Ada sesuatu tentang IKEA yang sukar dijelaskan, tetapi hampir semua orang pernah merasainya. Mungkin ia bermula dengan langkah pertama masuk ke dalam gedungnya, laluan berliku yang membawa kita dari satu ruang ke satu ruang lain, sambil mata sibuk menangkap idea dan inspirasi.
Atau mungkin ketika kita berhenti seketika di sebuah bilik pameran, membayangkan bagaimana rupanya jika itu ruang di rumah sendiri. Tanpa sedar, kita keluar dengan sebuah kotak di tangan, dan ia satu langkah kecil ke arah membina ruang yang lebih bermakna.
Selama 30 tahun di Malaysia, IKEA bukan sekadar tempat membeli perabot, tetapi ia menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai rakyat Malaysia. Ada yang mula mengenalinya ketika bujang, membeli perabot pertama untuk rumah kecil di bandar.
Ada pula yang kembali berkali-kali, mengisi rumah baharu selepas berkahwin, atau menyesuaikan ruang apabila keluarga semakin bertambah.
Dan siapa yang tidak pernah melalui ‘ritual’ memasang perabot IKEA? Membuka kotak, menyusun skru, membelek manual yang kelihatan mudah, namun kadang-kadang mencabar kesabaran. Tetapi di situlah pengalaman itu terasa peribadi. Ia bukan sekadar membeli, tetapi membina sesuatu dengan tangan sendiri.

Perabot-perabotnya pula, walaupun ringkas, perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada kehidupan. Rak buku yang dulunya kosong kini dipenuhi gambar dan kenangan. Sofa yang dibeli bertahun lalu masih menjadi tempat berehat selepas hari yang panjang. Tanpa banyak disedari, semua ini hadir sebagai ‘penyokong senyap’ kepada rutin harian kita. Ia praktikal, sederhana, dan berbaloi dibeli.
Seiring masa, rumah dan gaya hidup rakyat Malaysia turut berubah, daripada kediaman kompak kepada ruang yang lebih besar, daripada kehidupan bujang kepada berkeluarga.
Dalam perubahan itu, IKEA juga berkembang, menyesuaikan penawaran dan reka bentuknya agar terus relevan dengan keperluan yang sentiasa berubah.
Pengalaman ke IKEA juga tidak lengkap tanpa satu perkara yang kini hampir sinonim dengannya, makanan. Bebola daging Sweden, hidangan panas, dan pencuci mulut yang menjadi ‘ganjaran’ selepas berjalan jauh dalam gedung. Ada yang datang semata-mata untuk makan, sebelum akhirnya terjebak mengelilingi ruang pameran sekali lagi.
Menurut Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys, perjalanan tiga dekad ini sebenarnya dibentuk oleh rakyat Malaysia sendiri.
“Sejak hari pertama, visi kami adalah untuk mencipta kehidupan harian yang lebih baik untuk seramai mungkin orang, dan rakyat Malaysia telah menghidupkan visi ini dengan cara yang tidak pernah kami bayangkan,” katanya, sambil menyifatkan ulang tahun ini sebagai penghargaan kepada pelanggan, warga kerja dan komuniti yang setia bersama jenama itu.
Bagi meraikan pencapaian ini, IKEA Malaysia mengatur pelbagai aktiviti dari April hingga Ogos, termasuk tawaran harian, sesi muzik santai, kolaborasi khas dan sambutan bermusim yang meraikan komuniti.
Seperti biasa, sentuhan kreatif turut diselitkan melalui koleksi edisi terhad yang pasti menarik perhatian pengunjung
Selepas 30 tahun, mungkin jelas bahawa IKEA tidak sekadar menjual perabot. Ia membantu membentuk ruang dan dalam masa yang sama, menjadi sebahagian daripada cerita kehidupan di dalamnya. Kerana di sebalik setiap meja, rak dan sofa, ada kisah yang sedang berlaku. Ia tentang rumah, dan mereka yang menjadikannya hidup. - Getaran, 26 April 2026