Memandangkan pusat beli-belah belum lagi beroperasi, tidak mustahil banyak informasi tentang kosmetik dan gaya hidup tidak sampai kepada kita. Jika rajin melayari internet, mungkin ada iklan digital yang melintasi di akaun sosial media anda. Itupun bergantung kepada jejak digital anda selama ini.
Tahniah kepada yang mendaftar untuk newsletter jenama barangan digemari. Dengan cara ini, sudah pasti anda tidak ketinggalan mengikuti perkembangan produk-produk terbaru mahupun tawaran yang tersedia dari semasa ke semasa.
Bagi mereka yang bergelut dengan rutin harian yang padat, berikut GETARAN senaraikan beberapa informasi terkini tentang gaya hidup yang mungkin menarik perhatian anda.
Koleksi terbaru Khoon Hooi

Pereka fesyen kebanggaan negara, Khoon Hooi melancarkan koleksi terbarunya, 'Birds in the City'. Koleksi ini mengimbas kembali kepelbagaian personaliti yang bersemangat, sama ada di layar skrin atau sebaliknya (fikir Elle Woods dan Taylor Swift).
Koleksi mini ini menampilkan aura yang cukup bergaya dan menyenangkan. Bahkan, turut disulami sentuhan magis yang memberikan beberapa eskapisme yang sangat diperlukan.
Palet warna terdiri daripada rona terang yang menjanjikan kemasan sempurna. Tunik 'Leighton' dalam renda cetakan bintang 2D tampil bersahaja dan santai. Jadi, siapa kata susah untuk bergaya?

Tunik 'Taylor' sesuai untuk mereka yang sukakan kemewahan dan eksklusif. Diperbuat daripada fabrik broket, potongan lengan puff dan hem peplum, menjadikan ia sesuai dipadankan dengan skirt midi 'Brooklyn' yang cantik beralun. Koleksi terbaru Khoon Hooin ini boleh dibeli secara dalam talian di sini.
Super Brand Day 2021 Laura Mercier

Berita baik buat penggemar barangan kosmetik jenama antarabangsa, Laura Mercier. Bermula 26 Julai sehingga 1 Ogos ini, anda berpeluang menikmati diskaun hebat untuk pelbagai produk menerusi kempen Super Brand Day 2021 yang dilancarkan buat pertama kalinya di laman web rasmi Laura Mercier.
Jadilah di antara yang pertama mendapatkan koleksi terbaru RoseGlow Collection yang terdiri daripada RoseGlow Caviar Stick Eye Shadow dan RoseGLow Highlighting Powder (edisi terhad). Diformulasikan sesuai untuk kulit wanita Asia, koleksi ini hadir bersama campuran elemen mutiara bagi menyerlahkan kesegaran kulit wajah.

RoseGlow Stick Eye Shadow hadir dalam enam warna menawan - Kiss From A Rose, Rose Thorn, Wild Rose, Strike A Rose, Bed Of Roses, dan Forbidden Rose. Pembayang mata versatil ini tahan sehingga 12 jam. Sementara RoseGLow Highlighting Powder (edisi terhad) tampil neutral, di mana ia boleh beradaptasi dengan dengan semua warna kulit. Pemakaiannya mampu menyerlahkan kontur wajah sehingga terlihat sempurna.

Buat pembelian secara dalam talian sekarang untuk mendapatkan pelbagai tawaran menarik. Lihat di sini untuk maklumat lanjut.
Uniqlo x Demon Slayer

Jenama pakaian antarabangsa, Uniqlo baru-baru ini mengumumkan kolaborasi UT Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba untuk kali kedua selepas koleksi pertamanya tahun lalu meraih populariti luar biasa. Berita ini dikongsi Uniqlo menerusi hantaran Instagram mereka bertarikh 6 Julai lalu. Bagaimanapun, tarikh sebenar pelancarannya masih belum didedahkan.
Koleksi terbaru ini adalah bersempena tayangan musim kedua siri anime 'Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba' yang dijadualkan pada hujung tahun ini di Jepun. Koleksi UNIQLO UT yang terbaharu ini termasuklah kemeja-T edisi terhad, seluar pendek dan beg kanvas dengan reka bentuk asal yang diilhamkan oleh pesona watak-watak popular siri anime ini.

Sementara itu, peminat watak animasi Minions boleh cepat-cepat rebut tawaran 'Minions: The Rise Of Gru' X UT yang kini tersedia di aplikasi jenama popular ini. Harga bermula dari RM39.90.
Foreo Luna 3 untuk lelaki maskulin

Produk yang mula dipasarkan awal Jun lalu ini berbaloi untuk dimiliki terutamanya jika anda lelaki yang sering mendambakan pengalaman mewah di kedai gunting rambut. Kini dengan situasi pandemik yang memaksa banyak perniagaan ditutup, Foreo Luna 3 boleh menjadi sahabat baik rutin penjagaan wajah di rumah.
Gajet kecantikan yang direka khas untuk lelaki ini tidak hanya membersihkan wajah dengan lebih baik selepas bercukur, tetapi lelaki juga akan turut dimanjakan dengan urutan wajah - semuanya dalam satu minit.
Set ini dilengkapi dengan kepala sikat yang lebih besar untuk mengatasi kawasan yang lebih sukar dijangkau, serta intensiti denyutan yang berbeza untuk memberikan urutan wajah yang anjal ketika membersihkan muka. Untuk pengalaman penggunaan yang menggembirakan, Luna 3 Men boleh digunakan sehingga 650 kali untuk setiap caj. Selain itu, ia juga mempunyai butang kuasa universal yang membuat segalanya menjadi mudah.
Boleh didapati di laman web Sephora pada harga RM920.00 setiap set. - Getaran, 27 Julai 2021.