web statsweb stats

Berita Terkini

3 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Bak Labuci, Kemilau Peragawati Nigeria Mendunia

Menongkah arus, ‘Future Face Africa’ menampilkan peragawati-peragawati dari Nigeria ke seluruh benua Afrika dan dunia fesyen antarabangsa.

Gaya Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Jun 2021 3:17PM

Gambar: Instagram @bethmodelafrica

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Labuci bergemerlapan seperti seribu bintang kecil di ibu kota Lagos, di mana pencarian peragawati antarabangsa sedang berlangsung mencari wajah-wajah masa hadapan.

Elizabeth Elohor pasti ia akan menampilkan Afrika. 

Mantan adiperagawati ini mencipta agensi peragaan pertama di Nigeria pada tahun 2004, ketika tiada ‘minggu fesyen’ di benua ini dan sangat sedikit pereka fesyen tempatan dan fesyen mewah.

Kini dengan pencarian Future Face Africa, Elohor berharap dapat memperluaskan pencarian bakat masa hadapan dari Nigeria ke seluruh benua. 

Tangkapan layar laman web Future Face Africa
Tangkapan layar laman web Future Face Africa

Sebelum 2000-an, dengan pengecualian figura ikonik seperti Naomi Campbell, Donyale Luna dan Beverly Johnson, hanya ada beberapa wajah kulit hitam yang menghiasi sampul majalah wanita.

Pada waktu itu di Nigeria - negara terpadat di Afrika dengan lebih dari 200 juta penduduk – hanya sedikit yang berani menceburkan diri dalam bidang peragaan. 

Mereka terdiri daripada golongan bebas, rentan dan harus mengedarkan portfolio mereka sendiri kepada syarikat-syarikat khusus dalam bidang acara dan pengiklanan. 

Semasa Elohor kembali dari London pada tahun 2004 untuk memulakan Beth Model Agency, dia membuka lembaran baharu, kata Marius Isikalu, mantan peragawati terkemuka berusia hampir 30 tahun, yang kini bekerja bersamanya.

“Elizabeth adalah perintis. Dia menandatangani semua peragawati yang dikenali saat itu dan berkata ‘Jika kamu ingin menggunakan (khidmat) mereka, ini jumlah yang kamu harus bayar dan itulah syaratnya’,” ujar Isikalu, berdiri di karpet merah majlis. 

“Dia menetapkan aturan, harga, dia mengatur langkah.”

Titik mula untuk dunia peragaan Afrika hadir pada tahun 2012 semasa Afrika Selatan dan Nigeria menganjurkan minggu fesyen yang diakui di kancah antarabangsa sebagai ‘terpilih’ dalam dunia fesyen. 

Baru-baru ini, gerakan Black Lives Matter dan pendukung berprofil tinggi untuk kecantikan wanita kulit hitam turut membantu mengubah trend (fesyen) di seluruh dunia. 

Namun alasannya juga adalah ekonomi. 

“Pereka fesyen antarabangsa seperti Louis Vuitton, Dolge & Gabbana, Balmain, sudah mula menyedari ramai pelanggan mereka sebenarnya dari Afrika,”  kata Elohor sambil duduk di kerusi kuning sawi rekaan pereka Nigeria. 

“Dahulu, dari 50 agensi, mungkin mempunyai lima peragawati dan sekarang, satu agensi boleh memiliki hingga 10, 15 peragawati Afrika.”

 

Afrika Ialah Masa Hadapan

Tobi Momoh adalah salah satu peragawati generasi baharu.

Tersenyum dan penuh semangat, gadis berusia 19 tahun itu berbolak-balik dari meja ke meja dengan gaun hitamnya, menyapa bintang-bintang Nigeria dari layar perak filem Nollywood, pemuzik-pemuzik Afropop papan atas dan bintang-bintang realiti TV. 

“Saya membesar memikirkan saya akan menjadi seperti gadis-gadis lain di luar sana yang bergelut untuk mencari pekerjaan selepas tamat persekolahan.”

“Namun Elizabeth melihat saya di jalan, dia meminta izin kepada ibu saya untuk menandatangani saya di agensinya dan sekarang, lihatlah saya! Ia begitu mudah,” katanya.

Tobi hanya berusia 15 tahun semasa dia memenangi Pertandingan Elite Model Look Africa, yang membawanya ke pentas peragaan di Milan, Paris dan beberapa agensi antarabangsa.

“Kami miliki kecantikan untuk menggegar runways,” katanya.

Elizabeth juga tahu akan itu.

Bahkan jika dia tidak lagi mempunyai masa untuk berjalan-jalan atau ke pasar Lagos, semangatnya untuk mencari mutiara kecantikan Afrika yang langka, tetap ada padanya.

Melalui Future Face Africa (pencarian besar-besaran melalui jaringan media sosial dan kemudian uji bakat bersua muka), dia mahu memperluaskan pencariannya ke seluruh benua dan menggoncang fesyen di Afrika. 

Sektor yang semakin berkembang ini turut memungkinkan munculnya ramai pelakon, pereka, penata rias dan solek serta jurugambar. 

Kola Oshalusi, seorang jurugambar fesyen asal Nigeria yang terkenal, juga telah menyaksikan ledakan permintaan dan pemilihan peragaan secara profesional di Afrika, sejak satu dekad yang lalu.

Walaupun masalah keselamatan di Nigeria yang semakin meningkat, inflasi yang tinggi dan kesengsaraan ekonomi, tidak dapat merampas kemilau dan harapan. 

“Afrika ialah masa hadapan,” kata Oshalusi, mengenakan jaket kapas dengan topi warna tanah yang elegan. 

“Nigeria adalah Afrika. Peragawati-peragawati Nigeria bersifat yakin, mereka membawa tenaga di pentas peragaan. Mereka tahu apa yang mereka mahu dan ia membantu untuk membina reputasi luar biasa di persada antarabangsa.” – AFP, 22 Jun 2021






 

Sorotan

1

Klinik Kesihatan Bergerak KKM Bawa Perkhidmatan Percuma Terus Kepada Rakyat

2

Video Belasah Pembantu Rumah Tular, 2 Pasangan Suami Isteri Ditahan

3

Asid Tumpah Dari Lori: Tiada Pencemaran Asid Di Sungai Cherating - JAS

4

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori

5

PRN Johor Dijangka Sengit, 10 Kerusi Panas Jadi Tumpuan

6

Malaysia Destinasi Akhir Pendatang Tanpa Izin Kerana Jaringan Keluarga

Disyorkan untuk anda

Gaya 1 hari yang lalu

Skin Turnover Protocol, Pendekatan Baharu Untuk Kulit Sihat Dan Menawan

oleh Rahayu MN