Berita Terkini

3 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 4 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Pembaharuan Struktur Diperlukan Untuk Elak Penghijrahan Pakar

Hampir 1.7 juta rakyat Malaysia bekerja di luar negara dengan Singapura menjadi pilihan utama.

Ekonomi Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Jan 2021 2:15PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Misi sekian lama Malaysia untuk menyertai kelab negara maju nampaknya semakin jauh tergelincir. 

Penghijrahan pakar di negara ini adalah tinggi berbanding asas kemahiran yang terhad, dengan seorang daripada sepuluh graduan berhijrah pada 2000 dan ini merupakan dua kali berbanding purata dunia, demikian menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD)

Menurut Bank Dunia pada 2011, penghijrahan pakar diburukkan lagi oleh kekurangan aliran masuk bagi menggantikannya, dan Malaysia merupakan negara penerima utama tetapi kebanyakan imigran adalah mereka yang kurang mahir manakala ekspatriat berkemahiran tinggi semakin menyusut sejak 2004.   

Hari ini, hampir 1.7 juta rakyat Malaysia bekerja di luar negara, dengan Singapura menjadi negara pilihan utama (54 peratus), diikuti Australia (15 peratus), United Kingdom (5.0 peratus) dan United States (10 peratus).

Kekurangan prospek kerjaya di Malaysia adalah suatu yang merugikan kerana pasaran pekerjaan domestik belum bersedia bagi pekerjaan bukan tradisional kerana ia hanya menyediakan khusus bagi pekerjaan tradisional seperti doktor, peguam dan jurutera, kata Ketua Jabatan Dasar dan Strategi Peniagaan Universiti Malaya Profesor Madya Dr Norizah Mohd Mustamil.  

"Mereka yang menceburi bidang subjek khusus seperti seni atau sains tulen sering dipandang sangsi, hanya kerana mereka menyimpang jauh daripada pasaran pekerjaan arus perdana. 

"Justeru, untuk meneruskan kelangsungan hidup, mereka terpaksa mencari peluang di luar negara apabila kemahiran unik mereka sebenarnya bernilai. Di negara-negara inilah mereka sebenarnya mempunyai peluang baik untuk mencari nafkah,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi e-mel baru-baru ini.

Setakat Mana Seriusnya Tahap Penghijrahan Pakar Malaysia?

Individu berkemahiran tinggi, boleh menyesuaikan diri, berkemahiran dan pengalaman selalunya adalah aset paling bernilai bagi mana-mana negara. 

Tenaga kerja ini adalah pembina negara, pemacu di sebalik setiap kemajuan sesebuah negara. Sebenarnya, Malaysia telah membina kumpulan tenaga kerja tempatan yang besar selama bertahun-tahun ini. 

"Namun, kita juga menyedari akan peningkatan kadar penghijrahan tenaga kerja ini,” kata Norizah, sambil menambah kurang bersedia untuk menangani isu gaji rendah dan ketidakupayaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur merupakan antara faktor yang menyumbang kepada keputusan sedemikian. 

Sebagai contoh, beliau berkata gaji bagi mereka yang baru mula bekerja di Kanada bermula pada US$38,000 setahun (bersamaan dengan RM150,000 setahun) manakala di Malaysia graduan yang baru tamat belajar memperoleh kira-kira US$7,000 setahun (bersamaan dengan RM30,000 setahun). 

"Tak perlu jadi pakar matematik untuk mengetahui perbezaan jelas pembayaran itu. Cukup untuk menyatakan bahawa gaji yang boleh mereka dapat di negara maju dan manfaat yang kurang menarik di dalam negara telah menyebabkan rakyat Malaysia berhijrah (bagi mencari peluang kerja),” katanya.

Menurut Bank Dunia, usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi juga akan bergantung kepada bagaimana ia mengendalikan penghijrahan keluar pakarnya -- penghijrahan modal insan berkemahiran tinggi.  

Menerusi laporannya yang bertajuk "Malaysia Economic Monitor" pada 2011, bank itu menganggarkan diaspora Malaysia pada 2010 berjumlah satu juta dengan penghijrahan keluar pakar menyumbang satu pertiga daripadanya. 

Menurut laporan itu, dengan meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan keterangkuman, Malaysia boleh menangani penghijrahan keluar pakar secara komprehensif dan ia mengesyorkan pembaharuan sistem pendidikan, membaik pulih ekosistem inovasi, dan mengorientasikan semula dasar keterangkuman berdasarkan merit dan keperluan. 

Adakah Talentcorp Telah Mencapai Objektifnya? 

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tricia Yeoh berkata kerajaan telah menubuhkan entiti seperti Talent Corporation Malaysia Bhd untuk menarik semula pulang rakyat Malaysia yang berbakat.

Ditubuhkan pada 2011 untuk menarik, memupuk dan mengekalkan pekerja terbaik dan bersesuaian untuk Malaysia, agensi itu telah meluluskan 5,366 permohonan sehingga Disember 2019 di bawah Program Pengembalian Ekspatriat.

Ia turut merekodkan 116,605 profil pelajar untuk tenaga kerja menerusi program Memupuk Bakat Berkepakaran, manakala 996 wanita pula telah menyertai Program Kembali Bekerja.

“Saya tidak pasti sama ada ia telah memberikan keputusan yang setimpal. Penghijrahan pakar ini sesuatu yang bukan luar biasa di banyak negara, namun, apa yang janggal kepada kita ialah tenaga kerja berbakat ini tidak masuk ke negara kita untuk menggantikan tenaga kerja yang hilang,” kata Yeoh kepada Bernama.

Beliau menegaskan antara masalah utama isu penghijrahan pakar adalah birokrasi dan kerumitan peraturan imigresen yang menyebabkan pasangan asing rakyat Malaysia dan anak-anak mereka amat sukar untuk mendapatkan kediaman tetap, kewarganegaraan dan pekerjaan.

“Buat masa ini, pasangan warga asing profesional menyifatkan begitu sukar untuk berdepan karenah birokrasi itu. Sebagai contoh, visa pasangan bukan warganegara menyatakan bahawa bekerja adalah dilarang. Malahan, meskipun pasangan warga asing dibolehkan bekerja dengan kebenaran, banyak syarat ketat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

“Ini hanyalah satu daripada contoh yang boleh diselesaikan oleh kerajaan memandangkan pasangan profesional warga asing akan menjadi pekerja yang boleh diambil untuk meningkatkan rantaian nilai ekonomi,” kata Yeoh. 

Akhirnya, ramai individu berbakat meninggalkan negara sekiranya tidak banyak peluang dalam negara. Oleh itu, peluang akan wujud sekiranya ekonomi diperkukuhkan.

Yeoh berkata ekonomi Malaysia telahpun bergelut sebelum COVID-19 dan keadaan itu semakin buruk disebabkan pandemik berkenaan. – Getaran, 29 Januari 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 tahun yang lalu

Kemasukan Kumpulan Pertama Pekerja Indonesia Bermula Secara Berperingkat

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

Disyorkan untuk anda

Ekonomi 22 jam yang lalu

Tesla Turunkan Harga 2 Model EV Mulai Hari Ini