Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Hikmah Di Sebalik Segala Tekanan Untuk Perdana Menteri

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 30 Aug 2022 11:18AM

Ismail Sabri - Gambar fail Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021, ramai ‘warlord’ dalam UMNO, termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya mereka memilih seseorang yang akan sentiasa akur dan memenuhi kehendak suara parti itu.

Ringkasnya, mereka menjangkakan seorang Perdana Menteri ‘boneka’ yang akan mengikut telunjuk ahli parti (dibaca: arahan presiden), tidak kira betapa ‘tidak munasabah’ perkara itu, contohnya menyelamatkan mereka daripada diheret ke penjara.

Malang bagi mereka apabila Ismail Sabri seolah-olah memilih haluan sendiri.

Sikap ‘selamba’ beliau ketika berdepan desakan supaya campur tangan dalam proses kehakiman membabitkan Datuk Seri Najib Razak sehingga menyaksikan mantan Perdana Menteri itu dipenjarakan minggu lalu, mengejutkan ‘warlord’ UMNO bahawa Ismail Sabri bukan ‘budak suruhan’ seperti mereka harapkan.

Buat pertama kali, negara menyaksikan Perdana Menteri dilantik dalam kalangan bukan orang nombor satu parti kerana Ismail Sabri hanya naib presiden, justeru hierarki dalam parti konservatif seperti UMNO menetapkan sepatutnya pemimpin itu perlu setia dan patuh.

Namun, Ahli Parlimen Bera itu mengecewakan mereka dengan berpegang kepada rentak sendiri, iaitu ‘saya tidak akan campur tangan dalam proses kehakiman, saya menghormati doktrin pengasingan kuasa’.

Keengganan Perdana Menteri berbuat demikian, tidak seperti beberapa pemimpin sebelumnya, mengakibatkan ahli UMNO yang berhimpun di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hujung minggu lalu, antara lain menuntut supaya ketua hakim dan peguam negara disingkir serta memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan Pengampunan Diraja kepada Najib.

Malah, Ismail Sabri digesa mengadakan pilihan raya umum segera dan walaupun beliau memiliki hak untuk membubarkan Parlimen atas budi bicaranya, beliau perlu mempertimbang permintaan parti dalam perkara ini.

Bagaimanapun, tuntutan supaya beliau ‘menyalahgunakan kuasa’ untuk menyingkirkan ketua hakim dan peguam negara bagi membebaskan Najib serta mencampuri dalam perbicaraan rasuah Zahid, adalah perkara yang tidak pernah berlaku.

Tidak pernah negara melihat serangan terbuka terhadap badan kehakiman, tekanan tidak wajar kepada raja dan sikap ‘kurang ajar’ oleh UMNO kerana ia bukan ciri parti yang sepatutnya mewakili kepentingan orang Melayu.

Tidak pernah seorang Perdana Menteri diberi kata dua daripada partinya sendiri untuk menyerang proses kehakiman.

Adalah lebih baik sewajarnya 3,000 ahli UMNO itu ghairah dalam menentang rasuah dan ketidakadilan yang menyaksikan majoriti masyarakat Melayu masih terpinggir.

Kumpulan ahli UMNO ini sebenarnya hanya mencipta naratif seperti diingini pesaing politik mereka mengenai mengapa parti itu tidak boleh kembali berkuasa.

Keadaan ringgit dan pasaran saham bertambah baik selepas Najib gagal dalam kes rayuan akhirnya, membuktikan bahawa pelabur dan perniagaan mementingkan integriti serta kedaulatan undang-undang.

Jadi, UMNO atau sekurang-kurangnya sebahagian mereka yang berada dalam dewan keramat parti itu minggu lalu, menunjukkan bahawa ia sanggup menggunakan pendekatan ‘bumi hangus’ jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Malah, tindakan mereka yang sanggup mendesak supaya Perdana Menteri dipecat dari parti itu menunjukkan mereka sanggup melakukan apa sahaja.

Bagaimanapun, kehadiran 3,000 orang di Dewan Merdeka itu hanyalah kumpulan kecil daripada 3.3 juta ahli UMNO.

Selain itu, kehadiran hanya 73 daripada 191 Ketua Bahagian pada mesyuarat khas pada 22 Ogos lalu bagi menuntut campur tangan Ismail Sabri, menunjukkan bahawa majoriti ahli parti sebenarnya muak dengan pemimpin parti berkenaan yang jelas tidak mengambil sebarang pengajaran daripada kekalahan pada 2018.

Namun, ahli UMNO terkenal dengan sikap suka memendam pandangan mereka.

Pandangan dan suara mereka hanya diketengahkan menerusi peti undi, sama ada di peringkat cawangan atau bahagian atau ketika pilihan raya, iaitu dengan tidak keluar mengundi sebagai tanda protes.

Ismail Sabri harus kekal dan meletakkan kepercayaan kepada majoriti yang tidak bersuara yang enggan melihat parti itu dihukum semula kerana mempunyai pemimpin korup.

Tindakannya berdiam diri tatkala menerima ancaman dipecat dan tindakannya menyahkan kontrak pertahanan membabitkan pemimpin UMNO lain, seperti menunjukkan beliau ‘melawan’.

Di sebalik kritikan terhadap pentadbirannya, pemimpin Pakatan Harapan secara umum menerima baik cara Ismail Sabri dan menegaskan bahawa beliau adalah seseorang yang boleh mereka bekerjasama.

Seperti kata Ketua Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ismail Sabri adalah Perdana Menteri yang ‘mesra’.

Oleh itu, sekiranya berlaku situasi terbabit, Ismail Sabri mampu bertahan dengan undi percaya di Parlimen.

Setahun lalu, Ismail Sabri pastinya tidak pernah membayangkan beliau akan menjadi Perdana Menteri.

Namun, hari ini, beliau boleh meninggalkan legasi sebagai orang yang mampu mengharungi desakan partinya, bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Sebagai Perdana Menteri yang ‘mesra’, beliau boleh membantu mengumpulkan kuasa politik berpecah-belah yang menyaksikan mantan sebelumnya, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad gagal berbuat demikian.

Mungkin apabila Ismail Sabri berjaya mengharungi situasi itu, beliau boleh memberi tumpuan kepada dasar lebih imaginatif dan inklusif yang benar-benar menjiwai semangat Keluarga Malaysia. - The Vibes, 30 Ogos 2022

Terence Fernandez ialah Ketua Pengarang PETRA News yang menerbitkan The Vibes dan portal Bahasa Malaysianya, Getaran.

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 bulan yang lalu

Dana RM700 Juta: 'Ya, Kami Ambil Keterangan Ismail Sabri' - SPRM

2

Politik 1 tahun yang lalu

RoS Perlu Tangguh Pemilihan UMNO Hingga Siasatan Selesai? Ini Pandangan Pakar

3

Politik 1 tahun yang lalu

Tidak Bersara, Ismail Sabri Akan Terus Aktif Politik Walaupun Bukan Lagi Naib Presiden

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Penjenamaan Keluarga Malaysia 341 Kali Ganda Lebih Mahal Berbanding Keluarga Prihatin

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi