Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kaleidoskop Lagu-Lagu Patriotik 

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 31 Aug 2022 12:19PM

Ikrar Taat Setia ini telah dibacakan beramai-ramai oleh 8,000 peserta yang mengambil bahagian dalam rapat raksasa Hari Kemerdekaan di Padang Kelab Selangor pada 31 Ogos 1970. Pembacaan ikrar diketuai Staf Sarjan Nordin. - Gambar ihsan Arkib Negara

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Semasa aku masih kanak kanak di sekitar tahun 70-an dan awal 80-an, di antara lagu lagu patriotik yang sering aku dengari dan nyanyikan ialah ‘Tanah Pusaka’ ciptaan Tan Sri Ahmad Merican. Mungkin sifat semulajadiku yang melankolik, lagu ini cukup melekat pada hatiku walaupun di usia itu.

Ada masa-masanya Almarhumah ibundaku juga menyanyikan lagu ini ketika mengemas rumah.

Pada tahun 2019, aku berpeluang melawat Tan Sri Ahmad Merican di rumahnya untuk satu sesi temu ramah. Kami tidak berbicara mengenai lagu ‘Tanah Pusaka’ sebaliknya mengenai lagu ‘Negaraku’.

Beliau menceritakan pengalamannya berurusan dengan Tunku Abdul Rahman untuk upacara pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957.

Ahmad Merican - Gambar ihsan The Star
Ahmad Merican - Gambar ihsan The Star

Menurut beliau, ramai yang tidak bersetuju pemilihan melodi ‘Negaraku’ ketika itu tetapi Tunku tetap dengan pendiriannya. Apabila lagu ‘Negaraku’ kali pertamanya akan dipersembahkan kepada khalayak ramai, ia dinyanyikan kumpulan koir.

Ketika itu, koir hanya melibatkan para penyanyi di gereja. Justeru tiada orang Melayu yang terlatih di dalam koir. 

Untuk membuat persembahan itu,  pihak pentadbiran Tunku Abdul Rahman (atau mungkin Tunku sendiri) mengarahkan koir tersebut dibarisi seramai mungkin wajah-wajah Melayu sambil memimik nyanyian para penyanyi sebenar yang terdiri daripada kaum bukan Melayu. 

Ia sebuah momen Milli Vanilli di dalam sejarah kita; lip sync.

Sebuah lagi lagu yang melekat dihatiku ialah ‘Inilah Barisan Kita’. Ia kerap dimainkan di TV dan radio. Ia sangat membakar semangat walaupun aku hanya seorang budak yang belum mengerti apapun mengenai patriotisme.

Ada masa masanya aku akan menyanyikan lagu tersebut ketika mandi dan di dalam bas sekolah dengan kepala menghulur ke luar tingkap sambil melambai-lambai ke kereta yang bersebelahan.

Tetapi sekitar lewat 80-an dan awal 90-an, ketika Tan Sri Mohamed Rahmat menjadi Menteri Penerangan, lagu ini telah digunakan secara halus dan terang-terangan oleh Barisan Nasional menerusi siaran RTM yang mereka kuasai untuk dikaitkan dengan parti mereka, kerana judul dan rangkap yang menyebut ayat “Inilah barisan kita…” sangat berkesan membawa pesanan subliminal.

Sejak era itu, aku sudah tidak lagi mahu mendengar lagu itu kerana ia telah disalah guna dan dicemari politik kepartian walaupun aku dibesarkan ibu bapa yang menyokong Barisan Nasional dan Mohamed Rahmat adalah seorang kawan kepada Almarhum ayahandaku. 

Francissca Peter - Tangkapan layar dari Youtube
Francissca Peter - Tangkapan layar dari Youtube

Sekitar lewat dekad 80-an, Francissca Peter mendendangkan sebuah lagu yang berjudul ‘Setia’ secara langsung di dalam sebuah rancangan RTM. Ia dimulakan dengan alunan saxophone daripada pemuzik legenda yang dikenali sebagai Jimmy Sax.

Aku bertuah kerana 30 tahun kemudian, aku telah dapat mengenali beliau dan anaknya. Lagu itu begitu sedap dan sempurna senikatanya. Pada pendapatku, ia sangat sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.

‘Setia’ dicipta Datuk Ahmad Dasilah. Sayangnya tidak ramai yang mengenali komposer tersebut kerana tiada pendedahan dibuat terhadap beliau. Manakala lirik lagu tersebut pula dikreditkan kepada Tan Sri Mohamed Rahmat iaitu Menteri Penerangan ketika itu.

Walaupun lirik lagu tersebut dikreditkan kepada Mohamed Rahmat, tetapi ramai yang percaya bukan beliau yang menulis liriknya. Ramai yang meyakini bahawa lirik tersebut ditulis Habsah Hassan. Pengkaji gaya bahasa dan lirik lagu akan dapat merasai sentuhan Habsah Hassan di dalam lagu itu.

Mungkin kita perlu bertanya Habsah Hassan untuk mengetahui perkara sebenar?

Secara amnya, diiktiraf sebagai pencipta sebenar sesebuah lagu adalah amat bernilai. Ia adalah hak moral setiap pencipta. Malah adakalanya lebih berharga daripada wang ringgit.

Lagu tersebut telah dinyanyikan di dalam banyak versi oleh pelbagai artis tempatan pasti menjana pendapatan royalti yang baik kepada para pencipta. 

Seperkara lagi mengenai Mohamed Rahmat; aku masih ingat ketika aku remaja, beliau dan Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu adalah Menteri Kebudayaan, Belia Dan Sukan adalah penentang kuat muzik rock di Malaysia. 

Pelbagai usaha mereka berdua lakukan untuk mengekang pengaruh muzik rock. Najib Razak mendakwa bahawa ada unsur unsur syaitan di dalam irama rock yang akan meruntuhkan nilai agama, bangsa dan negara. Mungkin ada kebenarannya.

Tetapi sehingga hari ini, tiada lagi para pengikut rock-syaitan yang telah didakwa dan didapati bersalah mencuri wang bernilai jutaan ringgit di Malaysia. Sama ada mereka terlalu licik sehingga sukar dikesan dan ditangkap atau tiada langsung minat di dalam mengamalkan jenayah kolar putih.

Menyingkap sejarah lagu lagu patriotik negara tidak akan sempurna tanpa menyebut nama Sudirman Arshad.

‘Warisan’ dendangan beliau begitu menusuk kalbu. Nyanyian Sudirman adalah sangat baik dan penuh perasaan, liriknya begitu jelas dan cantik, serta melodi pula sangat indah, ciptaan Almarhum Syed Haron. ‘Warisan’ akan terus dinikmati berabad mendatang selagi masih ada insan yang menghargai keindahan kesenian melodi, nyanyian dan lirik di dalam lagu.

‘Tanggal 31’ pula adalah lagu nyanyian beliau yang sangat ikonik. Tiga dekad setelah kematian Sudirman, lagu ini masih terus berkumandang menjelang dan sekitar sambutan Hari Kebangsaan. Malah menjadi satu kemestian kerana ia membawa suasana sambutan yang meriah. Ia sebuah rapsodi.

Allahyarham Sudirman - Gambar dari media sosial
Allahyarham Sudirman - Gambar dari media sosial

Sesungguhnya, Sudirman Arshad adalah khazanah negara. Beliaulah perakam dan peluah perasaan dan kehidupan rakyat. ‘Warisan’ dan ‘Tanggal 31’ hanyalah secebis daripada lambakan lagu lagu beliau yang ber-rohkan kehidupan di tanah air ini. 

Kisah-kisah yang beliau ceritakan di dalam lagu lagunya adalah rangkuman daripada keseluruhan jiwa patriotismenya.

Hari ini, kelihatanya begitu sukar bagi penggiat seni menghasilkan lagu lagu patriotisme yang menyentuh jiwa dan memorable atau mudah diingati.

Dari tahun ke tahun, lagu lagu yang dipilih sebagai lagu tema Hari Kebangsaan tiada yang melekat ke jiwa.  Lagu-lagu yang dipilih akan dipakai berulang kali untuk dipaksa masuk ke telinga kita. Tetapi paksaan yang dilakukan tidak sempat sampai ke jiwa kerana telah terlebih dahulu berlaku penanahan di rongga telinga.

Pertamanya, untuk membikin lagu yang sedap dan berkesan adalah sukar. Untuk menghasilkan lagu cinta ‘boy-sayang-girl’ pun susah, inikan pula menghasilkan lagu patriotisme. Lagu-lagu patriotisme adalah lagu-lagu pinggiran.

Lagu yang berkesan bukan sahaja memerlukan melodi yang tepat atau bersesuaian tetapi lirik yang sangat bagus. Bagus ertinya; mudah sampai ke hati. Melodi dan liriknya berkahwin dan bersenggama dengan enaknya.

Lagu lagu yang berkesan mempunyai simplicity, familiarity dan originality. Ia tidak perlu terlalu mencuba atau trying too hard seperti kebanyakan lagu lagu tema Hari Kebangsaan selama ini.

Kewibawaan pihak urus-setia atau komiti yang membuat pemilihan lagu menjadi tanda tanya. Mungkin komiti itu terlalu dipenuhi dengan para makcik dan pakcik yang telah bertahun bekerja ber-punch card serta berkemeja dan seluar slack ber-pleat ke pejabat.

Keduanya, kehidupan masyarakat kini sudah jauh berbeza dengan masyarakat tiga puluh tahun yang lalu. Kita sudah tiada lagi musuh luaran yang nyata seperti penjajah yang berbeza warna kulit, atau ancaman pengganas komunis atau negara jiran yang hostile atau kaki-gaduh. Kehidupan hari ini adalah terlalu selesa untuk pemuda-pemudi harapan bangsa memikirkan perihal patriotisme. 

Syarikat syarikat penyiaran swasta juga tidak mampu membikin duit menerusi lagu lagu patriotisme oleh itu, tiadalah insentif bagi pembikin muzik untuk menghasilkannya jua. 

Ketiga, lagu lagu yang bertemakan perayaan atau sambutan seperti Hari Raya, Krismas dan Hari Kebangsaan memerlukan tradisi. Dan, tradisi dibentuk menerusi masa agar sebati dengan jiwa. Dari masa ke semasa ia perlu sering dimainkan. Ini memerlukan masa bertahun tahun.

Tetapi, tetap pada asasnya lagu tema mestilah semulajadinya sedap dan mempunyai simplicity, familiarity dan originality.

Aku sendiri telah menulis beberapa lagu patriotisme. Di antaranya berjudul ‘Bumi Bertuah’ yang ditulis bersama Aubrey Suwito dan ‘Aku Negaraku’ yang ditulis bersama Audi Mok dan Sharzee.

Bukan mudah untuk menghasilkan lagu sama ada kisah cinta atau patriotisme yang akan menjadi siulan ramai dan malar segar. Dalam seratus lagu yang aku bikin, mungkin satu atau dua sahaja yang akan hit dan evergreen.  

Begitupun, aku memendam harapan bahawa ada di antara lagu-lagu yang aku hasilkan dapat menyentuh anak-anak, para remaja dan pemuda-pemudi hari ini. Dan apabila di puluhan tahun mendatang, mereka akan merasa penuh nostalgia apabila terdengar kembali lagu-lagu yang aku hasilkan dahulu. 

Mereka akan kembali menyelusuri masa menerusi lagu-laguku seumpama sebuah mesin-waktu. Seperti mana aku menyelusuri masa dengan Tanah Pusaka, Inilah Barisan Kita, Setia, Warisan dan Tanggal 31. 

Lantas terimbau imej-imej masa silam yang kaleidoskopik. Selamat Menyambut Hari Merdeka, Malaysia! - Getaran, 31 Ogos 2022.






 

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

Disyorkan untuk anda

Kolum 1 hari yang lalu

Tun M, Bertenanglah, Tak Perlu Takut Dengan Siasatan