web statsweb stats

Berita Terkini

4 hari yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 4 hari yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Lazada Ada Lebih 110 Juta Pengguna Aktif Tahunan

Ekonomi Dikemaskini 4 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 07 Sep 2021 8:01AM

Menjelang 9.9 Biggest Brands Sale, Lazada Malaysia telah menambah lebih 3,800 jenama baharu. - Gambar dari Facebook Lazada

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - LazMall Lazada, destinasi berjenama dalam talian yang terkemuka di rantau ini, terus mencatat pertumbuhan yang ketara dari tahun ke tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group Chun Li pada edisi kedua LazMall Brands Future Forum (BFF) 2021 yang berakhir baru-baru ini.

Acara itu mengetengahkan pertumbuhan LazMall dan rakan-rakan jenamanya yang berjaya memanfaatkan infrastruktur dan keupayaan mereka dalam kecerdasan buatan, teknologi dan pemasaran digital untuk membangunkan strategi yang disesuaikan bagi meningkatkan kitaran hayat pelanggan dan mengembangkan perniagaan mereka di platform tersebut.

Platform Lazada kini mempunyai lebih 110 juta pengguna aktif tahunan manakala urus niaga dalam talian meningkat lebih 100 peratus tahun ke tahun.

Sejak penubuhannya kurang daripada tiga tahun lepas, LazMall telah berkembang maju untuk menempatkan lebih 32,000 jenama tempatan dan antarabangsa, dengan asas pelanggan berkualiti tinggi yang bersedia untuk berbelanja lebih bagi jenama yang mereka gemari serta meninjau jenama baharu di platform itu.

“Pembeli baharu di LazMall telah meningkat tahun ke tahun dan purata nilai pembelian mereka adalah dua kali ganda daripada purata pembeli kami. Ini menunjukkan peningkatan kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap platform ini apabila membeli barangan bernilai lebih tinggi dalam talian,” katanya.

Menjelang 9.9 Biggest Brands Sale yang akan datang, Lazada Malaysia melaporkan bahawa ia telah menambah lebih 3,800 jenama baharu, termasuklah Nike, La Mer, Aesop dan banyak lagi dalam destinasi berjenama yang dijamin keasliannya, LazMall, sejak tahun lepas.

Kemasukan jenama baharu di LazMall telah memberikan pilihan yang lebih luas untuk pelbagai jenis barangan berkualiti tinggi yang boleh didapati untuk pembeli tempatan dalam talian di platform e-dagangnya.

“Dalam beberapa bulan ini, jumlah pelanggan dan pesanan LazMall tempatan meningkat lebih dua kali ganda dari tahun ke tahun. Momentum ini dijangka berterusan berikutan kami terus meningkatkan pengalaman pelanggan digital rakan-rakan jenama kami dan membantu mereka mengembangkan touchpoint pengguna mereka melalui infrastruktur, teknologi dan penyelesaian logistik kami,” kata Ketua LazMall, Lazada Malaysia, Chenxi Zhou. 

Selain itu, Lazada baru-baru ini melancarkan LazMall Prestige sebagai tawaran premium di rantau ini, memberi pembeli akses kepada jenama terkenal seperti Bacha Coffee, Bang and Olufsen, Coach, La Mer, Salvatore Ferragamo dan banyak lagi. 

Menurut Li, terdapat 40 juta pengguna Internet baharu di Asia Tenggara sahaja pada tahun lepas.

“Ini bermakna 70 peratus daripada jumlah penduduk di rantau ini adalah pengguna Internet,” katanya, sambil menambah bahawa inovasi, kreativiti, teknologi terkini dan pengalaman pelanggan yang lebih baik terus mengubah landskap e-dagang, membawa kepada penghijrahan dalam talian yang besar.

“Nadi masa depan adalah e-dagang. Saya telah bekerja dalam industri ini selama dua dekad dan saya amat gembira dengan semua perubahan yang berlaku serta yang akan datang,” kata Li dan menyatakan bahawa pandemik telah mendorong banyak jenama, peruncit dan pusat beli-belah beralih kepada dalam talian.

Di Malaysia, gedung terkemuka seperti Marks and Spencer telah menyertai platform Lazada.

Di rantau ini, gedung lain seperti Siam Centre di Thailand telah membantu penyewa mereka untuk 'mewujudkan' kedai di LazMall.

“Kita tidak menjangka ini pada 18 bulan lepas,” katanya. - Bernama

Sorotan

1

Pemandu Lori Nahas Maut Karak Miliki 15 Rekod Saman

2

Kerugian Jenayah Siber Cecah RM3 Bilion, Penipuan Dalam Talian Meningkat 87 Peratus

3

Tragedi Zaid Ibrahim; Ahli Politik Yang Berhutang Penjelasan

4

Video Belasah Pembantu Rumah Tular, 2 Pasangan Suami Isteri Ditahan

5

Asid Tumpah Dari Lori: Tiada Pencemaran Asid Di Sungai Cherating - JAS

6

Motosikal Ditunggang Langgar Belakang Kereta, Pelajar Maut Digilis Lori