web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Dari Server Ke Sungai: Impak Pelaburan Digital Terhadap Keselamatan Air Negara

Sumber air negara jika tidak diberikan perhatian, bakal mengancam pertumbuhan merentas sektor ekonomi penting

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 11 Jun 2024 4:16PM

Sebarang krisis air yang akan menjadi bencana besar kepada ekonomi negara - Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sejak kebelakangan ini, Malaysia menjadi tumpuan gergasi teknologi global seperti Microsoft, Google, dan lain-lain untuk membangunkan pusat data baharu, tetapi di sebalik keghairahan kita menyambut pelaburan digital, kita menghadapi risiko yang berbahaya. Sumber air negara yang terhad dan jika tidak diberikan perhatian, bakal mengancam pertumbuhan merentas sektor ekonomi penting yang lain.

Lebih AS$19 bilion telah disalurkan ke dalam projek pusat data Malaysia sejak 2021, dengan permohonan untuk lebih banyak lagi pusat data dalam pertimbangan. Kebanyakan pusat data baharu akan tertumpu di Johor dan Selangor, di mana setiap pusat data boleh menggunakan lebih satu juta gelen air setiap hari untuktujuan penyejukan – bersamaan dengan penggunaan harian sebuah bandar berpenduduk seramai 10,000 orang.

Tanpa pemantauan yang ketat dengan mewajibkan amalan mampan untuk pengurusan air, penganalisis memberi amaran kehausan pusat data yang tidak dapat dipuaskan boleh memburukkan lagi masalah kekurangan air yang meluas di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun sahaja. 

Pengawal selia air negara (SPAN) sendiri telah memberi amaran bahawa bekalan yang semakin berkurangan, penggunaan berlebihan, infrastruktur yang usang, dan tekanan alam sekitar menjejaskan keselamatan air negara. Memastikan akses kepada air bersih adalah penting untuk daya tahan ekonomi dan pembangunan mampan Malaysia. Air adalah nadi untuk pertanian, pembuatan, pengeluaran tenaga, pelancongan dan kesihatan awam - sektor yang menyokong pertumbuhan dan kemakmuran negara. Sebarang krisis air yang mengganggu akan menjadi bencana besar.

Sektor pertanian, menyumbang sekitar lapan peratus daripada KDNK, memerlukan bekalan yang mencukupi untuk pengairan, ternakan dan pemprosesan makanan. Kemarau atau kekurangan yang berpanjangan boleh memusnahkan hasil tanaman, mengekang pengeluaran dan berpotensi menjadikan Malaysia daripada pengeksport makanan menjadi negara yang bergantung kepada import yang mahal untuk memenuhi permintaan dalam negeri. 

Ancaman terhadap akses air pertanian menjejaskan keselamatan makanan negara dan mata pencarian penduduk di luar bandar.

Sektor pembuatan menjana hampir 25 peratus daripada keluaran ekonomi Malaysia, dengan industri intensif air seperti elektronik, automotif dan petrokimia bergantung kepada bekalan yang konsisten. Sebarang gangguan kepada bekalan air akan meningkatkan kos operasi, mengganggu rantaian bekalan dan menjejaskan keupayaan negara untuk menarik pelaburan baharu. Bagi ekonomi yang dipacu eksport seperti Malaysia, impak kepada daya saing pembuatan boleh menjejaskan prestasi perdagangan antarabangsa.

Kuasa hidroelektrik merangkumi enam peratus daripada kapasiti penjanaan elektrik Malaysia, manakala jana kuasa arang batu dan gas bergantung kepada air untuk penyejukan dan operasi. Kekurangan bekalan air boleh mengakibatkan gangguan bekalan dan catuan bekalan yang pasti akan menjejas aktiviti ekonomi. Kehilangan produktiviti ini boleh menghalang pertumbuhan di samping mengurangkan tarikan Malaysia untuk pelaburan industri yang baharu.

Pantai, pulau dan tarikan semula jadi Malaysia yang asli memacu pendapatan pelancongan yang penting untuk pertumbuhan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan. 

Bagaimanapun, kekurangan air dan kemerosotan kualiti alam sekitar boleh mencemarkan aset berharga ini. Jika tidak ditangani boleh menghalang pelawat dan menjejaskan industri eko pelancongan Malaysia yang berkembang pesat.

Purata penggunaan harian rakyat Malaysia ialah sebanyak 245 liter sehari melebihi piawaian yang dicadangkan WHO sebanyak lebih 50 peratus! Penggunaan berlebihan ini diburukkan lagi dengan kerugian yang mengejutkan - penyedia utiliti terlepas pendapatan RM2 bilion pada 2022 disebabkan kebocoran paip, kecurian dan infrastruktur yang semakin tua. Di negeri seperti Perlis dan Kedah, lebih separuh daripada semua air terawat dibazirkan sebelum sampai kepada pengguna.

Mengelakkan krisis air memerlukan strategi nasional yang padu: memulihara bekalan terhad, mengurangkan sisa sistemik, menaik taraf sistem yang usang dan menggalakkan kemampanan dalam kalangan masyarakat. Walaupun memerlukan kos yang tinggi, pelaburan adalah penting untuk menjamin daya tahan ekonomi jangka panjang.

Kerajaan persekutuan dan negeri mesti mengutamakan peruntukan dana untuk menggantikan paip uzur, mencegah kecurian dan menggunakan teknologi pemantauan kebocoran. Perkongsian awam-swasta boleh mempercepatkan pelaksanaan ini. Secara selari, strategi komprehensif diperlukan untuk menggalakkan penggunaan sumber air kitar semula oleh industri.

Mengawal selia amalan mampan untuk pusat data baharu dan pelaburan berintensif air lain adalah kritikal. Pakar mengesyorkan garis panduan yang mewajibkan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau untuk untuk memastikan penggunaan air berlebihan dapat dibendung di kawasan-kawasan yang kini menghadapi tekanan dari segi bekalan air khususnya di Johor dan Selangor. 

Malaysia telah menempuh pelbagai cabaran pembangunan sejak kemerdekaan, bagaimanapun, krisis air yang bakal berlaku di seluruh negara merupakan satu cabaran ekonomi terbesar yang pernah dihadapi - dan yang tidak boleh diabaikan tanpa menggadaikan kejayaan masa depan negara. 

Dengan mengutamakan pelaburan, inovasi dan kesedaran kemampanan hari ini, Malaysia boleh memastikan kemajuan ekonomi yang berterusan agar berdaya tahan untuk generasi akan datang. - Getaran, 11 Jun 2024

Berita Berkaitan

1

Kolum 2 minggu yang lalu

Ekonomi Kebencian: Apabila Perpecahan Menjadi Model Perniagaan

2

Kolum 2 minggu yang lalu

Malaysia Yang Mana Mahu Kita Wariskan Untuk Anak Cucu?

3

Kolum 4 minggu yang lalu

Krisis Negeri Sembilan: Seruan Kepada Kerajaan Untuk Bertindak

4

Kolum 1 bulan yang lalu

Retorik Eksklusif MB Johor Khianati Rakyat, Dedah Hipokrasi Politik UMNO

Sorotan

1

Tok Mat Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau, Zahid Jadi Pengiring

2

PRN Negeri Sembilan: 4 Calon PH, 3 Calon BN Tiba Di Pusat Penamaan Calon

3

Mayat Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ditemukan, 2 Lelaki Ditahan

4

Dituduh Rogol Remaja Bawah Umur, Pempengaruh Media Sosial Mengaku Tidak Bersalah

5

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

6

Tarik Diri Daripada Kerajaan Negeri, DAP Melaka Beralih ke Blok Pembangkang