Mengapa you susah-susah hendak ziarah anaknya yang meninggal, bukankah dia yang menjatuhkan kerjaya you dan mereka melemparkan pelbagai dusta?” 

Jawapan saya ringkas, saya tidak pernah berdendam dengan sesiapa jua. Biarlah orang hendak khianat, hendak sabotaj, atau apa sahaja, saya berdiri atas kebenaran. Saya ada Allah yang mengetahui segalanya. Saya sudah lama memaaf semua orang. 

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Buat saya mengalirkan air mata teringat apa kata Datin Seri Dr. Wan Azizah yang datang menziarah jenazah (setahun berlalu), bila Mak Teh (isteri kepada bapa saudara saya Subky Latif (orang kuat PAS), “Kak Wan, saya bagi pihak arwah mohon sampaikan ini pada DSAI, Subky masa hidupnya banyak juga menulis tentang DSAI yang mungkin menyakiti hati mahupun menjatuhkan maruah beliau.” 

Tahu apa Dr. Wan Azizah cakap, “Anwar sudah lama memaafkan semua orang, janganlah Naznah risau, kami maafkan semuanya dan kami juga mohon maaf pada semua ahli keluarga Subky. Maaf juga Anwar tidak dapat datang kerana berada di Utara.”

Selain Dr. Wan, puterinya Nurul Izzah keesokan harinya berjumpa dengan sepupu saya, untuk menyampaikan takziah. Murninya hati keluarga ini.

Andai antara anda pernah saya sakiti, dari hujung rambut ke kaki saya mohon untuk untuk anda memaafkan saya. 

Sahabat, andai antara kamu bermusuhan, kembalilah bersatu. Andai kebencian mengisi dadamu, cuba legakan jiwa dengan mengisi kenangan-kenangan manis bersamanya dahulu. 

Hilangkan sifat sombong, bongkak. Muhasabah dan menyedari kelemahan diri kerana orang yang mengakui kelemahan diri akan terpuji selamanya dan pengakuan adanya kekurangan itu satu tanda Allah menerima amal kita.

Sering saya katakan ini kepada anak-anak, adik-beradik dan kawan-kawan, kita ini hendak buat ibadat banyak-banyak memang tidak mampu, jadi elakkan berbuat dosa. Jauhi dosa besar dan dosa-dosa kecil sebanyak yang boleh.

Maafkan semua orang yang pernah hadir dalam hidup kita sekalipun dia pembunuh anak kamu sendiri. Kalaulah kita dapat berbuat yang sebegini, pintu syurga seluas-luas terbuka untuk kita. 

اللّٰهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلْ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ

(Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi benteng pelindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah baki kehidupan ini sebagai tambahan (peluang) bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai kebebasanku daripada segala kejahatan). (Hadith riwayat Muslim, No. 2720, an-Nasaie, No. 1346, At-Tabrani dalam Mu’jam Al-Ausatd, No. 7257, dalam Mu’jam Al-Soghir, No. 865, Al-Bazar dalam musnadnya, No. 986)

Selamat menyambut Aidiladha, maaf zahir batin. – Getaran, 17 Julai 2021.

Gambar hiasan dari Twitter Haramain Sharifain, Unsplash, Instagram Haramain Info

Isu Pada

Anugerah Terindah Alif Satar and The Locos

17 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 9 bulan yang lalu

Perlu Bertaubat Jika Doakan Kematian Orang Lain - Khairuddin

2

Semasa 9 bulan yang lalu

Hari Raya Aidiladha Disambut Meriah Di Seluruh Negara

3

Semasa 9 bulan yang lalu

Sambut Aidiladha Bersama Keluarga: Penghuni Penjara Sifatkan PBSL Sebagai Peluang Kedua

4

Semasa 9 bulan yang lalu

PM Anwar Tunai Solat Sunat Aidiladha Di Masjid Putra

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah