Tak tahu lagu apa hendak diputarkan dalam senarai main anda? Kami kenalkan tiga karya terbaharu kugiran indie tempatan yang sarat dengan mesej tersendiri.
‘Smokescreen’ oleh Trophy Knives

Tidak segan melontarkan pendapat tentang isu-isu perkauman dan penindasan dalam penulisan muzik, kumpulan Trophy Knives kini melancarkan sebuah single berjudul ‘Smokescreen’. Lagu ini merupakan single keenam dari album kedua mereka, Look the Other Way yang bakal dilancarkan pada bulan September ini.
“‘Smokescreen’ menceritakan bagaimana isu penindasan dilihat sebagai suatu yang sangat normal dalam kehidupan kita malah ramai memandang remeh terhadapnya. Ramai pihak berkuasa dilihat suka ‘gaslight’ dan melakukan pemerdayaan mental kepada masyarakat sehingga membuat kita fikir layanan tersebut berpunca daripada perlakuan sendiri.
“Sebagai anak muda, kami ingin menegaskan bahawa keberanian dalam menyuarakan pendapat terhadap isu diskriminasi mampu mengubah cara pemikiran publik sekali gus membentuk masyarakat yang empatik dan tidak takut menegakkan kebenaran.
“Lagu ini bukanlah sebuah lagu gembira tetapi lagu untuk memupuk keyakinan dan keberanian,” kata Vinesh Muniandy, vokalis utama Trophy Knives.
Dikenali dengan genre punk, kumpulan ini dibarisi oleh tiga orang anggota iaitu Vinesh Muniandy (vokal), Sani Khalid (gitar utama) dan Ryan Lee Bhaskaran (dram).
Menariknya, ‘Smokescreen’ merupakan kolaborasi antara kumpulan ini dan vokalis utama Plague of Happiness, Nas.
“Bagi memeriahkan lagi lagu ini, kami telah bersepakat untuk menghasilkan sebuah karya bersama salah satu idola kami. Plague Of Happiness adalah kugiran tempatan kegemaran kami dan melalui kolaborasi ini, kami berasa bahawa impian peribadi sudah tercapai,” tambah Vinesh.
‘Prana’ oleh Angqasa

Genap sebulan selepas melancarkan split EP berjudul Janat//Narak bersama Sanggarliris, Angqasa kini mempertaruhkan buah tangan terbaharunya berjudul ‘Prana’.
Menurut Angqasa, single yang berdurasi 4 minit 55 saat ini ditulis berdasarkan berita bencana alam yang semakin menjadi-jadi.
“Sejak kebelakangan ini, isu perubahan iklim semakin membimbangkan dengan berlakunya beberapa bencana alam seperti banjir dan penularan virus COVID-19 yang melanda kita secara global.
“Saya menyedari bahawa semua ini terjadi kerana perlakuan manusia sendiri. Kita terlalu taksub dengan keinginan untuk ‘memajukan’ dan ‘membangunkan’ bumi ini tanpa memikirkan implikasi buruk terhadapnya.
“Jadi, ‘Prana’ seakan-akan menceritakan keadaan alam semesta yang sedang menuntut semula haknya daripada penceroboh dan perosak iaitu manusia.
“Single ini meneroka pelbagai bunyi alam semula jadi seperti bunyi alunan ombak laut. Latar belakang muzik juga menampilkan petikan gitar yang diinspirasikan oleh bunyi gamelan Pelog Jawa,” kata Alvin Seah dari Angqasa.
Menurut Alvin lagu ini menandakan kemunculan semulanya dalam kancah muzik setelah lebih sedekad meninggalkan lapangan muzik.
“Saya meninggalkan band saya lebih 15 tahun lalu untuk lebih fokus pada kerjaya saya sebagai artis visual. Namun, pandemik COVID-19 telah mengajar saya untuk membina keberanian untuk meneroka semula minat saya sekali gus mengeluarkan lagu ini,” jelasnya.
‘Kill This Thought’ oleh Kabus

Kugiran Kabus yang terkenal dengan single ‘Bukan Ini Yang Ku Mahu’ kini kembali dalam lapangan muzik setelah setahun merehatkan diri. Khas buat peminat, Kabus akhirnya melancarkan video muzik single mereka, ‘Kill This Thought’ yang sangat dinanti-nantikan.
Dengan single ini, mereka cuba menambah baik mutu susunan muzik dengan mengadunkan lebih banyak elemen bunyi. Untuk pengetahuan semua, lagu ini juga merupakan lagu bahasa Inggeris pertama yang ditulis dan dikeluarkan oleh mereka.
“Video muzik lagu ini berhasrat untuk menyebarkan kesedaran dan kefahaman tentang kesihatan mental kepada orang ramai. Selain itu, video ini mengingatkan mereka yang sedang menghidapi masalah ini bahawa mereka tidak bersendirian. Ia seolah-olah menawarkan sebuah eskapisme buat mereka untuk menenangkan diri.
“Meskipun sibuk dengan pekerjaan harian, kami bertekad untuk menyiapkan video lagu ini dengan pantas kerana berasa bertanggungjawab untuk mempertengahkan isu ini kepada masyarakat lebih-lebih lagi sekarang.
“Oleh itu, kami berharap dengan buah tangan ini, kami dapat berkongsi perasaan dan berbagi cerita dengan para pendengar,” kata Kabus.
Video muzik ini merupakan hasil arahan vokalis utama kumpulan ini sendiri, Fadhil Rushdan. Penggambaran video muzik ini pula dirakam dan disunting oleh Andrew Tan.
Semua lagu yang disenaraikan ini boleh didengar di pelantar penstriman Spotify dan video muzik juga boleh ditonton di profil rasmi YouTube setiap kugiran. - Getaran, 1 April 2022