Berita Terkini

3 jam yang lalu: Sydney ketatkan peraturan lockdown susulan peningkatan kes COVID 3 jam yang lalu: Presiden Filipina gesa penduduk belum vaksin supaya jangan keluar rumah, elak penularan varian Delta 3 jam yang lalu: Pemenang hadiah Nobel untuk fizik pada 2008, Toshihide Masukawa meninggal dunia 3 jam yang lalu: Runtuhan perancah besi - Prasarana ambil tindakan sewajarnya untuk segera menjalankan siasatan sendiri 3 jam yang lalu: Anggota skuad Piala Thomas 1970, Abdul Rahman Mohamad, meninggal dunia semalam

IKUTI KAMI


Tetapkan Harga Asas Untuk Kekalkan Industri Kurier Tempatan

Ekonomi Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 01 Jun 2021 11:12AM

Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan kurier menjadi penghubung penting bagi rakyat Malaysia terutamanya ketika berdepan pelbagai pelaksanaan kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan sejak tercetusnya pandemik COVID-19 pada Mac 2020.

Ketika sambutan perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, kepentingannya ibarat ‘talian hayat’ yang menyampaikan kiriman yang dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak dapat bersama keluarga dan sahabat handai disebabkan larangan perjalanan rentas negeri.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan juga membawa ketidakpastian terutamanya terhadap perniagaan dengan penutupan pelbagai premis jualan dan pusat beli-belah atas sebab keselamatan dan kesihatan, yang turut membawa peralihan besar kepada pembelian secara atas talian. 

Membeli-belah secara atas talian kini menjadi satu norma baharu dan bilangan perniagaan kecil dan tradisional yang telah atau sedang mengembangkan perniagaan digital semakin meningkat, sama ada melalui usaha sendiri atau dengan sokongan kerajaan serta bantuan syarikat berkeupayaan teknologi.

Platform e-dagang di seluruh dunia juga mencatat peningkatan urusniaga sejak tahun lalu. Perkembangan ini memberi kelebihan kepada pelanggan dan peniaga kerana jualan dan pembelian dapat dilakukan tanpa perlu berada secara fizikal di premis perniagaan.

Di Malaysia, trend pembelian dalam talian semakin meningkat dan menurut Jabatan Perangkaan Malaysia ia menunjukkan peningkatan antara 18 peratus hingga 28 peratus pada bulan Januari hingga Mac 2021, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketika penjual dan pelanggan berasa gembira dengan kebebasan untuk berurusniaga, mereka tidak menyedari bahawa kebajikan kakitangan kurier dan pos sedang menghadapi detik sukar.

Kecenderungan pihak yang melakukan beli-belah dalam talian menawarkan bayaran penghantaran yang murah, sebenarnya mencetuskan masalah dalam perkhidmatan kurier dan pos akibat persaingan yang sangat tinggi untuk mendapatkan pelanggan.

Lambakan Perkhidmatan

Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC), Teong Teck Lean berkata, ‘lambakan perkhidmatan’ terus memalapkan pasaran penghantaran bungkusan di Malaysia yang ketika ini sarat dengan kehadiran banyak syarikat yang menceburi perniagaan itu dan menjejaskan syarikat yang tidak mampu menawarkan kadar rendah atau sifar.

‘Lambakan perkhidmatan’ adalah istilah menggambarkan keadaan melibatkan pihak dalam satu-satu sektor mengganggu pasaran dengan menawarkan harga yang terlalu rendah.

Menurut beliau, sesetengah syarikat penghantaran batuan terakhir menawarkan penghantaran percuma, terutamanya dalam pasaran e-dagang.

“Lambakan perkhidmatan ini menjejaskan banyak syarikat dalam industri ini yang tidak mampu menawarkan potongan harga yang sama dan mengalami kerugian. Ada yang terpaksa mengambil tindakan mengurangkan gaji pekerja atau komisyen disebabkan kerugian.

“Ada syarikat dalam industri ini yang mahu menguasai pasaran melalui kaedah lambakan perkhidmatan, yang saya fikir tidak harus dibenarkan di Malaysia. Hakikatnya di kebanyakan negara, yang melakukan perkara ini disiasat dan dihukum,” beliau memberitahu Bernama baru-baru ini sambil menambah, terdapat keperluan mendesak untuk menyediakan satu rangka kerja bagi menentukan harga asas untuk penghantaran bungkusan bagi memastikan kemapanan industri.

Teck Lean, yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GD Express Carrier Bhd (GDex) berkata, syarikat perkhidmatan kurier terpaksa bersaing dengan harga yang tidak realistik kerana ketiadaan harga lantai dan ini secara langsung menjejaskan mata pencarian pekerja penghantaran sekitar 109 syarikat perkhidmatan kurier di Malaysia.

“Tanpa sumber yang mencukupi, syarikat dalam industri ini tidak akan boleh melabur dalam teknologi baharu dan mengekalkan operasi perniagaan mereka. Ini kemudiannya akan membuatkan syarikat berkenaan mengorbankan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Menurut beliau, meskipun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membekukan pengeluaran lesen baharu untuk perkhidmatan kurier untuk dua tahun pada tahun lalu, pihak berkenaan perlu juga mengawal harga asas kerana akan muncul lebih banyak pendatang baharu dalam industri berkenaan.

Sebarang perkiraan mengenai harga asas perlu mengambil kira perlindungan untuk pelanggan serta pekerja, dan itu perlu menjadi perkara utama industri.

“Pihak berkuasa sepatutnya melakukan perkara ini lebih awal lagi memandangkan e-dagang semakin berkembang pesat. Menetapkan harga asas untuk bayaran kurier adalah penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang sihat, di samping memastikan kebajikan pekerja industri ini dlindungi,” tambahnya.

SKMM mengumumkan moratorium pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier selama dua tahun, bermula 14 September lalu hingga 15 September 2022, bagi memberi masa untuk kerajaan, industri pos dan kurier merumuskan pelan baharu menerusi Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) bagi mengukuhkan industri.

Tawaran Subsidi Untuk Kekal Industri

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nationwide Express, Wan Mohamed Den Wan Mohamed Zin, mencadangkan daripada meletakkan harga asas untuk perkhidmatan kurier, kerajaan perlu memperkenalkan sistem subsidi bagi membantu syarikat dalam perkhidmatan kurier mengekalkan bayaran perkhidmatan penghantaran.

“Dengan menyediakan subsidi untuk industri kurier, selain menetapkan harga asas untuk setiap penghantaran bungkusan, keuntungan daripada harga yang ditetapkan dapat digunakan untuk meningkatkan infrstruktur serta memperbaiki perkhidmatan kepada pelanggan.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS), kerajaan menyediakan bantuan subsidi kepada industri kecil bagi memulihkan ekonomi semasa pandemik COVID-19. Mengapa kerajaan kita tidak boleh melakukan perkara yang sama?,” katanya, sambil menambah, sekiranya harga asas ditetapkan, pelanggan mampu menerimanya.

“Bagi saya harga asas itu bukanlah yang akan menekan pelanggan tetapi kadarnya boleh diterima syarikat kurier dan pelanggan.

“Jika anda mahukan perkhidmatan yang baik, jadi kenalah bayar. Memang, pasaran ini bebas untuk pengguna tetapi amalan tidak sihat (seperti lambakan perkhidmatan) menekan kedudukan kewangan syarikat perkhidmatan tempatan, terutamanya yang membuat pelaburan besar sebagai strategi jangka panjang,” katanya.

Menurut beliau, sudah sampai masanya untuk kerajaan, industri serta pihak yang berkepentingan meminda harga asas sektor penghantaran bagi melindungi kepentingan rakan kongsi pos/kurier. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Refleksi 4 jam yang lalu

Periksa Kesihatan Kredit Demi Kelangsungan Hidup Pada Musim Pandemik

2

Semasa 15 jam yang lalu

56 ADUN, JKPD Terima Bantuan Tambahan RM50,000

3

Kolum 1 hari yang lalu

Jangan Terlalu Ghairah Untuk SOP Dilonggar

4

Rencana 1 hari yang lalu

Vaksin Sedia Ada Berkesan Lawan Varian Baharu COVID-19 - Pakar

Sorotan

1

‘Score For Tigers’ Bantu Usaha Selamatkan Harimau Malaya

2

Dos Ke-3 Berkesan Beri Perlindungan Terhadap Varian Delta - Pfizer

3

Vaksin Sedia Ada Berkesan Lawan Varian Baharu COVID-19 - Pakar

4

Buat Persediaan Yang Tepat Jika Mahu Bercuti

Disyorkan untuk anda

Usahawan 3 bulan yang lalu

Lincah Di Gelanggang Hebat Di Dapur, Peninju Muay Thai Mahir Memasak

oleh Hafizee Arop

Usahawan 2 hari yang lalu

Enggan Bisnes 'Berkubur', Peniaga Piza Durian Ubah Strategi

Ekonomi 4 bulan yang lalu

Penguasaan Proton Cecah Tahap Tertinggi Dalam Tujuh Tahun Pada 27.1 Peratus

Ekonomi 1 minggu yang lalu

Eksport Getah Naik Dengan Lonjakan Permintaan Sarung Tangan Lateks