KUALA LUMPUR - Kelemahan dalam penyelarasan antara pengendalian fizikal kargo petroleum dan dokumentasi rasmi dikenal pasti sebagai ancaman serius kepada integriti rantaian bekalan petroleum negara, sekali gus berpotensi menyebabkan kebocoran hasil dalam jumlah besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, jurang itu berlaku selepas proses pelepasan kargo minyak di pelabuhan, apabila kandungan sebenar dalam tangki simpanan darat tidak lagi sepadan dengan rekod dokumentasi rasmi.
Menurut beliau, walaupun pergerakan kargo kelihatan teratur di atas kertas, situasi sebenar berubah apabila minyak yang dipindahkan ke tangki darat disimpan, dicampur atau digabungkan dengan kargo lain.
“Jurang itu bukan berlaku di laut, tetapi secara senyap selepas proses pelepasan kargo.
“Sebaik sahaja kargo memasuki tangki simpanan darat, ia boleh disimpan, dicampur atau digabungkan. Pada ketika itu, ia bukan lagi satu kargo yang mempunyai identiti asal yang jelas, namun sistem masih merekodkannya seolah-olah tiada perubahan berlaku,” katanya dalam program bual bicara di Bernama TV baru-baru ini.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan dokumen seperti Sijil Asal (Certificate of Origin) dan Sijil Kualiti (Certificate of Quality) tidak lagi menggambarkan keadaan sebenar kargo selepas proses pencampuran dilakukan.
Katanya, walaupun dokumen berkenaan tepat ketika proses pemuatan awal, ia akhirnya hanya menjadi ‘rekod sejarah’ terhadap keadaan asal kargo dan bukan representasi sebenar kandungan semasa.
Jeyenderan turut membangkitkan kebimbangan terhadap pengurusan deklarasi K8, iaitu borang kastam bagi pergerakan barang antara gudang berlesen.
Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri maritim, beliau memberitahu, kegagalan mengemas kini deklarasi selepas perubahan dibuat terhadap kargo boleh membuka ruang kepada risiko besar dalam sistem.
“Apabila apa yang diisytiharkan tidak lagi mencerminkan kandungan sebenar, risiko mula wujud dalam sistem, bukan semestinya kerana unsur penipuan, tetapi kerana kelemahan sistem itu sendiri,” katanya.
Menamakan Pelabuhan Tanjung Langsat sebagai antara lokasi kritikal, intensiti aktiviti petroleum di kawasan itu katanya, mampu memperbesarkan kesan sebarang kelemahan sistemik.
Jeyenderan menarik perhatian, implikasi kewangan akibat ketidakselarasan kecil dalam dokumentasi boleh menjadi sangat besar memandangkan industri petroleum mengendalikan jumlah dagangan bernilai tinggi setiap hari.
Tegasnya, isu tersebut bukan sekadar melibatkan salah laku operasi, sebaliknya mencerminkan kelemahan struktur yang berpunca daripada ketidakseimbangan antara perkembangan operasi industri dan penguatkuasaan peraturan semasa.
“Operasi kini bergerak lebih pantas dan saling berkait, namun peraturan tidak sentiasa berkembang seiring. Jurang itulah yang mewujudkan ketidakpastian,” katanya.
Beliau turut menggesa reformasi dasar dilaksanakan segera termasuk memperkenalkan garis panduan lebih jelas berkaitan dokumentasi selepas pelepasan kargo.
Katanya, tanggungjawab perlu ditetapkan secara jelas antara pihak pengawal selia, pengendali terminal dan pengimport bagi memastikan setiap deklarasi benar-benar mencerminkan keadaan semasa kargo.
Jelas beliau, penggunaan sistem penjejakan digital menyeluruh mampu meningkatkan tahap ketelusan, namun teknologi semata-mata tidak mencukupi tanpa disiplin industri dan pematuhan menyeluruh.
“Ia soal kepercayaan. Segala-galanya bergantung kepada satu perkara iaitu memastikan apa yang tertera dalam dokumen mencerminkan realiti sebenar.
“Jika perkara itu gagal dipertahankan, kita bukan sahaja kehilangan hasil negara, malah keyakinan terhadap keseluruhan sistem,” katanya. - Getaran, 7 Mei 2026