Berita Terkini

2 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 3 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Bertugas Jauh Di Perantauan, Murninya Pengorbanan Sang Jururawat

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 11 May 2021 11:00AM

Gambar sekadar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Biarpun terpaksa bertugas nun jauh di rantau orang, Nordiana Arshad, 35, tetap cekal meneruskan tugasnya sebagai jururawat, sepertimana juga beberapa orang rakannya yang lain.

Anak kelahiran Klang, Selangor ini, menganggap tugas yang disandang sejak enam tahun lepas adalah satu kerjaya mulia, apatah lagi beliau berkhidmat di bumi yang sering menjadi kerinduan para mukmin, iaitu Madinah al-Munawwarah, di Arab Saudi.

Madinah adalah kota paling suci kedua bagi umat Islam selepas Makkah. Di kota ini terletaknya Masjid an-Nabawi dan di dalamnya terdapatnya makam Nabi Muhammad SAW.

Menurut Nordiana, beliau sendiri tidak pernah menduga bahawa suatu hari nanti berpeluang merantau serta berkhidmat di kota yang menjadi mercu kebanggaan orang Islam itu.

Walaupun jarak jauh beribu batu memisahkan beliau dengan keluarga tercinta yang menetap di Klang, jururawat yang bertugas di Unit Hemodialisis di Hospital Madinah itu bersyukur kerana setakat ini dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Nordiana yang masih bujang berkata, kehidupan sebagai anak perantau banyak memberi manfaat kepada dirinya dari sudut kematangan fikiran, menjadi insan yang lebih berdikari serta dapat membuat keputusan sendiri.

“Apa yang pasti banyak pengalaman dipelajari bila kita berhijrah ke tempat orang lain.  Satu kata dari  Imam Syafi'i ada menyebut “Merantaulah! Orang  berilmu dan beradab tidak diam beristirahat di kampung halaman. Tinggalkan negerimu dan hidup di negeri asing,” cerita Nordiana kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan video baru-baru ini.

Kongsi Nordiana lagi, beliau mula menetap di Madinah sejak tahun 2015 dan ini merupakan tahun keenam bagi jururawat itu berkelana di negara Arab Saudi. Beliau sebelum itu pernah berkhidmat sebagai jururawat di KPJ Klang Specialist Hospital selama lapan tahun sebelum membuat keputusan untuk bekerja di luar negara.

Pengorbanan Tidak Dapat Beraya Di Kampung Halaman

Apabila bertugas di perantauan, sudah pastinya pengorbanan utama bagi sang jururawat seperti Nordiana adalah perlu bertugas di pagi Syawal selain tidak dapat pulang ke kampung halaman kerana jarak yang jauh.

Mengimbau memori bertugas di hening pagi Syawal, Nordiana berkata jika tidak dapat pulang beraya di Malaysia, ada tahun-tahun yang beliau perlu bekerja pada hari berkenaan.

“Tahun ini (2021) adalah tahun keempat saya tidak berpeluang beraya bersama keluarga dan sanak saudara di Selangor. Apapun saya anggap inilah pengorbanan yang harus dibayar apabila mengambil keputusan untuk merantau, mencari pengalaman serta bekerja di negara orang,” katanya.

Berkongsi momen raya di Madinah, Nordiana berkata jika beliau dapat cuti pada hari raya Aidilfitri, sedari awal pagi kebiasaannya satu jam sebelum masuk waktu solat Subuh, beliau akan ke Masjid Nabawi untuk bersolat jemaah Subuh seterusnya menunggu solat sunat Aidilfitri.

“Selepas solat, saya akan  pulang ke penempatan (kediaman) dan beraya bersama rakan-rakan di sini. Pada masa sama saya turut menyantuni sahabat handai yang menetap di daerah lain seperti di Riyadh, Taif dan Jeddah,” katanya.

Nordiana berkata setiap kali tibanya lebaran sudah pasti yang melingkari lubuk fikirannya adalah kampung halaman dan semestinya keluarga insan paling dirindui.

“Selalunya pagi raya jika tidak bekerja saya akan masak sedikit juadah raya seperti nasi impit dan kuah kacang, serunding dan kuih raya untuk dikongsi bersama kawan-kawan. Perasaan sedih memang ada, siapa tidak sedih berjauhan dengan keluarga tetapi tanggungjawab perlu dilaksanakan.

“Alhamdulilah, penempatan kami berdekatan dengan Masjid Nabawi iaitu dalam 10 minit jika menaiki kenderaan. Jika azan berkumandang akan dengar sampai ke rumah kami. Saya anggap  ini satu nikmat yang Allah beri dan saya amat mensyukurinya,” ujarnya.

Terkejut Malaysia Beraya Sebulan

Berkongsi nada sama menyambut lebaran di perantauan, Salfarina Saaban, 43, jururawat terlatih di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) di Hospital King Fahad (Armed Forces Hospital Southern Region) Khamis Mushayt, Abha, Arab Saudi, berkata sudah tentu sekali menyambut Syawal di perantauan, perasaan sedih akan menyelubungi diri apatah lagi berjauhan dengan suami, anak-anak dan keluarga tercinta.

“Kebiasaannya saya akan membuat panggilan video dengan keluarga, emak dan keluarga mentua di pagi raya. Ini merupakan tahun kedua saya bersama rakan-rakan di Abha,” ujarnya.

Kongsi Salfarina lagi, di Arab Saudi, tiada acara atau sambutan semeriah seperti di Malaysia yang sinonim dengan rumah terbuka.

“Perbezaan Syawal di sini, mereka tidak menyambut perayaan ini selama sebulan seperti di negara kita. Hanya beberapa hari Syawal sahaja disambut. Tiada acara makan besar serta tiada juga sambutan yang gah dan meriah seperti di Malaysia. Sebab itu mereka terkejut bila kita kongsi cerita yang kita meraikan Syawal sehingga sebulan dengan dihiasi  rumah terbuka (sebelum pandemik COVID-19),” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia dari lapan hingga 17 tahun dan  berasal dari Kota Tinggi, Johor itu berkata di Abha, beliau meraikan lebaran dalam komuniti yang kecil dan turut membuat aktiviti perarakan dari rumah ke rumah serta memasak juadah hari raya hingga hari keempat Syawal.

“Aktiviti yang kami buat adalah panggilan video dengan keluarga untuk hilangkan rindu selain berkumpul dengan kawan-kawan, masak menu Malaysia seperti nasi ambeng, soto, bihun sup, nasi impit serta kuah kacang  selain menonton rancangan siaran Malaysia,” katanya dan menambah setakat ini beliau masih memperoleh cuti dari hari raya pertama hingga ketiga kerana Muslim merupakan minoriti di NICU.

Menangis Di Pagi Syawal Saat Terima Pesakit

Bukan mudah bergelar jururawat selain berkorban masa dan waktu dalam menjalankan tugas hakiki, mereka turut berkorban apabila perlu bertugas semasa tibanya hari raya.

Bayangkan ketika sedang berkhidmat dan menerima pesakit, kedengaran suara takbir bergema memasuki ruang hospital di tempat sedang bertugas.

Begitulah yang dikongsi Siti Suhaila Mat Arip, 34, yang bertugas di Hospital King Fahad (Armed Forces Hospitals Southern Region, Khamis Mushayt), Abha, Arab Saudi.

Kesedihan dan air mata tidak dapat dibendung lagi ketika mendengar suara takbir berkumandang.

“Saya pernah bertugas pada hari raya. Bila datang pesakit yang pada masa sama juga takbir raya sedang bergema, air mata saya berlinang, tidak mampu mengawal kesedihan kerana teringatkan anak dan emak. Jadi saya harap, semua jururawat yang bertugas di luar negara kena kuatkan semangat.

“Ini adalah pilihan kita. Jadi apa yang kita lalui itu semua untuk beri kita lebih bersemangat dan kuat. Sedih memang sedih jika tidak dapat beraya bersama keluarga tetapi kita masih ada kawan-kawan bersama kita,” katanya dan bagi menghilangkan rasa sedih, beliau akan menziarahi rakan-rakan dan kebiasaanya juadah disediakan adalah sama  seperti di Malaysia iaitu ketupat, rendang, nasi impit, laksa, kuih muih sekali gus dapat meleraikan rindu yang terbuku di hati.

Sementara itu bagi Nursyazwani Zainal,33, yang bertugas di Unit Hemodialisis Hospital Madinah, pada peringkat awal, memang agak sukar memulakan kehidupan di negara luar apatah lagi ketika pertama kali beraya jauh dari keluarga dan  sanak saudara.

Namun, katanya,  lama-kelamaan ia menjadi “alah bisa tegal biasa”.

“Memang sukar kerana saya sudah  terbiasa dikelilingi oleh ahli keluarga serta insan yang disayangi,” katanya.

Anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, lama-lama kelamaan, beliau mula membiasakan diri dengan suasana lebaran di bumi Madinah  dengan mempelajari adat serta budaya penduduk di sana.

“Suasana beraya di Madinah, apa yang paling istimewa dapat menunaikan solat di Masjid Nabawi di samping dapat berkenalan dengan penduduk Arab yang ramah,” katanya. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 1 minggu yang lalu

Hujan Lebat Membasahi Bumi Kota Madinah

2

Semasa 1 minggu yang lalu

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Bekalan Bahan Mentah Mencukupi Sepanjang Syawal - KPKM

4

Video & Galeri 1 bulan yang lalu

Jutaan Umat Islam Menunaikan Umrah Sempena Ramadan

Sorotan

1

Tanah Milik Keluarga Ammar Baharin Yang Dipindah Milik Diratifikasi Semula – Amirudin

2

Laporan Interim Nahas Helikopter TLDM Dikeluarkan Esok – Fahmi

3

Pokok Tumbang: Mangsa Lelaki Dibenar Keluar Hospital, Warga Sweden Masih Dirawat

4

Kecederaan Beberapa Tonggak Utama Resahkan TFC

5

Мahkamah Benar Muhyiddin Dapatkan Pasport Bagi Lawat Kakak Sakit Di Australia

6

Mutang Tagal Masih Dirawat Di IJN, Keadaan Agak Serius