Berita Terkini

20 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Puan Sri Shariffa Sabrina Lantang Bersuara Tentang Isu Alam Sekitar

Sebagai seorang aktivis dan pencinta alam, Puan Sri Shariffa Sabrina berharap semakin ramai rakyat yang lebih berani tampil untuk bersuara tentang kemusnahan alam yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Nov 2021 8:35AM

Shariffa Sabrina. Gambar: Bernama

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kecintaan Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil terhadap alam semula jadi membuatkan beliau cukup lantang bersuara tentang isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar terutama pencemaran alam, kemusnahan hutan dan kepupusan hidupan liar.

Demi menjaga, memelihara dan memulihara alam, beliau sanggup membeli tanah seluas 35.6 hektar di Pahang dan menukarkannya menjadi pusat peranginan mesra alam, Tanah Aina.

Bahkan, beliau turut membina pusat peranginan mesra alam dengan nama sama di Johor.  

Dalam pada sibuk mengusahakan beberapa pusat peranginan mesra alamnya itu, isteri kepada usahawan, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir ini adalah Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) dan terlibat dengan kempen memberikan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat. 

Getaran: Apakah titik-tolak atau permulaan yang menyebabkan Puan Sri terlibat sebagai aktivis dan pencinta alam sekitar secara serius? 

Puan Sri Sabrina: Memang sejak dari kecil saya suka melakukan aktiviti di luar. Saya tidak suka di rumah. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang dan seperti yang kita semua sedia maklum, Pulau Pinang memang terkenal dengan alam semula jadinya iaitu bukit bukau dan pantai. 

Saya datang datang dari keluarga yang berpecah. Sejak usia empat tahun, saya tidak mempunyai ibu dan sentiasa bersendirian. Ada dua perkara yang membantu saya menjadi diri saya pada hari ini iaitu sukan dan alam semula jadi. 

Atas sebab itu juga saya menubuhkan Women’s Sport and Fitness Foundation Malaysia (WSFFM) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) serta menjadi presiden untuk kedua-dua pertubuhan ini. 

Saya banyak berjalan ke negara luar. Saya lihat negara-negara yang membangun atau sedang membangun berlumba-lumba untuk menjaga, memelihara dan memulihara alam sekitar. 

Usah lihat jauh, kita tengok Singapura dan Thailand sahaja sudah mencukupi. Mereka bukan membina bangunan tetapi membina hutan.

Saya juga pernah membaca tentang Raja Bhumibol Adulyadej, yang pernah menjadi Raja Thailand suatu ketika dulu. Baginda sangat menyayangi alam sekitar sehingga sanggup menjatuhkan hukuman bunuh kepada orang yang membalak dan membunuh binatang. 

Kenapa orang lain berlumba-lumba mahu menjaga alam sekitar tetapi negara kita pula mahu musnahkan alam?

Tidak banyak NGO yang bercakap atau memperjuangkan isu alam sekitar sedangkan Malaysia mempunyai hutan yang tertua di dunia dan lebih cantik daripada hutan  Amazon. 

Getaran: Menurut Puan Sri apakah masalah atau isu-isu alam sekitar yang paling serius di negara kita ini? 

Puan Sri Sabrina:  Sungai-sungai dan hidupan liar kita. Harimau, tapir, gajah dan beberapa spesies lain semakin pupus dan terancam. Tapi, siapalah yang peduli tentang hidupan liar ini. Mereka lupa bahawa hidupan liar ini adalah sebahagian daripada ekosistem.

Apabila ia kehilangan suatu spesies, ia akan mencetuskan masalah lain. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kerajaan kita tidak menitikberatkan tentang kepentingan alam sekitar.

Itu yang membuatkan saya merasa sedih. Sedangkan khazanah alam ini sangat bernilai dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. 

Akta atau undang-undang berkaitan perhutanan adalah di bawah kerajaan negeri. Jika hutan dianggap sebagai sumber ekonomi, kenapa negeri-negeri yang melakukan pembalakan masih miskin?

Balak sebenarnya sudah mencukupi di negara kita tapi apa yang berlaku sekarang ini ialah pembalakan yang membunuh sumber asli kita. Kita kena bersuara. 

Dulu kita menebang hutan kerana getah, kemudian kelapa sawit dan sekarang ini durian musang king. Tapi, itu bukanlah isu yang sebenar. Isunya adalah pihak tertentu yang melicinkan hutan sebab kapitalis ini hanya mementingkan duit.

Getaran: Bagaimana pula Puan Sri melihat peranan kerajaan dalam melindungi alam sekitar di negara ini? 

Puan Sri Sabrina: Sebenarnya, kita ada undang-undang atas kertas. Semuanya cukup cantik. Cuma undang-undang tentang perhutanan sahaja yang perlu diperbaharui kerana kali terakhir ia dipinda adalah pada 1984. 

Harus diingat ya, akta, perlembagaan dan undang-undang adalah buatan manusia. Ia boleh ditukar. Kalau ia tidak memberi kesenangan kepada rakyat, kerajaan pusat harus menukarnya. 

Kalau mereka boleh menukar benda-benda lain, mengapa tidak perhutanan? Dalam al-Quran pun ada menyebut, jagalah alam sekitar. Kalau kerajaan tidak menukarnya, kita mungkin akan kehilangan banyak hutan. 

Sekarang ini pun, hutan kita hanya tinggal kurang daripada 20 peratus di seluruh Malaysia. Saya pernah mencadangkan kepada kerajaan pusat untuk menggazetkan Banjaran Titiwangsa.

Cuba kita lihat Taman Negara, mengapa ia dapat dijaga dan dipelihara? Kerana ia telah digazetkan pada zaman British. Kalau British tidak gazetkan Taman Negara, mungkin ia juga akan musnah. 

Sekarang ini pun, beberapa bahagian di Banjaran Titiwangsa sudah botak disebabkan pembalakan. Sebab itulah sungai-sungai kita rosak dan hidupan liar kita mati. 

Getaran: Sebagai Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), boleh Puan Sri kongsikan tentang peranan pertubuhan ini? 

Puan Sri Sabrina: Pertubuhan ini banyak beri kesedaran serta mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga, memelihara serta memulihara alam sekitar.

Kita telah mengadakan kempen, perhimpunan, demonstrasi serta menyerahkan memorandum.

Bahkan, kita juga pernah menulis kepada bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mereka memberikan keutamaan kepada alam sekitar. Kita belum lagi menulis kepada Perdana Menteri sekarang. 

Apa yang saya lihat kerajaan memang tidak begitu menghormati NGO sedangkan mereka boleh bekerjasama dan mendapatkan pandangan daripada NGO kerana kita tahu apa permasalahan sebenar. 

Getaran: Apakah kempen terkini yang bakal dilakukan? 

Puan Sri Sabrina: Kita akan mengadakan perhimpunan secara aman di Dataran Merdeka pada 11 Disember ini bagi memberikan mesej untuk menyelamatkan alam sekitar. Saya harap ramai yang akan turun dan memberikan sokongan. 

Ia juga sebagai suatu peringatan kepada kerajaan supaya memahami bahawa isu alam sekitar ini adalah perkara yang serius. Jika kita tidak buat, tiada siapa yang akan peduli tentangnya. 

Jika kerajaan tegas dan serius tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka juga boleh bersikap tegas dan serius tentang soal kebersihan dan kemusnahan alam. Sekarang ini pun, tiada lagi kempen-kempen tentang kelestarian alam. 

Apa yang saya perhatikan, Malaysia mempunyai ramai 'pengikut'. Apa yang kerajaan suruh, kita akan buat. Suatu lagi adalah budaya takut dan membodek. Perkara-perkara inilah yang sebenarnya memusnahkan kreativiti generasi kita.

Jadi, ramai yang lebih gemar senyap daripada berkata apa-apa. 

Kita sangat mementingkan diri dan tidak pernah peduli tentang alam sekitar tapi kita tak sedar, kita telah membunuh generasi akan datang. Kita membunuh udara dan air.  

Getaran: Apakah cabaran menjadi seorang aktivis alam sekitar? 

Puan Sri Sabrina: Cabaran sangat banyak. Antaranya, pertubuhan ini tidak pernah mendapat apa-apa geran daripada kerajaan kerana mereka anggap PEKA adalah musuh kepada negara. Kami menjalankan pertubuhan ini tanpa sesen duit. 

Bukan sahaja kami tidak mendapat sokongan daripada kerajaan tetapi juga syarikat korporat dan masyarakat kerana PEKA dianggap sebagai anti istana dan anti pembangunan. 

Saya juga menerima pelbagai ugutan, orang mengacau bisnes saya, cuba mencari kesalahan dan merobohkan bangunan bisnes.

Saya tidak pernah diundang untuk menghadiri majlis-majlis kelas atasan kerana mereka takut bergambar dengan saya sebab saya pernah masuk lokap gara-gara bercakap tentang kemusnahan hutan. 

Apapun, saya bukan hanya sekadar bercakap tentang isu ini. Tapi, I walk the talk.

Datanglah ke Tanah Aina dan lihatlah sendiri bagaimana saya membina tempat ini tanpa memusnahkan alam sedangkan saya tidak punya latar belakang dalam bidang arkitek dan kejuruteraan. Saya juga tak pernah ke universiti. 

Sepatutnya mereka menjadikan tempat ini sebagai kes kajian dan berbangga kerana ada wanita Melayu yang boleh membuat perkara sebegini. Mereka lebih suka mencari salah saya. 

Getaran: Sebagai seorang aktivis dan pencinta alam, apakah harapan Puan Sri terhadap aspek dan kualiti alam sekitar di negara ini? 

Puan Sri Sabrina: Saya harap lebih ramai yang akan bersuara tentang kemusnahan alam yang dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Macam isu Tasik Chini, saya lihat di Facebook ramai yang bantah. Begitu juga dengan isu pembalakan tidak terkawal dan kemusnahan hutan. 

Menjaga alam dan menghormati alam sekitar juga adalah salah fardu kifayah. Kalau hanya mahu harapkan pemimpin sahaja, mereka tidak akan buat apa-apa.

Saya sendiri pun sudah putus asa dengan pemimpin-pemimpin kita.

Usah takut untuk bersuara kerana kita ada undang-undang. Kalah atau menang bukan isunya. Sebab kalau cara diplomasi sudah tidak boleh digunakan lagi, kita terpaksa gunakan cara ini.

Saya juga harap ramai yang akan datang ke perhimpunan aman yang bakal dianjurkan PEKA nanti.

Ia tidak ada kaitan sama sekali dengan isu politik. Sebaliknya ia sekadar perhimpunan untuk kita menghormati dan menyayangi alam. - Getaran, 16 November 2021

Berita Berkaitan

1

Politik 4 bulan yang lalu

Tolak Propagandis, Pastikan Masa Depan Negara Tidak Musnah - Aktivis

2

Politik 8 bulan yang lalu

Kedah ‘Jahanam’ Di Tangan Sanusi, Rakyat Tak Dapat Apa Pun - Aktivis

3

Semasa 8 bulan yang lalu

Jangan Ambil Rasuah, Sentiasa Jaga Integriti - Tengku Hassanal

4

Semasa 10 bulan yang lalu

El Nino Burukkan Jerebu Di Malaysia 

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut