Berita Terkini

10 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Cinta & Kasih Sayang Solusi Banteras Kemiskinan; Sebuah Tulisan Mengenang USF

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 03 Sep 2021 1:56PM

oleh

ZF Zamir

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

PAGI 1 September 2021, awan redup menyelubungi bumi Kajang, Bangi dan sekitarnya. Alam sepertinya turut serta menangisi pemergian sang Murabbi dan Ustaz yang kita sayangi, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Saya berada di rumah ketika mendapat khabar duka ini sekitar remang senja 31 Ogos 2021. Saya bahkan ikut menonton Youtube Live upacara penyempurnaan jenazah beberapa jam selepas itu.

Tamat Youtube Live tersebut sekitar jam 10 atau 11 malam, saya mengambil masa dan termenung panjang.

Saya termenung kerana mengenangkan saya mungkin jadi bagian dari jutaan anak Malaysia yang begitu malang – tidak sempat menadah tangan untuk menuntut ilmu dari beliau. Tidak lama kemudian saya teringat beliau pernah menjadi Keynote Speaker di sebuah Konvensyen Pendidikan Teach For The Needs (TFTN) sekitar hujung 2013 yang lalu.

Lalu saya terus membuka semula rakaman syarahan tersebut di Youtube dan mendengarnya kembali setelah hampir 8 tahun ianya berlalu.

Saat mendengar pokok-pokok fikiran Ustaz Siddiq Fadzil ini kembali, hati saya meriding dalam runtuh kerana ideanya masih kekal segar walau setelah hampir 8 tahun.

Ustaz Siddiq Fadzil memulakan syarahan tersebut dengan sebuah penyataan keras iaitu hari ini kita terlalu sombong untuk mengaku bahawa adanya krisis pendidikan. Dan kerana sombongnya kita itu lantas kita tak berbuat apa-apa untuk menangani krisis pendidikan ini.

Menurutnya lagi hari ini, pendidikan telah hilang esensinya sebagai alat pengutusan insan. Ini bahkan terjadi kerana menurutnya kita terlalu fokus cemerlang akademik semata-mata, ‘excellent without a soul’ atau cemerlang tanpa roh.

Ustaz Siddiq Fadzil juga menyatakan cemerlang yang hilang roh pendidikan ini berlaku kerana kita terlalu banyak buat ujian, tetapi terlalu sedikit pendidikan. Ini boleh disemak menurutnya jika ditanyakan terus kepada anak-anak yang ponteng sekolah.

“Tanya anak-anak hari ini kenapa ponteng?”

“Anak-anak akan menjawab kerana sekolah tidak lagi menyenangkan.”

Menurut beliau, kenapa sekolah tidak lagi menyenangkan buat anak-anak ini adalah kerana sekolah telah gagal memberi didikan. Sekolah hari ini hanya menyayangi yang cemerlang, dan tidak menyayangi yang tidak cemerlang.

Sekolah telah gagal memberi kasih sayang dan cinta, iaitu asas kepada pendidikan. Beliau justeru menegaskan kegagalan memberi kasih sayang dan cinta bermakna kegagalan untuk memberi pendidikan. 

Ustaz Siddiq Fadzil kemudian melanjutkan syarahan beliau dengan menyatakan bahawa dalam Bahasa Inggeris, anak murid hanya dirujuk sebagai ‘students’ manakala dalam Bahasa Melayu, murid disebut sebagai ‘anak murid’. Katanya lagi perkataan ‘anak’ harus digarisbawahi kerana ianya adalah sejenis hubungan kekeluargaan.

Terdapat dua contoh yang boleh kita perhatikan dalam konteks ini. Pertama menurut Ustaz Siddiq Fadzil, sifat keguruan nabi itu bersamaan dengan sifat kasih sayang dan cinta terhadap umat.

Beliau melanjutkan bahawa pensyaratan seorang guru itu haruslah berbalik kepada kasih sayang terhadap umat. Kedua, pesan-pesan pendidikan di dalam al Quran atau yang disebut ‘nasihat Luqman Hakim’ di dalam bentuk 10 rukun itu dikisahkan dalam bentuk nasihat ayah untuk anaknya.

Ustaz Siddiq Fadzil menyatakan pesan itu berbentuk demikian kerana nasihat ayah untuk anaknya adalah nasihat yang paling tulus. Pesan-pesan seorang ayah tidak mempunyai makna lain selain kebaikan hanya untuk anaknya.

Di pertengahan syarahan ini Ustaz Siddiq Fadzil mengingatkan kita semula bahawa krisis yang kita hadapi kini adalah krisis kegagalan memberikan kasih sayang. Ini dapat diperhatikan kerana selain sekolah yang telah dilihat gagal memberikan kasih sayang, rumah tangga juga kelihatan telah gagal memberikan kasih sayang.

Dialog yang kasar di antara ayah dan ibu akan menyebabkan rumah tangga kering dan membina anak-anak yang kasar.

Ustaz Siddiq Fadzil kemudian meneruskan syarahan dengan mengakui bahawa hari ini, terdapat banyak sekali rungutan mengenai ‘pendidikan’.

“Banyak sekali rungutan mengenai pendidikan. Pendidikan kita tidak mampu mencipta generasi yang dapat dan mampu dan berkeupayaan mencipta pekerjaan. Para lulusan kita kemudiannya menjadi pengemis. Berjalan dari pejabat ke pejabat melamar pekerjaan. Seharusnya pendidikan dapat membina generasi yang bukan generasi pencari pekerjaan tetapi generasi yang mencipta pekerjaan.”

Ustaz Siddiq Fadzil kemudian membacakan beberapa judul buku yang terbit sebagai bukti betapa rungutan perihal pendidikan itu benar-benar menekan dan menyesakkan. Antara judul tersebut termasuk ‘Lebih baik tidak sekolah’, ‘Selamat tinggal sekolah’, ‘Pendidikan yang memiskinkan’ dan ‘Orang miskin dilarang sekolah’.

Ustaz Siddiq Fadzil juga menjelaskan biaya sekolah yang terlalu tinggi telah menyebabkan generasi hari ini dibebani hutang kerana pendidikan terlalu mahal dan manjadikan masyarakat kita tunduk kepada ‘survival of the richest’. Akibatnya, orang miskin jangan mimpi untuk masuk ke universiti kerana mereka yang tak mampu bayar dilarang untuk masuk.

Tetapi dalam masa yang sama Ustaz Siddiq Fadzil menekankan bahawa orang miskin tidak bodoh tetapi mereka miskin kerana dimiskinkan. Orang miskin menurutnya lagi jadi bodoh kerana diperbodohkan sistem.

Ustaz Siddiq Fadzil mengakhiri syarahan ini dengan memetik dua nama iaitu kata-kata Bertrand Russel; “Men are born ignorant not stupid...they are made stupid by education,” dan sekali lagi menekankan sistem pendidikan harus memberdayakan orang miskin kerana nasib malang orang miskin adalah kerana kekangan persekitaran, pembelengguan serta pembonsaian.

Ustaz Siddiq Fadzil kemudian memetik nama Muhammad Yunus yang di dalam ucapan penerimaan Hadiah Nobel beliau memetik mengenai pembonsaian; “Poor people are bonsai people. There is nothing wrong in their seeds. Simply, society never gave them the base to grow on,”. Kata Ustaz Siddiq Fadzil; “Mereka yang dimiskinkan oleh sistem adalah mereka yang dibonsaikan oleh sistem termasuk sistem pendidikan,”.

Hari ini setelah hampir dua tahun pandemik melanda seluruh dunia, kelihatannya krisis yang disebut oleh Ustaz Siddiq Fadzil hampir 8 tahun lalu ini semakin parah dan semakin kritikal.

Pandemik ini bahkan telah menelanjangkan seluruh sistem pendidikan kita yang gagal menjadi kalis masa depan. Kita telah terlepas peluang untuk mewujudkan sistem pembelajaran dalam talian yang seimbang dan setara untuk anak-anak kaya dan miskin, serta melebarkan lagi jurang yang selama ini telah wujud antara dua golongan ini.

Lebih menarik, orang miskin kini tidak lagi disebut miskin tetapi digelar B40 (pemanis mulut yang menyebalkan).

Anak-anak kita bersekolah tidak sampai 150 hari tahun lalu dan kurang dari 100 hari tahun ini. Lebih dari separuh daripada 5 juta anak-anak sekolah kita tidak mempunyai capaian internet atau alat peranti untuk meneruskan sesi pembelajaran dalam talian. Peratusan cicir sama ada cicir subjek mahupun keciciran sekolah dijangka naik sehingga 30 ke 40 peratus.

Maka apa yang ada hari ini nampaknya hanyalah kasih sayang dan cinta di antara guru dan anak murid. Hanya guru yang cintakan anak muridnya mampu menyelamatkan anak-anak kita dari krisis pendidikan pasca-pandemik ini nanti.

Dan benar seperti kata Ustaz Siddiq Fadzil, kita tidak lagi boleh menyayangi anak-anak yang cemerlang sahaja. Situasi pasca-pandemik akan menjadikan sekolah lebih genting; anak-anak kita telah hilang pembelajaran yang mereka perlukan selama dua tahun penuh.

Ini bermakna kita semua tidak punya alternatif lain selain mula insaf bahawa hanya kasih sayang dan cinta sahaja yang akan dapat mengembalikan esensi pendidikan.

Terima kasih banyak Ustaz Siddiq Fadzil kerana telah membekalkan kita dengan pesan-pesan arif ini lama dahulu. Semoga kita semua berupaya mendapatkan semula roh pendidikan yang telah lama kita hilangkan itu. - Getaran, 3 September 2021

Seorang pemikir serta penghasil karya prolifik, yang sudah lebih dari 16 tahun bergulat dengan isu pendidikan dan kemanusiaan. Menulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan 6 buku yang lainnya. Pernah mengajar sebagai guru sekolah kerajaan di tengah Kuala Lumpur selama 6 tahun. Mendirikan beberapa gerakan pendidikan seperti Teach For The Needs (TFTN) pada 2012, The Wakaf Buku (TWB) 2014 & Rejuvenasi Pendidikan/Untuk Malaysia (RP/UM) 2020. Juga pernah menjadi pegawai di Pejabat Menteri Pendidikan (Pegawai Dasar & Setiausaha Akhbar) ketika Pakatan Harapan memerintah Malaysia pada Mei 2018.

Sorotan

1

Ada Keperluan Pinda Seksyen 21 Akta Polis - KPN

2

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

3

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

4

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis

5

Bas Terbalik Di Lebuhraya KLK: 2 Maut, 13 Cedera

6

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

7

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur