Berita Terkini

18 jam yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Perihal 'Writer's Block' Dan Sampai Tua 

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 27 Oct 2021 1:47PM

Gambar: Steve Johnson, Unsplash

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Faith isn't the absence of doubt... - Anonymus

Sesiapa yang mengenali aku akan tahu bahawa aku adalah penulis lirik yang paling kerap menghadapi writer's block. Atau idea tiada, ilham tak datang.

Aku boleh terkebil-kebil untuk sejumlah waktu di hadapan skrin komputer atau kertas putih bersama pen yang kaku di jejari, kut tak pun menconteng kertas dengan melukis orang lidi dan bunga matahari.

Ketika mengalami writer's block, setiap kali itulah keyakinan diriku merudum dan bisikan dari hati  terdalam berkata  bahawa aku adalah seorang penulis palsu, tiada idea dan kreativiti. Penyamar. Impostor. Aku bukan S. Amin Shahab, Loloq, Bernie Taupin atau Sting. Aku Ad Samad yang menyamar menjadi penulis lirik.

Sebagai penulis skrip dan esei pula, aku juga selalu bergelut dengan writer's block. Sentiasa suara-suara puaka dari lubuk hatiku berbisik bahawa aku tiada bakat penulisan. Wannabe. Aku bukan Baha Zain, Johan Jaafar, Christoper Hitchens, atau George Orwell. Aku hanya penulis lirik lagu cinta monyet.

Baru-baru ini dua daripada lirik lagu ciptaanku telah disiarkan, iaitu; 'Perihal Dirimu' nyanyian Haikal Farid dan 'Weswey' serta 'Sampai Tua' nyanyian Shuib. Kedua-dua lagu tersebut telah mendapat tontonan ratusan ribu kali di YouTube.

Kali pertama mendengar 'Perihal Dirimu' adalah di Tik Tok setelah mendapat notifikasi bahawa namaku 'disebut' atau mentioned di Instagram dan Tik Tok. Beberapa kali pertama mendengarnya aku langsung tidak dapat mengingati bahawa lirik itu adalah penulisanku. Aku menghubungi Aubrey Suwito, iaitu pencipta lagu itu untuk mendapatkan kepastian dan beliau mengesahkannya, bahawa lirik itu adalah tulisanku.

Yay!

Aku suka lirik 'Perihal Dirimu' kerana ia mudah dan senang difahami. Aku yakin para ibu bapa dapat kaitkan lagu tersebut dengan anak gadis mereka.

Bagaimanakah seorang penulis lirik boleh lupa bahawa lirik itu adalah ciptaanya?

Ya, ia boleh terjadi apabila seseorang penulis lirik itu telah menulis ratusan lagu, serta menjadikan penulisan sebagai satu kerjaya yang berpanjangan.

Aku juga sentiasa membuat conscious effort untuk melupakan lirik-lirik yang aku tulis agar aku boleh segera kepada 'What's next?'. Lepas ni nak tulis apa pula?

Kesilapan terbesar ramai penulis adalah terlalu attached atau terpaut kepada hasil tulisan sendiri dan terlalu bangga dengan 'masterpiece' atau mahakarya mereka. Lalu, mereka sukar untuk terus melangkah maju dan mengarang atau mencipta sesuatu yang baharu.

Mengenai lagu 'Sampai Tua' pula, ia adalah sebuah lirik lagu yang telah aku tulis sekitar tahun 2007. Lagu ciptaan Aidit Alfian itu aku tuliskan untuk seorang penyanyi komidi. Namun lagu tersebut telah bertukar dari satu pelawak kepada satu pelawak yang lain sehinggalah ia menemui Shuib dan Siti Sarah.

Di tangan Shuib dan Siti Sarah, ia mahu dijadikan lagu duet. Maka aku terpaksa menulis semula lirik lagu tersebut untuk disesuaikan sebagai duet.

Namun, seperti yang kita ketahui, Siti Sarah terlebih dahulu pulang menghadap Ilahi akibat daripada komplikasi yang disebabkan oleh COVID-19.

Proses untuk menjadikan Sampai Tua kepada bentuk akhirnya yang dinyanyikan oleh Shuib terpaksa melalui beberapa revisi atau perubahan, sehinggakan aku menjadi muak dan bosan untuk menghadapi lirik itu lagi. Dalam hatiku, bagaimana hendak melengkapkan sesuatu yang aku rasa telah lengkap dan sangat sukai?

Akhirnya, versi yang dinyanyikan oleh Shuib itu adalah versi asal yang ditulis pada 2007. Shuib sendiri menulis pertambahan satu lagi verse di penghujung lagu itu untuk ditujukan kepada Allahyarham isterinya.

Shuib telah menyampaikan lagu itu dengan sangat baik dan penuh emosi.

Berbalik kepada tajuk writer's block. Sedar tak sedar, aku telah menulis lebih 500 lirik. Lebih setengah daripada lirik-lirik lagu yang aku tulis bermula dengan keraguan terhadap kebolehanku dan ketakutan sekiranya aku gagal menghasilkan sesuatu yang terbaik dan segar.

Keraguan dan ketakutan adalah berasal daripada ego.

Ego mewujudkan takut dan takut berpunca daripada malu, iaitu malu jika dipandang rendah dan gagal di mata orang lain. Bagaimana kalau lirik itu tidak bagus dan ditolak oleh produser lagu?

Bagaimana kalau penyanyi menyampah lirik itu kerana ia tiada keistimewaan? Bagaimana kalau pendengar mengutuk di media sosial? Bagaimana kalau digelak guru Bahasa Malaysia?

Egolah yang membuat seseorang penulis takut untuk memulakan penulisan. 

Ketiadaan idea pula adalah kerana kita belum bersungguh-sungguh memulakan penulisan.

Menghasilkan kerja kreatif adalah sebuah proses yang mempunyai permulaan dan penghujung.

Remedi kepada permasalahan takut dan ketiadaan idea adalah; 'TULIS AJE'.

Langgar!

Action cures fear.

Siapkan draft pertama.

Ketakutan dan keraguan akan melenyap.

Idea akan mencurah ketika proses penulisan.

Kreativiti adalah sebuah proses.

Aku sentiasa bergelut untuk mencari bahan dan ayat untuk dituliskan, termasuklah karangan ini.

Tembok-tembok yang menghalang pemikiran dan ilham perlu aku langgar dan runtuhkan menerusi kuasaku untuk duduk fokus dan keupayaanku untuk terus cekal. 

Fokus dan cekal menulis sehingga ke titik noktah terakhir. 

Gambar: Andrew Neel, Unsplash
Gambar: Andrew Neel, Unsplash

Ramai yang merasakan keraguan adalah sesuatu yang negatif, tetapi bagi aku, keraguan yang setimpal adalah antidote kepada kebongkakan. 

Bongkak akan membuat diri berasa hebat dan itu akan mengekang diri daripada terus maju dan menghasilkan karya karya baharu yang lebih bagus.

Writer's block memberi aku kesedaran diri bahawa idea boleh datang dan tidak. Idea-idea yang datang selalunya datang entah dari mana sehinggakan aku merasa pemikiranku juga bukanlah hasil karanganku. Bukan milikku.

Ia pengalaman yang menginsafkan. A humbling experience.

Perasaan itu membuat aku benar-benar hormat terhadap ilham. Jika ilham tidak datang kepadaku, aku tiada apa di dunia ini. Justeru, aku akan terus mencari, merakam dan memikul setiap ilham dengan penuh kasih dan tanggung jawab seorang insan yang dianugerahkan ilham, dan akan melaksanakannya sebaik mungkin.

Bakat adalah penghalang kepada bakat. 

Justeru, bakat hendaklah sentiasa didorong agar ia tidak tersandung dan tersungkur oleh bakat itu sendiri. Kerana bakat yang tidak didorong untuk berkembang akan terbantut tumbesarannya. 

Kreativiti adalah satu proses pertumbuhan yang boleh dibantutkan dengan sikap dan perkara negatif perbuatan diri sendiri.

Ramai penulis yang berbakat telah terbantut kerjaya penulisannya kerana merasakan bakat mereka telah cukup sempurna. Bakat hebat yang mereka miliki adalah bebas cela, maka tidak boleh ditegur atau dikritik.

Ego yang takut kepada kegagalan telah berubah menjadi sebuah ego yang merasakan kehebatan diri sehingga tidak lagi memerlukan penambahbaikan.

Kembali kepada lagu 'Perihal Dirimu', aku merasa amat seronok bahawa lirik dan lagu ciptaan para pakcik berusia 50-an, iaitu Aubrey Suwito dan aku sesuai dinyanyikan oleh para remaja dan muda mudi di Tik Tok sambil menari nari dan membuat muka muka cute.

'Sampai Tua' pula adalah di antara lagu kegemaranku dan ia mempunyai nilai sentimental. Namun, ia mengambil masa berbelas tahun untuk dirakam dan disiarkan untuk khalayak ramai. Kekecewaan yang aku tanggung selama itu seumpama mempunyai seorang kekasih yang sangat cantik - jelita tetapi tidak dapat ditunjukkan kepada bekas kekasih dan khalayak ramai.

Mungkin begitulah hukum alam, sesuatu yang berlaku datang tepat pada waktunya, tidak sedetik tercepat ataupun terlewat.

Justeru, seseorang penulis perlu fokus dan cekal ketika menyambut kedatangan idea.

Keraguan pula, apabila diurus dengan baik akan mendorong kepada penambahbaikan.

Nah, inilah idea dan karanganku kali ini.

Dan, ini pula noktah akhirnya. - Getaran, 27 Oktober 2021

Sorotan

1

Kerajaan Setuju Salur Peruntukan Kepada Pembangkang - Fadillah

2

Belanjawan Pertahanan Beri Impak Penganjuran DSA, NATSEC Asia Untuk Kekal Relevan

3

Piala Asia B-23: Kesilapan Hukum Harimau Muda Berdepan Uzbekistan

4

Akta Kerja 1955 Benarkan Pekerja Mohon Aturan Kerja Anjal - Menteri

5

Tiada Keperluan Pemindahan Pulang Rakyat Malaysia, Keadaan Stabil Di Timur Tengah

6

Mangsa Banjir Di 3 Negeri Meningkat Sedikit Kepada 748 Orang Malam Tadi - NADMA

7

Kerajaan Tetap Kurangkan Subsidi Minyak Tahun Ini – Rafizi