Berita Terkini

11 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Pendapatan Pasif Dalam Menangani Kos Sara Hidup, Pemuzik Harus Celik Kewangan  

Celik kewangan tidak akan menjadikan pemuzik seorang pakar ekonomi tetapi mencukupi untuk menjadikan mereka mempunyai kehidupan yang lebih selesa dan tidak meminta-minta atau menagih-nagih bantuan.

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Mar 2023 12:00PM

Gambar hiasan Unsplash

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“If you don’t find a way to make money while you sleep, you will work until you die.”

 ~ Warren Buffett.

Sebagai pencipta lagu, aku amat merasai dan menikmati peri pentingnya memiliki ‘pendapatan pasif’.

Pendapatan pasif adalah pendapatan yang tidak memerlukan kerja-kerja aktif harian dan berterusan. 

Contohnya, ia diperolehi daripada harta yang disewakan umpamanya rumah atau kedai, atau dividen daripada wang simpanan dan pelaburan saham, atau royalti daripada sesuatu penciptaan seperti lagu, buku dan lain lain harta intelek. 

Mencipta lagu adalah satu usaha yang hanya perlu dilakukan sekali sahaja sehingga ia siap dirakam. - Gambar hiasan Unsplash
Mencipta lagu adalah satu usaha yang hanya perlu dilakukan sekali sahaja sehingga ia siap dirakam. - Gambar hiasan Unsplash

Sebagai contoh, mencipta lagu adalah satu usaha yang hanya perlu dilakukan sekali sahaja sehingga ia siap dirakam. Apabila lagu itu disiar dan terjual dalam bentuk piring hitam, CD atau secara digital menerusi platform di internet, ia memberi pendapatan kepada pencipta. 

Malah, apabila lagu tersebut dipersembahkan di konsert secara live, pencipta lagu itu akan juga mendapat pembayaran royalti yang dikutip oleh badan badan pelesenan.

Di Malaysia, para pencipta lagu dan penulis lirik yang mempunyai katalog ratusan lagu dan puluhan lagu-lagu hits boleh menjana pendapatan yang amat memuaskan iaitu dari puluhan ribu sehingga ratusan ribu ringgit setahun. Pendapatan sebegitu boleh berterusan selama bertahun tahun malah berdekad dekad.

Satu lagi contoh adalah penulis buku. Penulis hanya perlu menyiapkan karyanya dan setelah siap tercetak, beliau akan berterusan menikmati pembayaran royalti sepanjang hayatnya.

Banyak atau sedikit adalah persoalan kedua

Berbeza dengan pendapatan pasif, ‘pendapatan aktif’ pula adalah pendapatan yang berbentuk gaji, upah atau fi (fee) yang diperolehi dengan kerja kerja aktif yang berterusan seperti berkerja dengan majikan atau kerajaan, atau berniaga dengan menjual barangan dan menyediakan perkhidmatan, malah bertani dan berternak.

Pendapatan aktif memerlukan kerja aktif yang dilakukan secara harian.

Gambar hiasan Unsplash
Gambar hiasan Unsplash

Walaupun bagi yang mempunyai pekerjaan tetap, kebolehan menjana pendapatan pasif adalah sesuatu yang mesti dipertimbangkan setiap insan yang hidup di zaman moden, terutamanya di dalam keadaan ekonomi yang lembab dan peningkatan kos sara hidup yang sedang kita alami sekarang.

Bukan setiap insan dianugerahkan bakat mencipta lagu atau menulis buku. Tetapi, ada pelbagai cara lain untuk menjana pendapatan pasif.

Media Sosial

Menghasilkan konten di media sosial seperti Youtube, Instagram, Facebook, Tik Tok dan laman blog juga dapat menjana pendapatan pasif.

Ketika tempoh pandemik Covid-19, ramai yang telah menggunakan media sosial sebagai ruang bagi menjana pendapatan pasif. Ia amat berbaloi dan berterusan atau perpetual.

Untuk menghasilkan konten yang menarik di media sosial memerlukan kreativiti dan usaha yang tekun. Tetapi setelah usaha sebegitu dilakukan, pendapatan yang diperolehi dari usaha itu adalah berterusan. Terpulang kepada pembikin konten untuk meneruskan penerbitan bahan bahan baharu bagi meningkatkan pendapatannya.

Terdapat beberapa skil yang diperlukan untuk menghasilkan konten yang baik dan menarik, seperti kemahiran berbicara di hadapan kamera, menulis skrip, penggambaran video, rakaman bunyi, dan editing.

Skil atau kemahiran yang terus diasah akan menjadi skil yang dapat digunapakai untuk jangka Panjang, malah sepanjang hayat, bagi menjana pendapatan.

Celik Kewangan

Di antara cara terbaik dan penting di dalam menjana pendapatan pasif adalah dengan melibatkan diri di dalam dunia pelaburan saham.

Di zaman ini, pelaburan saham adalah sesuatu yang amat mudah dilakukan dek kerana adanya internet dan aplikasi yang memudahkan proses pelaburan.

Sebelum adanya internet dan aplikasi masa kini, pelaburan saham adalah lebih sukar dan memerlukan modal yang besar.

Walaupun membuat pelaburan menjadi mudah, tetapi pengetahuan dan kemahiran di dalam menentukan pilihan pelaburan adalah amat penting.

Sebab itulah, financial literacy atau celik kewangan adalah asas penting yang perlu dimiliki oleh setiap pelabur, malah setiap insan.

Celik kewangan adalah kebolehan untuk memahami dan mengurus kewangan secara efektif. - Gambar oleh Alif Omar
Celik kewangan adalah kebolehan untuk memahami dan mengurus kewangan secara efektif. - Gambar oleh Alif Omar

Celik kewangan adalah kebolehan untuk memahami dan mengurus kewangan secara efektif.  Ia termasuk pemahaman mengenai cara cara menghasilkan pendapatan, berhemah di dalam pengurusan kewangan, membuat pelaburan, mengurus hutang, dan merangka masa depan kewangan.

Kebanyakan daripada kita adalah buta kewangan kerana tidak dididik perihal celik kewangan.

Oleh itu, ramai di antara kita yang bergaji tetap dan berpendapatan tinggi tetap terbeban dengan hutang dan tidak pernah merasa cukup. Mereka hidup menanti gaji ke gaji.

Tetapi bagi mereka yang mempunyai celik kewangan, mereka dapat mengurus wang dengan lebih baik meskipun mempunyai pendapatan yang rendah atau sederhana. Mereka tidak terbeban dengan hutang yang tinggi dan hidup dengan lebih sentosa.

Seorang warga Amerika bernama Ronald James Read adalah satu contoh yang baik.  Beliau adalah seorang janitor atau pencuci bangunan dan pekerja stesen minyak. Tetapi beliau memiliki sifat celik kewangan. 

Tiada siapa menduga bahawa beliau sebenarnya seorang jutawan sehinggalah kematian beliau pada tahun 2014 apabila telah diistiharkan kepada pewarisnya bahawa beliau memiliki harta bernilai USD8 juta. Daripada jumlah itu, USD4 juta yang beliau miliki telah beliau gunakan di dalam kerja kerja amal.

Sifat celik kewangan beliau membolehkan beliau mengurus kewangan, membuat pelaburan dengan baik, dan menjalani kehidupan yang berhemah.

Celik kewangan adalah satu skil yang berguna untuk sepanjang hayat.

Saranan Kepada Para Penggiat Muzik

Sebagai penggiat muzik, aku amat menyaran setiap pemuzik untuk mempelajari dan mendalami ilmu kewangan sehingga menjadi seorang yang celik perihal kewangan.

Pemuzik mempunyai ruang masa yang banyak untuk membolehkan mereka melapangkan masa mendalami ilmu kewangan. Ilmu tersebut akan memberi manfaat yang amat besar.

Celik kewangan tidak akan menjadikan pemuzik seorang pakar ekonomi tetapi mencukupi untuk menjadikan mereka mempunyai kehidupan yang lebih selesa dan tidak meminta-minta atau menagih-nagih bantuan.

Gambar hiasan Unsplash
Gambar hiasan Unsplash

Masa yang terluang mestilah diisi dengan menghadiri kelas kelas kewangan dan mentelaah buku-buku kewangan dan pelaburan. Terdapat banyak podcast dan konten di Youtube yang dapat membantu seseorang meningkatkan kemahiran kewangan.

Memahami konsep kewangan kelihatan seperti sesuatu yang sukar. Tetapi tidakkah muzik juga merupakan satu konsep yang sukar bagi mereka yang tidak terlatih?

Apabila ada kemahuan, pasti akan ada jalan.

Mempunyai celik kewangan adalah langkah awal bagi mewujudkan lebih banyak punca pendapatan pasif!

Secara peribadi, aku adalah seorang insan seni yang selama berdekad-dekad hidup di dalam keadaan buta kewangan. Royalti yang aku terima akan habis begitu sahaja tanpa memiliki simpanan untuk waktu-waktu kecemasan, serta tiada harta benda yang dapat dibanggakan.

Seperti kebanyakan pemuzik dan insan seni, aku telah lebih banyak menghabiskan masa yang terluang dengan melepak-lepak bersama rakan rakan. Tetapi, melepak-lepak sebenarnya adalah sebahagian daripada proses kreatif. 

Melepak-lepak adalah sessi ‘brainstorming’ yang tidak formal. Banyak skrip drama dan dokumentari, malah lirik-lirik lagu yang telah aku hasilkan terilham daripada sessi lepak melepak.

Begitupun, melepak-lepak haruslah berpada-pada dan waktu yang terluang mestilah diisi dengan melakukan perkara perkara yang berguna.

Aku amat bersyukur bahawa aku telah mula celik. Akibatnya, keadaan kewangan aku menjadi lebih terurus walaupun aku bukan seorang yang kaya raya.

Aku amat yakin bahawa dengan usaha pembelajaran yang berterusan, aku akan dapat memiliki keadaan kewangan yang lebih baik ke arah kehidupan yang lebih sejahtera.

Menu Rahmah Dan Usaha KPDN

Sebagai rakyat dan pengguna, aku amat terkesan dengan usaha usaha yang sedang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pujian mestilah diberikan kepada Datuk Seri Salahuddin Ayub yang setiap hari kelihatannya melakukan pelbagai program demi membantu kehidupan rakyat.

Menu Rahmah adalah satu usaha permulaan dan langkah kecil yang bersifat jangka pendek di dalam menangani kos sara hidup yang meningkat.

Pujian harus diberikan kepada Salahuddin Ayub yang setiap hari kelihatannya melakukan pelbagai program demi membantu rakyat. - Gambar oleh Syeda Imran
Pujian harus diberikan kepada Salahuddin Ayub yang setiap hari kelihatannya melakukan pelbagai program demi membantu rakyat. - Gambar oleh Syeda Imran

Begitupun, usaha aktif dan keseriusan Kementerian yang beliau terajui, memberi gambaran dan harapan kepada kita bahawa langkah-langkah yang lebih efektif dan penyelesaian yang lebih menyeluruh akan dirangka dan diumumkan kelak.

Maka telah menjadi harapan aku bahawa KPDN dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) yang merupakan salah satu agensi di bawah tanggungjawab beliau untuk terus memperkasakan penggunapakaian Akta Hak Cipta Malaysia demi kemakmuran ekonomi golongan pencipta dan inovator.

Penyelesaian sebenar kepada kos sara hidup adalah dengan meningkatkan pendapatan.

Dan pendapatan yang diingini adalah pendapatan yang dapat dijadikan simpanan serta pelaburan yang mewujudkan pendapatan pasif yang lestari.

Justeru, KPDN serta lain lain kementerian yang bersesuaian mestilah merangka program program yang dapat mencelikkan para rakyat mengenai perkara kewangan dan kepentingan memiliki pendapatan pasif.

Benarlah kata kata Warren Buffett; mereka yang tidak berupaya membikin duit ketika tidur, akan terpaksa bekerja sampai mati. – Getaran, 16 Mac 2023 

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 bulan yang lalu

Bantuan SARA: Tampung Perbelanjaan Bulanan Penerima, Kurangkan Kesan Inflasi

2

Selebriti 6 bulan yang lalu

Golongan Selebriti Bijak Gunakan Platform Media Sosial, Jentik Hati Rakyat Malaysia

3

Semasa 8 bulan yang lalu

Salahuddin Seolah Tahu Akan ‘Pergi’ — Setiausaha Akhbar

4

Semasa 8 bulan yang lalu

Salahuddin Amat Menjaga Solat, Konsisten Amalkan Sunat Dhuha - Mujahid

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut