Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Seorang Spider Di Bendera Putih - Sesuatu Yang Kompleks

Seperti setiap insan yang kehilangan orang tersayang, tiada ungkapan yang dapat menggambarkan sebenar-benarnya perasaan itu.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 07 Jul 2021 9:03AM

Gambar: Instagram @tonyiskandar

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kehidupan ini adalah pertemuan dan perpisahan.

Dan di antaranya adanya siri-siri drama pergolakan.

Kami baru sahaja kehilangan seorang sahabat.

Setiap dari kami—para sahabatnya bergelut dengan perasaan dan meluahkan kesedihan dengan cara kami masing-masing.

Dan inilah luahan perasaanku...

*

Seperti setiap insan yang kehilangan orang tersayang, tiada ungkapan yang dapat menggambarkan sebenar-benarnya perasaan itu. Kerana ia terlalu besar untuk dipikul dengan perkataan dan terlalu halus untuk disusun menjadi ayat. Inikan pula dapat dirakam menjadi karangan bermakna, lagi indah.

Perasaan adalah sesuatu yang kompleks. Maka adakalanya kompleksiti itu perlu ditambah lebih banyak kompleksiti agar difahami, seperti mana untuk kita memahami Theory of Relativity.

Dan adakalanya, kompleksiti perlu diisbat ke arah nol atau nihil atau kosong agar lebih mudah untuk dimengerti, seperti mana percubaan golongan agamawan untuk memahami perihal ketuhanan.

Kerana perasaan adalah sesuatu yang melibatkan isi hati manusia yang paling mendalam, dan tiada kaedah empirikal untuk menguji partikel-partikel perasaan, maka para saintis kelihatan tidak berminat atau belum berkemampuan untuk mengkajinya menjadi sebuah dokumentasi lengkap.

Ahli kimia hanya dapat menguji bagaimana tahap tingkatan dopamine dan cortisol di dalam tubuh badan berkesan mempengaruhi pemikiran.

Tetapi mereka masih jauh lagi untuk menghuraikan partikel-partikel perasaan manusia yang mengalami tragedi perpisahan, seperti mana lengkapnya mereka membuat pembukuan mengenai genome manusia.

Lalu, perihal perasaan bukanlah subjek utama yang dibincangkan dan diperbukukan para saintis.

Sebaliknya, para senimanlah yang masih dan akan terus membicarakan perihal perasaan melalui hasil-hasil seni arca, patung, lukisan, penulisan, muzik, pementasan, dan perfileman.

Itulah gunanya seni. Bagi membicarakan perihal perasaan. Iaitu apabila sesuatu yang besar lagi kompleks bersebati dan bergaulan dengan sesuatu yang halus, maka kepada para senimanlah yang dipanggil untuk menghasilkan sesuatu yang abstrak buat renungan manusia, agar menjadi faham.

*

Kami kehilangan seorang kawan tatkala negara sedang menghadapi krisis besar. Iaitu krisis kenegaraan, kepimpinan, kemanusiaan dan kehidupan. Wabak COVID-19 telah menelanjangkan kita untuk memperlihatkan paras rupa diri kita yang sebenar sebagai sebuah negara.

Krisis kita bukan hanya pada wabak COVID-19 per se, tetapi kesan-kesan langsung dan tidak langsung daripada cara dan perlaksanaan pengurusan kita terhadap penularan wabak itu.

Krisis yang datang akibat COVID-19 membuat rakyat menjadi tertekan. Kadar kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan meningkat hari demi hari.

Rakyat semakin miskin dan merana. Keretakan rumah tangga bertambah terbelah dan penceraian meningkat. Tekanan hidup dan depresi membuat kejadian bunuh diri menjadi-jadi.

Semakin ramai yang melapar kerana ketiadaan wang untuk makanan dan bumbung-bumbung bagaikan membocor dan melopong kerana ketiadaan wang untuk membayar sewaan rumah.

Pelbagai rancangan dan bantuan oleh para individu dan organisasi dilakukan. Kerajaan turut mengisytiharkan Pelan Pemulihan Negara  yang begitu sedap sekali nama dan bunyinya.

Sementara menanti segala pelan itu menjadi realiti yang membuahkan hasil, kita akan terus menghadapi kenyataan hidup kepayahan.

Di masa yang sama, ketika kesusahan terus melanda rakyat, para politikus bercaturan perihal kuasa.

Kuasa adalah sesuatu yang kita anggap sebagai tanggung jawab. Sebaliknya, para politikus pula menganggapnya sebagai hak keistimewaan yang mesti direbut, dirampas, dan dikekalkan.

Rebut. Rampas. Kekal.

Itu umpama mantera yang menjadi arahan atau peraturan di dalam buku-buku manual atau kitab-kitab suci para politikus.

Wash. Rinse. Repeat.

*

Maka rakyat marhaen pun mencari ikhtiar sendiri setelah semakin hilang harapan terhadap para pemimpin dan politikus yang sedang sibuk mendapatkan kerusi kuasa.

Di antara ikhtiar-ikhtiar itu adalah kempen menaikan bendera putih sebagai tanda memohon bantuan.

Meskipun usaha ini bermula dari Facebook seorang wanita yang bernama Jah atau nama sebenarnya Nik Faizah Nik Othman yang merupakan seseorang yang berjawatan Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negeri Kelantan, tetapi inisiatifnya adalah daripada idea individunya dan ia adalah sangat praktikal dan mudah.

Ia seharusnya menjadi gerakan rakyat marhaen, tanpa mengira parti, bangsa dan agama.

Malah menjadi simbol penyatuan jiwa-jiwa umat manusia.

Tetapi para politikus lahanat dan para penunggang agama akan mengambil kesempatan terhadap inisiatif sebegini. Mereka akan menjadikan ia satu polemik untuk menarik manusia kepada politik sempit kepartian, malah kepentingan peribadi mereka. Luka yang kita alami, mereka torehkan lagi sehingga menjadi cedera yang parah bernanah.

Sungguh tiada empathy.

Bukannya mahu membantu sebaliknya gilakan kuasa menghukum.

Mereka bukan memimpin kepada kebaikan sebaliknya mahu menghumban kita ke dalam gaung-gaung kebinasaan.

Ptuihh!

Bass kesayangan Tony. Gambar: Laman Facebook Neves
Bass kesayangan Tony. Gambar: Laman Facebook Neves

*

Sahabat aku yang baru meninggal dunia namanya Tony.

Beliau adalah seorang pemuzik, juga seorang mualaf.

Walaupun tidak menampakkan sosok keagamaan yang ketara, namun jiwanya dipenuhi dengan sifat-sifat kerohanian, seperti kasih sayang, rendah diri dan keredaan terhadap untung nasib, qadak dan qadar.

Tidak ada keangkuhan dan ketamakan di dalam dirinya.

Sesuatu yang tidak akan sekali kali difahami para penunggang agama, meskipun betapa berat serban-serban mereka dan putih melepak jubah-jubah mereka nan labuh menyapu lantai majlis majlis ceramah.

Di kalangan peminat muzik, Tony akan dikenali sebagai pemain gitar bass daripada kumpulan Spider.

Beliau mempunyai kebolehan muzik yang hebat dan keunikan permainannya menepati sosok pemuzik yang kreatif dan artistik. Tetapi beliau adalah lebih daripada itu.

Kami rakan-rakannya amat bertuah untuk dapat mengenalinya secara peribadi. Beliau adalah seorang yang baik, peramah dan sentiasa menyokong dan cuba membantu para sahabatnya. Walaupun tidak memiliki apa lagi, beliau akan tetap memberi.

Banyak yang kita boleh pelajari daripada Tony.

Terutamanya mengenai sifat syukur. Syukur dengan segala apa yang ada.

Dan sentiasa tersenyum meskipun menghadapi kesukaran dan kesakitan.

Tetapi senyum dan tawa seorang seniman sepertinya tidaklah sama seperti senyum dan tawanya orang kebanyakan.

Senyum dan tawanya adalah sebenar benar maksud peribahasa, Penyu menangis siapalah yang tahu.
 

Tony hidup dalam berseni. Walaupun ketika daif.

Beliau bermaruah tinggi dan merendah diri.

Sangat besar dan lagi halus.

Beliau tidak akan menaikan bendera putih buat dirinya sendiri, meskipun akan membantu orang lain yang perlu dengan memanjat tiang, tembok dan pokok tinggi.

Pada malam 30 haribulan Jun, 2021, Tony telah pergi meninggalkan kita, seminggu sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke 50 tahun.

Buat sekian waktu, beliau telah mengalami beberapa komplikasi kesihatan.

Tidak lama sebelum pemergiannya, Tony telah menyedari bahawa dia tidak lama lagi akan pergi buat selama lamanya, mengadap ilahi.

Dan beliau telah reda.

Jika dipolemikan; Apa ada pada Bendera Putih?

Jawapannya ada pada hati hati yang baik seperti Tony.

Yang tidak akan bersarang sifat buruk—mazmumah seperti hati para penunggang agama.

Tony,

Wa akan rindulu.

Rest well, my friend.

Anthony Bernardo Alberto @ Iskandar Alberto @ Tony Spider

July 7, 1971 — June 29, 2021

~ Al Fatihah ~

- Getaran, 7 Julai 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 6 hari yang lalu

MKN, KPN Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar

2

Semasa 6 hari yang lalu

Mantan Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar Meninggal Dunia

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

4

Semasa 3 minggu yang lalu

Jaafar Onn Miliki Bakat Unik, Tersendiri - PM

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi