Berita Terkini

1 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Apabila Tarikh Hari Raya Aidilfitri Tergelincir Daripada Jangkaan

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 May 2022 6:27PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Hari ini Khamis 5 Mei masuk hari keempat sambutan Aidilfitri. Syawal tahun ini menjelma dengan satu kejutan. Ramai tidak menduga hari raya jatuh pada Isnin 2 Mei. Jangkaan umum ialah pada Selasa 3 Mei. Itulah yang tercatat dalam kalendar. Sejak sekian lama, catatan kalendar tidak silap.

Apabila kali ini catatan kalendar tergelincir, ramai termangu-mangu. Masih ramai belum bersedia sepenuhnya menyambut ketibaan fajar Syawal. Persiapan untuk masak memasak belum lengkap. Barang-barang basah seperti daging, ayam dan sayuran dirancang dibeli pada hari Isnin.

Kerana kejutan ini, terpaksalah korek apa sahaja stok yang ada di dalam peti sejuk untuk dimasak. Jika bernasib baik sudah ada sedikit sebanyak simpanan. Hendak pergi membeli sudah lambat, dan belum tentu ada di kedai atau pasar raya.

Sementara apa yang berlaku ini dianggap kejutan zaman moden, bagi mereka yang pernah merasai debaran menunggu detik pengumuman hari raya pada era 60-an dan 70-an, ia bagai mengimbau kenangan lalu. Inilah juga yang dirasai penulis lebih enam dekad lalu semasa masih bersekolah rendah dan tinggal di Kampung Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak.

Dahulu penentuan 1 Syawal bergantung kepada rukyah atau melihat anak bulan berbanding kini dengan kaedah rukyah dan hisab. Kawasan mencerap era 60-an pun hanya ada dua tiga sahaja, contoh Pulau Sayak, Kota Kuala Muda, Kedah. Tahun ini 29 kawasan mencerap anak bulan disediakan.

Kerana itu tarikh hari raya dahulu hanya diketahui pada saat akhir bergantung kepada nampak atau tidak anak bulan. Yang ada radio, berkumpul beramai-ramai menunggu pengumuman. Yang tidak ada, menunggu perkhabaran daripada jiran.

Semua berdebar menanti. Jika esok hari raya, anak muda kampung biasanya berkeliling kampung menyampaikan berita. Ketuk-ketuk atau kerentung di surau dipukul bertalu-talu bertali arus. Fahamlah orang kampung esok raya.

Walau pun ada thrill menunggu pengumuman raya hingga saat akhir, bagi penduduk kampung ada juga masalahnya. Ini kerana sukar menjangka waktu terbaik untuk membeli barang keperluan, terutama barang basah seperti daging dan sayur-sayuran.

Daging ayam pula biasanya penduduk kampung akan menyembelih ayam peliharaan. Dua tiga ekor ayam akan menjadi mangsa juadah pagi raya. Antara tugas penulis menjelang raya ialah menangkap ayam yang sudah ditunjuk oleh emak, mengurung di dalam kurungan buluh sehingga tiba waktu disembelih.

Ada kala barangan basah dibeli pada siang hari atas andaian esok raya, tetapi raya lusa pula. Masalah juga untuk memastikan barangan basah ini tetap segar kerana orang kampung tiada peti sejuk untuk menyimpan. Bekalan elektrik tidak ada.

Ada juga situasi barang keperluan belum dibeli kerana percaya hari raya lusa. Jika andaian ini meleset, memang jadi kelam kabut. Terpaksalah sambar apa yang ada. Ayam dalam kurungan boleh disembelih dan dimasak. Ketupat daun kelapa kalau sudah direbus awal boleh jadi sajian esok pagi di samping nasi.  

Begitulah suasana menanti ketibaan Syawal tahun 60-an. Memang tidak menentu. Setelah sekian lama tarikh hari raya dapat dijangka dengan pasti, dan sudah tertulis di kalendar, kejutan terjadi tahun in. Peristiwa tahun 60-an berulang.

Bagi mereka yang melalui era raya dulu-dulu, tentu masih ingat peristiwa sambutan Aidilfitri tahun 1982. Dua negeri, Perak dan Johor, menyambut hari raya sehari lebih awal daripada negeri-negeri lain di Malaysia, atas titah sultan masing-masing kerana ada laporan anak bulan sudah kelihatan.

Bukan sahaja suasana jadi kelam kabut di Perak dan Johor tetapi kejutan di negeri lain. Segala sumber maklumat digerakkan untuk memberitahu rakyat, terutama di kawasan pedalaman. Ini termasuk Jabatan Penerangan, Jabatan Agama, polis, serta pejabat daerah.

Dengan pembesar suara, mereka keluar masuk kampung menyampaikan makluman. Maklum ketika itu saluran maklumat masih terhad. Tidak semua penduduk kampung ada radio, atau TV serta tiada media sosial seperti sekarang.

Namun itulah peristiwa bersejarah kerana pertama kali hari raya di Malaysia tidak disambut serentak. Rakyat Perak dan Johor terkedu, rakyat negeri lain tumpang terpinga-pinga!

Menjunjung titah sultan, hari raya disambut seperti dititah. Tidaklah penulis tahu jika ada rakyat yang secara senyap tidak meraikannya, sebaliknya mengugut meraikan bersama rakyat negeri lain keesokan harinya.

Sejak itulah juga kaedah penentuan 1 Syawal diseragam dan ditentukan dengan kaedah rukyah (melihat anak bulan) dan hisab (kiraan). Kerana itu Aidilfitri setiap tahun sudah dijangka, malah sudah siap tertulis pada kalendar. Jangkaan ini selalunya tepat.

Langkah ini lebih memudahkan orang ramai berbelanja barang keperluan atau membuat persiapan perjalanan balik kampung. Tidak diduga pula jangkaan bagi tahun ini meleset. Apa yang tertulis di kalendar sudah tergelincir!

Yang belum cukup bersedia berasa panik. Apa nak di masak untuk esok? Lemang pun belum dibakar.  Akibatnya, masaklah sekadar ada. Beli sahaja lemang dan ketupat serta rendang dijual di gerai tepi jalan.

Bagi yang merancang balik kampung hari Isnin boleh ubah suai pelan jika berkenderaan sendiri. Lewat malam masih boleh bergerak balik. Kerana jalan sesak, tidaklah diketahui berapa lama akan sampai ke destinasi. Syukur sangat jika dapat sampai sebelum solat sunat Aidilfitri.

Bagi yang menggunakan pengangkutan awan dan sudah menempah tiket balik hari Isnin, pilihan yang ada bergerak balik pada hari raya pertama, atau biarkan tiket ‘hangus’. Namun yang pasti tidak dapat menyambut 1 Syawal dalam pangkuan keluarga tercinta.

Apa yang berlaku dalam penentuan hari raya tahun ini adalah kejutan warna warni hidup menyambut hari berbahagia selepas sebulan berpuasa. Namun ia tidak mencacatkan kemeriahan Aidilfitri yang tetap disambut meriah. Sebaliknya ia menjadi memori untuk hari tua. Semoga Allah izinkan bertemu lagi Ramadan dan Syawal tahun hadapan. Selamat Hari Raya! - Getaran, 5 Mei 2022

Bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan akhbar keramat Melayu, Utusan Malaysia. Masih sarat dengan jiwa dan naluri kewartawanan, menulis tanpa jemu, berkarya tanpa ragu. Graduan Sarjana Sains (Kewartawanan) Universiti Boston, lewat 1984.

Sorotan

1

Harimau Muda Tutup Kempen Di Qatar Tanpa Sebarang Kemenangan

2

Lebih 50,000 Kampit Beras Putih Tempatan Diagih Hingga 22 April - LPP

3

Sungai Golok Surut, Tidak Mustahil Wujud Pangkalan Haram Baharu – Kastam

4

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

5

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

6

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi