web statsweb stats

Berita Terkini

8 jam yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 8 jam yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Kenaikan OPR: Sudahlah Tersepit, Makin Dihimpit…

Ekonomi Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 11 Sep 2022 9:43AM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang diumumkan kali ketiga bagi tahun ini, bukan sahaja akan terus menekan kehidupan rakyat di saat mereka semakin terhimpit dengan bebanan kos sara diri, malah lebih membimbangkan ia bakal membantutkan ekonomi negara.

Pakar ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, bebanan dialami rakyat itu akan semakin dirasai golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40).

Katanya, bukan sedikit kesan bakal didepani akibat langkah diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) tersebut kerana ia juga akan menaikkan kos pembiayaan dan mengurangkan kecairan tunai.

“Perkembangan ini juga akan meningkatkan pembayaran balik pinjaman, manakala peluang untuk mendapatkan pinjaman sukar.

“Ini akan memberi kesan kepada kesusahan kehidupan rakyat, terutama golongan B40 dan M40.

“Di samping itu, kenaikan harga tetap berlaku kerana nilai Ringgit Malaysia (RM) terus jatuh, berbanding Dolar Amerika Syarikat. Tambahan banyak bahan mentah dan makanan diimport dari luar negara,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Pada Khamis lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan OPR akan dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ia menyaksikan kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus, berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelum ini.

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan, masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Justeru, Abu Sofian berkata, kerajaan perlu memperhalusi tindakan berkenaan supaya kesukaran hidup rakyat tidak terus terbeban dan ekonomi tidak mengucup.

Kerajaan, katanya, perlu melaksanakan mekanisme terbaik, termasuk meningkatkan bantuan kepada golongan terkesan dengan meneruskan pemberian bantuan wang tunai dan barangan keperluan asas.

Menurutnya, kemudahan pinjaman kredit mikro kepada mereka yang berdepan kesan kenaikan ini dan belia yang berhasrat menceburi bidang perniagaan juga harus disediakan.

“Pada dasarnya, kadar OPR ini digunakan untuk menangani inflasi dan mengurangkan kecairan tunai dalam pasaran. Bagaimanapun, kita kena imbangi kecairan tunai dan kerancakan ekonomi. Ia bukan mudah,” katanya.

Bagi pakar ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma, golongan paling terkesan dengan langkah kenaikan OPR berkenaan adalah mereka yang diberikan moratorium penangguhan pembayaran pinjaman sebelum ini.

Kesan itu, katanya, dirasai apabila mereka terpaksa membayar semula pinjaman dengan nilai lebih tinggi.

“Dari segi individu, jika anda meminjam, ia meninggalkan kesan iaitu menjadikan kos pinjaman tinggi.

“Maknanya seseorang itu terpaksa menambah bayaran untuk pinjaman,” katanya.

Namun, beliau berkata, kenaikan OPR terbabit adalah langkah baik kepada golongan menabung.

“Ini kerana ia akan meningkatkan pulangan atau kadar bunga, sekali gus menjadi satu bentuk insentif. - Getaran,11 September 2022

Berita Berkaitan

1

Kolum 1 tahun yang lalu

Tekanan Kewangan Atau Penjimatan? Implikasi Pembayaran Bersama Insurans Perubatan

2

Ekonomi 2 tahun yang lalu

Malaysia Merekodkan 11.5 Bilion Transaksi E-Pembayaran Pada 2023

3

Ekonomi 2 tahun yang lalu

BNM Fokus Tingkatkan Kekukuhan Ekosistem Kewangan Islam Tahun Ini

4

Ekonomi 2 tahun yang lalu

BNM Pastikan Pendirian Dasar Monetari Kekal Kondusif Untuk Pertumbuhan Mampan Ekonomi Negara

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ