Setiap kali suhu cuaca meningkat, kaki langit Kuala Lumpur akan menjadi semakin kabur dan topik mengenai jerebu akan kembali hangat diperkatakan baik di dalam mahupun di luar talian.
Laporan media baru-baru ini melaporkan bahawa Malaysia akan menjadi salah satu daripada negara ASEAN yang bakal dirundung musim jerebu sekali lagi.

Tahun ini, beberapa kumpulan tempatan memperhebatkan usaha untuk memerangi jerebu yang disebabkan oleh syarikat milik Malaysia yang terbabit dalam aktiviti pembakaran terbuka, dengan menggunakan medium bukan konvensional.
Mural awam misteri mula dilihat muncul di sekitar KL dan Pulau Pinang sejak beberapa bulan lalu, mengingatkan rakyat Malaysia tentang bencana jerebu yang semakin hampir.
Mural ini adalah sebahagian daripada gerakan lebih besar yang dipimpin oleh Greenpeace Malaysia bagi meningkatkan kesedaran mengenai pencemaran jerebu yang sering berulang dan menuntut tindakan segera.

Dengan menggunakan aktivisme seni, pertubuhan itu menyuarakan tuntutan mereka menerusi mural awam, papan iklan, filem satira pendek, dan pameran seni aktivis yang akan dibuka kepada umum mulai Mei 2023.
Di mana mesej yang hendak disampaikan adalah kuat dan jelas iaitu udara bersih adalah hak asasi manusia, dan hak itu kini sedang dicabuli.
Intervensi kreatif ini dimulakan pada tahun lalu menerusi siri mural awam karya artis terkemuka.
Minggu lepas, imej karya yang dicipta oleh Fahmi Reza muncul di Twitter dengan amaran, ‘Awas! Jerebu datang kembali,’ berwarna kuning terang di tepi bangunan Wisma Megah.
Mural yang asalnya dihasilkan pada September 2022, dihidupkan semula secara tergesa-gesa dalam hanya tiga hari, namun tetap berjaya mencetuskan perbualan hangat di dalam talian.
Ernest Zacharevic, artis yang berpangkalan di Pulau Pinang memperkenalkan mural yang menggugah pemikiran pada Jun lepas yang menekankan perkataan ‘Jerebu Rentas Sempadan’. Minggu lepas, Zacharevic memperkenalkan satu lagi karyanya di tengah-tengah Georgetown Pulau Pinang, menandakan ketibaan satu lagi musim jerebu.
Artis-artis lain yang terlibat dalam aktivisme seni ini termasuklah artis tempatan, Cloakwork dan artis kolektif, Pangrok Sulap yang baru-baru ini memperkenalkan intervensi masing-masing di Jalan Petaling dan Jalan Tun Perak di Kuala Lumpur.

“Kami mahu orang ramai turut terlibat dalam perbincangan dan menerokai penyelesaian kreatif yang positif terhadap masalah tersebut, dan berinspirasi untuk melakukan apa sahaja yang boleh mereka lakukan tanpa mengira latar belakang mereka.
Walaupun sekadar berbincang dengan rakan-rakan atau ahli keluarga atau membuat hantaran di Facebook adalah lebih baik daripada berdiam diri, kerana tiada suara yang kedengaran di antara setiap musim jerebu dan kami mahu perbincangan ini diteruskan supaya orang ramai terus beringat untuk mencari penyelesaian,” ujar Ernest Zacharevic, artis dan kurator Haze: Coming Soon.

Haze: Coming Soon
Siri intervensi kreatif ini akan diakhiri dengan pameran seni berjudul ‘Haze: Coming Soon’, yang akan berlangsung dari 5 hingga 14 Mei di REXKL. Ia menyatukan artis, pembuat filem, dan aktivis.
Acara tersebut bakal menampilkan karya seni dari artis-artis terkemuka seperti Ernest Zacharevic, Cloakwork, Pangrok Sulap, Wong Kai Yi, Fahmi Reza, Trina Teoh dan Bibichun. Ia menawarkan sebuah ruang pendidikan dan inspirasi untuk orang ramai terlibat dengan isu jerebu rentas sempadan dan memahami asal-usulnya.
Tidak cukup dengan itu, terdapat juga tayangan perdana filem ‘Haze-zilla’, sebuah filem satira pendek yang dengan beraninya menangani isu kerakusan korporat dan pemusnahan alam sekitar.
Berlatarbelakang ibu kota Kuala Lumpur, filem ini mengisahkan bagaimana raksasa korporat melepaskan jerebu toksik ke atas bandar raya itu, manakala sekumpulan aktivis dengan beraninya menuntut keadilan.
Menerusi imej mantap dan jalan cerita yang hebat, ‘Haze-zilla’ memberikan penekanan terhadap realiti yang membimbangkan iaitu syarikat Malaysia sebenarnya bertanggungjawab ke atas krisis alam sekitar tersebut, dan menekankan keperluan untuk mengambil tindakan segera.
“Kami berharap agar filem ini dapat menjadi pemangkin perubahan, dan memberi inspirasi kepada para penonton untuk bersuara dan menuntut masa depan yang lebih lestari,” ulas Pengarah Filem, Abhilash Chandra.

Selain daripada itu, terdapat juga sesi perbincangan panel mengenai topik pencemaran jerebu dan aktivisme kreatif. Dikendalikan oleh aktivis alam sekitar Melissa Tan, panel itu akan menjemput pakar alam sekitar dan kreatif untuk berkongsi pandangan mereka.
“Daripada menyalahkan negara jiran kita, marilah kita memberi tumpuan kepada apa yang boleh kita lakukan di tanah air kita Malaysia,” ujar Ketua Kempen Greenpeace Malaysia, Heng.
“Kita memerlukan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan supaya ia boleh menyediakan asas undang-undang untuk melaksanakan proses semak dan imbang bagi memastikan syarikat Malaysia tidak menyumbang kepada isu jerebu di dalam dan luar negara,” tambahnya lagi.
Acara ‘Haze: Coming Soon; menggesa rakyat Malaysia agar turut sama memikul tanggungjawab dan menuntut tindakan penyelesaian yang bermakna daripada penggubal dasar.
Pameran ini adalah percuma dan dibuka kepada orang ramai dari 5 hingga 14 Mei. Bagi menyertai gerakan ini, anda boleh mendaftar untuk mendapatkan tiket pameran percuma di Eventbrite di sini.- Getaran, 8 Mei 2023