web statsweb stats

Berita Terkini

9 jam yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 9 jam yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Haus, Panas, Dugaan Getir ‘Rider’ Ketika Ramadan, Keprihatinan Pelanggan Bakar Semangat

Kisah Kita Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 Apr 2023 3:24PM

(Dari kiri) Muhammad Aiman, Mohd Fadlul dan Mohd Nor Adhafiz berkongsi pengalaman menjadi Penghantar makanan di bulan Ramadan. - Gambar oleh Aiman Sadiq

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

BANGI - Penghantar makanan sering berdepan pelbagai cabaran getir dan besar sepanjang bekerja di bulan Ramadan.

Bukan hanya terpaksa menahan lapar atau dahaga, mereka juga perlu berhujan dan berpanas demi memastikan pesanan dapat dihantar kepada pelanggan mengikut waktu yang telah ditetapkan.

Getaran yang berpeluang menemui beberapa penghantar makanan bagaimanapun mendapati, jumlah tempahan pelanggan ketika Ramadan mencatatkan sedikit penurunan.

Penghantar makanan Lala Move, Mohd Fadlul Azmi Kodirun, 36 berkata, pendapatan mingguan yang diperoleh hanya RM500 berbanding bulan lain, apabila ia mampu mencecah sehingga RM800.

Berkongsi pengalaman, beliau berkata, antara cabaran perlu dihadapi ialah menyusun waktu penghantaran khususnya menjelang berbuka puasa, yang juga dianggap sebagai waktu puncak ketika Ramadan.

“Cabaran lain juga banyak. Pertama sekali, keadaan cuaca yang tidak menentu dan ia sedikit sebanyak membuatkan jumlah pesanan sedikit menurun.

“Daripada pagi memang kurang tempatan, kebanyakan tempahan diterima hanya bermula jam 4 petang sehingga waktu berbuka dan mulai surut selepas moreh,” katanya ketika ditemui Getaran di sini, hari ini.

“Kadang-kadang pelanggan kasihan dan lazimnya mereka akan bagi lebih tip untuk saya beli makanan berbuka.”

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun beliau berkata, terdapat momen yang berjaya menyentuh hatinya dan menjadi pembakar semangat untuk dia terus berkhidmat sebagai penghantar makanan.

Antara yang paling memberi kesan, dedahnya, apabila menerima tip daripada pelanggan kerana bersimpati selepas mendapat tahu beliau masih belum berbuka puasa walaupun azan Maghrib telah berkumandang.

“Ada ketikanya bila saya hantar makanan, pelanggan tanya dah berbuka puasa ke belum. Saya cakap sempat minum air saja. Bila dengar saya cakap macam itu, pelanggan kasihan dan lazimnya mereka akan bagi lebih tip untuk saya beli makanan berbuka,” katanya.

Kebaikan seumpama itu, kata Mohd Fadlul Azmi, membuatkan dia bersyukur kerana masih ada insan yang berhati mulia dan memahami kesukaran dihadapi sebagai seorang penghantar makanan.

“Ada juga pelanggan tidak memahami situasi kami terutamanya pada waktu kemuncak.”

“Saya rasa sangat bersyukur, sebab tak pernah sebenarnya mengharap untuk mendapatkan tip lebih atau apa-apa ganjaran daripada pelanggan, tapi inilah rezeki daripada Allah,” katanya.

Bagi Mohd Nor Adhafiz Adnan, 40, cabaran dihadapinya ketika bulan Ramadan ialah apabila terdapat banyak lokasi yang harus dituju untuk memastikan pesanan pelanggan berjaya dihantar sebelum waktu berbuka puasa.

“Ada juga pelanggan tidak memahami situasi kami terutamanya pada waktu kemuncak pada jam 6.30 petang dan 7.30 petang, iaitu waktu hampir berbuka puasa kerana permintaan memang akan tinggi sehingga saya terpaksa tolak pesanan makanan.

“Bagaimanapun, saya hanya bersabar dan bertenang kerana ia adalah lumrah ‘rider’ dalam mencari sesuap nasi,” katanya yang sudah enam tahun bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Dia turut berharap agar nasib golongan penghantar makanan sepertinya diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib.

“Saya mengharapkan agar rate (keuntungan) kepada penghantar makanan dinaikkan kerana ketika ini ia dilihat kurang memberi manfaat kepada kami.

“Kalau dinaikkan, kami sudah lega ... jangan hanya berikan keuntungan terhadap pelanggan sahaja. Bagi juga kepada penghantar makanan,” katanya.

Sementara itu, penghantar McDonalds, Muhammad Aiman Syahmi, 21 pula berkata, kesabaran amat diperlukan ketika bekerja di bulan Ramadan kerana beliau pernah dimaki oleh pelanggan, gara-gara makanan dipesan lambat diterima.

Jelas anak muda itu, kerap kali dia hanya sempat meneguk minuman sebelum kembali menjalankan tugas.

“Ada ketika saya hanya berpeluang menikmati juadah selepas tengah malam. Haus dan lapar memang sering dialami sebab perlu mengharungi cuaca panas.

“Saya pula memang bekerja dari pagi sampai ke malam kerana memang bertugas sepenuh masa,” katanya. - Getaran, 21 April 2023.

Berita Berkaitan

1

Rencana 3 bulan yang lalu

Ramadan: Waktu Menyemai Disiplin Jiwa, Pembebasan Hati

2

Semasa 4 bulan yang lalu

Rakyat Manfaat SARA Untuk Persiapan Tahun Baharu Cina, Ramadan

3

Refleksi 2 tahun yang lalu

Bina Iman Untuk Ramadan, Lupakan Sementara Bina Otot - Murad

4

Kisah Kita 2 tahun yang lalu

Sukar Diperoleh, Namun Suami Isteri Pastikan Bekalan Buah Kabung Tersedia Setiap Ramadan

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ