web statsweb stats

Berita Terkini

3 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Keputusan Kalimah Allah Bukan Isu Menang Kalah Mana-Mana Pihak

Kolum Dikemaskini 5 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 12 Mar 2021 2:44PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac yang membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama tersebut, seperti dijangka, telah menimbulkan reaksi yang berlainan dari beberapa lapisan masyarakat majmuk kita.

Sememangnya banyak pertubuhan Islam dan Melayu seumpamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan Belia 4B Pulau Pinang telah menyeru Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merayu keputusan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin tersebut.

Kes ini memakan masa 13 tahun untuk bertemu titik penyelesaian, namun dari segi reaksi ramai yang tidak puas hati dengan keputusan tersebut, isu ini dijangka dipanjangkan sehinggalah ke Mahkamah Persekutuan.

Kes ini telah dicetuskan pada tahun 2008 apabila Jill Ireland Lawrence Bill, seorang wanita Melanau dari Sarawak telah mencabar pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam yang telah diwartakan oleh kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 Disember 1986.

Ini berikutan tindakan pihak Kastam di Terminal Udara Kos Rendah (LCCT) merampas lapan cakera padat yang mengandungi perkataaan “Allah” dalam tajuk masing-masing yang dimiliki Jill.

Ini termasuk cakera padat yang bertajuk “Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah”, “Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah” dan “Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah”.

Jill telah menegaskan bahawa cakera padat yang dirampas adalah untuk penggunaan peribadinya dan bukan untuk tujuan berdakwah.

Mahamah Tinggi pada tahun 2015 telah memutuskan bahawa cakera padat tersebut harus dipulangkan kepada Jill tetapi tidak menyentuh soalan samada masyarakat Kristian boleh menggunakan kalimah Allah serta perkataan-perkataan lain yang dianggap ekslusif kepada masyarakat Islam.

Keputusan pada 10 Mac, 2021 pula, yang merupakan kesinambungan dari kes Jill pada tahun 2008, bukan sahaja membenarkan penggunaan Allah oleh masyarakat Kristian tetapi juga penggunaan perkataan solat, Kaabah dan Baitullah.

Perkataan-perkataan tersebut bersama dengan kalimah Allah telah digunakan dalam upacara sembahyang dan keagamaan serta pendidikan agama masyarakat Bumiputra Sabah dan Sarawak, serta golongan migran Indonesia di mana bahasa perantaraan masing masing merupakan Bahasa Nusantara iaitu Bahasa Melayu dan/atau Bahasa Indonesia.

Injil Bahasa Nusantara yang pertama boleh dijejak ke zaman penjajahan Portugis di kurun ke-16 apabila Paderi Francis Xavier mula menterjemahkan sebahagian Kitab Injil dari Bahasa Latin kepada bahasa tempatan sebagai tujuan mengembangkan agama Kristian kepada masyarakat tempatan.

Di Indonesia pula, peniaga Belanda telah menterjemahkan Injil sepenuhnya kali pertama pada tahun 1731; dan Injil pertama dalam manuskrip Jawi telah diterbitkan dalam tahun 1758.

Adalah penting untuk kita mengetahui asal usul kitab dan skrip Bahasa Nusantara untuk memahami pengunaan dan evolusi perkataan-perkataan tertentu dalam penerbitan keagamaan masyarakat Kristian di Malaysia, terutama di Sabah dan Sarawak.

Bahasa utama mereka ialah Bahasa Melayu dan pengunaan kalimah Allah dalam aktiviti keagamaan mereka merupakan perkara yang normal untuk mereka.

Pengunaan kalimah Allah tidak pernah menjadi isu sehinggalah tahun 1986 apabila isu ini telah dipolitikkan oleh individu-individu tertentu untuk kepentingan tertentu.

Apakah tujuan pengharaman penggunaannya pada tahun 1986 apabila masyarakat majmuk Malaysia hidup dan berdoa cara masing-masing dalam keadaan yang aman damai?

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Jill, pihak gereja enggan mengulas tentang “kemenangan” ini.

Ini merupakan tindakan yang bertanggungjawab.

Dalam kes ini tidak ada yang “menang” dan tidak ada pihak yang “kalah”.

Isu sensitif sebegini yang melibatkan hubungan kaum masyarakat majmuk Malaysia perlu diselesaikan secara muafakat dan dalam suasana saling menghormati.

Tidak ada apa yang perlu diraikan dan pada masa yang sama tidak ada jua yang perlu diratapi.

Reaksi pihak kerajaan kini perlu dicontohi di mana Kementerian Dalam Negeri telah memutuskan tindakan susulan daripada aspek perundangan hanya selepas menerima sebab-sebab keputusan secara bertulis dari Mahkamah Tinggi.

“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mahupun tafsiran sendiri ke atas keputusan itu dan meminta semua pihak untuk menghormati proses perundangan dan kehakiman negara," seru Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Kami di Getaran dan The Vibes menyahut seruan ini di mana maklum balas dan pendapat yang bernas dan masuk akal sahaja akan diterbitkan.

Kenyataan yang berbaur hasutan, provokasi atau yang bakal menyingung perasaan yang kami terima telah dipadamkan dan dicampak ke dalam tong sampah.

Keputusan Mahkamah Tinggi dan Rayuan yang akan menyusuli perlu dikemudi berasaskan undang-undang dan fikiran yang rasional dengan mengutamakan hubungan kaum yang erat yang telah kita nikmati selama tujuh dekad.

Mungkin hikmah di sebalik kes ini ialah kita menyedari ada lebih banyak persamaan dari perbezaan antara kita semua.

Berasal dari Kuala Krai, Kelantan, Terence Fernandez sering mengikut misa dalam Bahasa Malaysia dan menghayati pujian pujian merdu yang didendangkan oleh masyarakat Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung.

Beliau merupakan Ketua Pengarang Kumpulan Petra News.

Berita Berkaitan

1

Politik 1 tahun yang lalu

PRK Nenggiri: BN Menang Majoriti Besar, Rampas Semula Kerusi DUN Nenggiri

2

Semasa 2 tahun yang lalu

Lembaga Pengarah SRC Dilantik Untuk Laksana Kehendak Najib - Bekas Pengarah SRC

3

Pendidikan 2 tahun yang lalu

Keputusan UPKK 2023 Diumumkan 18 April Ini

4

Semasa 2 tahun yang lalu

Keputusan Kes Nik Elin Tidak Jejas Mahkamah Syariah - Mohd Na'im

Sorotan

1

Klinik Kesihatan Bergerak KKM Bawa Perkhidmatan Percuma Terus Kepada Rakyat

2

Video Belasah Pembantu Rumah Tular, 2 Pasangan Suami Isteri Ditahan

3

Asid Tumpah Dari Lori: Tiada Pencemaran Asid Di Sungai Cherating - JAS

4

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori

5

PRN Johor Dijangka Sengit, 10 Kerusi Panas Jadi Tumpuan

6

Malaysia Destinasi Akhir Pendatang Tanpa Izin Kerana Jaringan Keluarga